Oleh pada 11 Jul 2019 kategori

Kesan penjajahan British di negara kita boleh dirasai sehingga ke hari ini.

Perubahan yang diperkenalkan British benar-benar memberikan impak besar, sama ada dari sudut positif dan juga negatif kepada masyarakat kita.

Beberapa insiden berlaku ketika British cuba memperkenalkan gagasan Malayan Union kepada rakyat Tanah Melayu dulu, menimbulkan banyak kontroversi menyebabkan British mengguna langkah keras bagi memastikan kejayaan rancangan mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu kisah kontroversi yang berlaku ekoran usaha Malayan Union, melibatkan Sultan Terengganu ke 14, Sultan Ali Shah Ibni Sultan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Penentangan beliau terhadap gagasan yang cuba diperkenalkan British menyebabkan perubahan besar dalam hidup beliau, mengubah susur galur kesultanan kerajaan Terengganu; sehingga wujudnya sengketa berterusan ke hari ini.

Kedatangan penjajah British memporak-perandakan masyarakat

sultan zainal abidin

Perjanjian Bangkok 1909 di antara kerajaan Siam dan kerajaan British mengakibatkan kerajaan Terengganu yang ketika itu berada di bawah naungan kerajaan Siam, diserahkan kepada British tanpa persetujuan Terengganu.

Terengganu ketika itu dipimpin Sultan Zainal Abidin ke 3 tiada pilihan lain selain menuruti isi perjanjian tersebut.

Terengganu mula menjadi negeri di bawah naungan British pada 22 April 1910. 

Bagi melindungi kedaulatan agama dan negeri, Sultan Zainal Abidin ke 3 memperkenalkan Undang-Undang Diri pada tahun 1911 sebagai usaha mengekalkan identiti Terengganu daripada kerakusan British.

Kemangkatan Sultan Zainal Abidin ke 3 menabalkan Tengku Muhammad Syah sebagai pengganti baginda.

Tengku Muhammad Syah enggan bekerjasama dengan British walaupun bersetuju menerima seorang penasihat British dalam kerajaan Terengganu.

Atas sebab ini, British mula mendesak supaya Sultan Muhammad Syah melepaskan takhta untuk diserahkan kepada adiknya, Tengku Sulaiman Badrul Alam Shah.

Desakan itu berhasil.

Baginda menaiki takhta dengan menggunakan gelaran Sultan Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah, memerintah dalam tempoh yang panjang, bermula pada 20 Mei 1920 sehinggalah tibanya penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu.

Terengganu kembali ke tangan Siam

sultan sulaiman badrul alam shah

Pada 29 Januari 1942, kerajaan Terengganu ketika itu yang dinaungi Jepun melalui prntadbiran Gabenor Manabu Kuji, bersetuju untuk melantik waris kepada Sultan Sulaiman naik menggantikan baginda.

Anak sulung beliau, Tengku Ali dilantik sebagai Yang Di-Pertuan Muda, bakal mengambil alih tampuk kerajaan Terengganu daripada ayahnya.

Kemangkatan Sultan Sulaiman pada 25 September 1942 mempercepatkan kenaikan Tengku Ali.

Tengku Ali menaiki takhta pada 26 September 1942 dan pentadbiran Jepun mengiktiraf status Tengku Ali pada 30 September 1942, menggunakan gelaran penuh Sultan Ali Shah ibni al-Marhum Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah.

Kenaikan Sultan Ali Shah mendapat tentangan beberapa orang pembesar Terengganu atas alasan kurang diyakini keupayaannya khasnya oleh seorang pembesar bernama Dato Jaya Perkasa Che Umar.

Tekanan yang diberikan Dato Jaya Perkasa bagaimanapun tidak berjaya menjatuhkan Sultan Ali Shah.

Sehinggalah perjanjian tahun 1943 di antara Jepun dengan kerajaan Siam yang mengembalikan semula Terengganu menjadi wilayah Thai, menyebabkan perubahan besar pada sistem kerajaan Terengganu.

Kami sudah terangkan peristiwa bersejarah ini dalam artikel kami. Boleh baca lebih lanjut kalau berminat.

Jawatan Menteri Besar yang dihapuskan semasa era Jepun diwujudkan kembali dan Dato Jaya Perkasa Che Umar naik menjadi menteri besar, diikuti perlantikan menteri-menteri dilakukan dengan kebenaran Siam dan Jepun.

Walaupun begitu, rasa tidak senang Dato Jaya Perkasa kepada Sultan Ali nyata belum berakhir.

Tewasnya Jepun dan kembalinya British

dato jaya perkasa

Selepas tentera Jepun tewas dalam kempen penjajahan mereka, British kembali ke Tanah Melayu seterusnya menyebabkan Terengganu kembali semula sebagai naungan British.

Kerajaan Thai berjaya didesak untuk melepaskan penguasaan mereka ke atas negeri tersebut, berdasarkan kepada perjanjian 1909 yang dipersetujui.

Untuk mengukuhkan kuasa mereka di Tanah Melayu, British berhasrat mahu menyatukan sistem pentadbiran mereka dengan mengendurkan terus kuasa Raja-Raja Melayu.

Bagi memenuhi hasrat itu, British mula menyelongkar kembali status kerjasama semua Raja Melayu dengan Jepun, untuk dijadikan alasan penyingkiran mereka bagi membolehkan 'Raja Melayu baru mesra British' dilantik.

Beberapa orang Raja Melayu ketika itu yang didapati bekerjasama dengan Jepun atau dilantik oleh Jepun, didakwa sehingga ada yang dibuang negeri.

Disebabkan menaiki takhta semasa zaman pemerintahan Jepun, Sultan Ali tidak terkecuali menjadi sasaran British.

Dato Jaya Perkasa didakwa memainkan peranan yang sangat besar dalam menjatuhkan Sultan Ali Shah.

Beberapa dakwaan seperti Sultan Ali akrab dengan pemerintahan Jepun, tidak layak memerintah serta mengahwini seorang pelacur sebagai isteri mula disebarkan sumber-sumber tidak diketahui.

Selain itu, dakwaan bahasa Sultan Ali Shah mempunyai masalah berhutang akibat kalah judi hingga menyebabkan dia menggadaikan tanah kepada tauke Cina, turut menjadi perhatian British.

Atas semua dakwaan itu, British bertindak mengarahkan Sultan Ali Shah bertemu wakil British, Brigadier H.C. Willan.

Willan mengumumkan kepada Sultan Ali Shah sambil disaksikan Dato Jaya Perkasa, bahawa British telah mengambil keputusan tidak mengiktiraf kedudukan baginda sebagai Sultan dan pendapatannya akan dikurangkan walaupun akan terus dibayar.

Terkejut dengan apa yang berlaku, Sultan Ali Shah kembali ke istana baginda tanpa kuasl, mengetahui nasibnya yang bakal digantikan dengan Sultan pilihan British.

British mula menjalankan perancangan mereka

sultan ismail nasiruddin

Pemecatan Sultan Ali Shah memerlukan pengganti, dengan Tengku Ismail, salah seorang anak kepada Sultan Zainal Abidin ke 3 menjadi nama yang disebut bakal naik sebagai Sultan Terengganu yang baru.

Pada 16 Disember 1945, pengisytiharan penurunan Sultan Ali Shah digantikan dengan Tengku Ismail dilakukan, namun British belum berpuas hati.

Kedudukan Tengku Ismail atau nama rasminya Sultan Ismail Nasiruddin Shah, belum cukup kukuh kerana masih belum mendapat pengiktirafan British.

Bagi melindungi kepentingan mereka, British melalui wakil mereka A.T. Newboult mendesak Sultan Ismail menandatangani persetujuan gagasan Malayan Union.

Bagaimanapun, nasib baiklah Undang-Undang Diri yang telah diperkenalkan ayahnya sebelum mangkat menyebut Sultan tidak mempunyai kuasa penuh menyerahkan pemerintahan kepada kuasa luar.

Sekiranya Baginda bersetuju, ini bermakna Sultan Ismail sendiri telah melanggar undang-undang negeri Terengganu.

Malangnya atas desakan kuat pihak British yang tidak mengiktiraf Undang-Undang Diri serta tekanan daripada Dato Jaya Perkasa yang banyak terhutang budi dengan British, Sultan Ismail terpaksa menandatangani persetujuan.

Seronok British ketika itu sehingga menerbitkan artikel pengumuman Sultan Ismail kini secara rasminya diiktiraf sebagai Sultan Terengganu oleh British.

Walaupun bersetuju selepas dipaksa, melihat kebangkitan orang Melayu yang bersatu menentang Malayan Union - Sultan Ismail Nasiruddin akhirnya menjadi penentang gagasan tersebut.

Selepas 4 bulan ditabalkan, baginda bertindak menghantarkan surat menggesa agar British mengkaji semula rancangan tersebut bimbang kesan buruk yang bakal timbul.

Di mana Sultan Ali Shah ketika semua ini berlaku?

sultan ali shah dengan anak sulung

Sudah dijatuhkan, banyak pihak berpendapat apa yang berlaku terhadap Sultan Ali Shah merupakan tindakan yang bercanggah dengan undang-undang kerajaan Terengganu sendiri.

Ini kerana Sultan Ali Shah secara rasmi dan tidak boleh disangkal lagi, merupakan waris paling layak menerajui Kesultanan Terengganu.

Dalam kenyataannya, Sultan Ali Shah menyifatkan apa yang dilakukan oleh British merupakan satu konspirasi bagi menjayakan rancangan Malayan Union dengan Dato Jaya Perkasa, dikatakan menjadi dalang utama semua yang berlaku.

Pelbagai rayuan yang dibuat untuk mengkaji semula pemecatan baginda yang dilakukan tanpa asas, tidak diendahkan British.

Baginda yang ketika itu tidak lagi mendapat sokongan pembesar negeri mula menerima hakikat tidak banyak yang boleh baginda lakukan dalam mengembalikan sokongan kepada baginda.

tuntutan sultan ali shah

Sultan Ali Shah tidak pernah berhenti daripada mengemukakan tuntutan ke atas takhta kerajaan Terengganu sehinggalah baginda mangkat pada 17 Mei 1996. Sepanjang hayatnya baginda menyara hidup dan keluarganya dengan bekerja sebagai pemandu kereta sewa dan juga pengusaha wayang bergerak di sekitar negeri Terengganu.

Kes tuntutan takhta oleh waris kepada Sultan Ali Shah masih lagi berlangsung sehingga ke hari ini, dengan Tengku Sulaiman yang merupakan cucu kepada Sultan Ali Shah telah memfailkan tuntutan di peringkat mahkamah, berdasarkan Undang-Undang Tubuh Negeri Terengganu tahun 1911.

Sudah beberapa kali tuntutan beliau ditolak mahkamah dengan pengumuman terbaru melibatkan tuntutan ini, dilaporkan pada 31 Julai 2017 - selepas permohonan beliau mahu memindahkan perbicaraan ke mahkamah tinggi Kuala Terengganu ditolak panel hakim Mahkamah Rayuan.

Rujukan

Jurnal UKM




Hakcipta iluminasi.com (2017)