Oleh pada 31 May 2018 kategori

Sekiranya anda lihat ketika ini, negara kita mempunyai iklim politik yang agak berbeza-beza dengan negeri-negeri di pantai barat mempunyai pandangan yang berlainan dengan penduduk di negeri pantai timur serta bahagian utara semenanjung Malaysia.

Pola pengundian di negeri-negeri utara khasnya, selalu dilihat tidak selari dengan rakyat negeri lain sehinggakan ketika ini negeri-negeri yang kerap mengalami masalah pembentukan kerajaan selepas pilihanraya, adalah negeri-negeri di kawasan utara.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Adakah ini berpunca daripada wujudnya perbezaan budaya masyarakat utara yang sebenarnya dapat dilihat sejak zaman dahulu lagi?

Artikel ini tidak ingin cuba menjawab persoalan ini tetapi kami mahu menceritakan kepada anda satu sejarah yang jarang diceritakan kepada kita mengenai empat negeri yang digelarkan 'Si Rat Malai' yang berkemungkinan besar memberi impak besar perbezaan corak dan budaya hidup negeri terbabit.

Perjanjian rahsia kerajaan Thai dan Jepun

perdana menteri ketiga thailand jeneral tentera

Selepas kedatangan Jepun ke tanah Melayu yang menyebabkan British melarikan diri, Tanah Melayu atau Semenanjung Malaysia ketika ini diperintah oleh tentera Jepun. Kehadiran tentera Jepun ke negara kita memang mengejutkan berikutan cara kemasukan mereka yang tidak disangka-sangka berlaku.

Semuanya bermula pada tahun 1941, apabila Perdana Menteri Thailand yang ketiga, Jeneral Plaek Phibunsongkhram atau lebih dikenali dengan nama Chompon Por menandatangani satu perjanjian di antara kerajaan Thailand dengan Empayar Jepun secara rahsia.

Perjanjian itu mewujudkan kerjasama di antara kedua-dua buah negara dengan Thailand akan menghantar pasukan tentera mereka bagi membantu Empayar Jepun dalam usaha menawan kawasan sekitar Burma (Myanmar sekarang), dalam peperangan yang digelarkan 'Kempen Burma.'

Peperangan tersebut yang berlaku ekoran gerakan tentera Jepun yang mahu menjajah kawasan Burma dengan bantuan tentera dari India, menentang kerajaan koloni Burma yang disokong oleh tentera British dan China. Burma

Pasukan tentera Thai bersetuju memberikan kerjasama kepada tentera Jepun dan hasilnya Jepun berjaya menguasai sebahagian besar kawasan Asia Tenggara, termasuklah Tanah Melayu.

Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kembali menjadi jajahan Siam

setem lama ada cop jepun

Selepas kemenangan tentera Jepun dalam beberapa siri peperangan yang dibantu Thailand, sebagai mengenang jasa kerajaan Thai membantu Jepun dalam 'Kempen Burma,' Jepun memulangkan semula empat negeri asal Thai di Tanah Melayu yang dirampas oleh British sebelum itu.

Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu kembali menjadi jajahan Siam selepas satu perjanjian yang dibuat pada 20 Ogos 1943 membatalkan perjanjian yang dibuat di antara British dan Siam pada tahun 1909. Pada 18 Oktober 1943, keempat-empat negeri itu diisytiharkan sebagai sebahagian daripada wilayah Thai dan kesemua penduduk negeri tersebut, diberikan hak sama rata dengan mana-mana penduduk asal Thai.

Berikutan pengumuman itu, tertubuhlah apa yang dinamakan 'SI Rat Malai' atau 'Empat Negeri Melayu' yang terletak di utara Tanah Melayu. Pentadbirannya dibuat menggunakan kerjasama di antara tentera Jepun dan kerajaan Thai dengan nama-nama negeri tersebut kembali menggunakan nama dalam Bahasa Siam.

Kedah diberikan nama 'Syburi,' Perlis menjadi 'Palit, Kelantan menjadi 'Kalantan' dan Terengganu menjadi 'Trangkanu.' Alor Setar terpilih sebagai pusat pemerintahan 'Si Rat Malai' dan kesemua negeri mempunyai seorang Gabenor lantikan Jepun.

Berakhirnya 'The Four Malay State'

sijil beranak negeri syburi

Tentera Jepun memainkan peranan yang sangat besar dalam mentadbir Si Rat Malai. Sebilangan besar kawasan terus dikawal oleh tentera Jepun dalam menjaga keselamatan dan tentera Jepun mengiasai jalan perhubungan keretapi. Selain itu, sistem-sistem komunikasi ketika itu seperti telegraf, sistem pos dan telefon juga dikawal sepenuhnya oleh tentera Jepun.

Bagaimanapun, tempoh pemerintahan Jepun di negara kita, seperti yang telah kita ketahui berlaku tidak lama. Jeneral Plaek Phibunsongkhram digulingkan selepas mencadangkan beberapa usul aneh; mahu menukar pusat pemerintahan SIam dari Bangkok ke Phetchabun yang terletak di kawasan hutan dan mahu menubuhkan Bandar Penganut Buddha di Saraburi.

Pengumuman itu yang dibuat ketika kegawatan ekonomi membuatkan kumpulan penentang Seri Thai berjaya menggulingkan beliau seterusnya digantikan Khuang Abhaiwongse, salah seorang pemimpin yang rapat dengan pemberontak Seri Thai. Jeneral Phibunsongkhram dibicarakan atas tuduhan melakukan jenayah perang, kerana bekerjasama dengan Jepun namun dibebaskan selepas didapati bertindak demikian dalam melindungi kepentingan kerajaan Thai.

Dalam masa yang sama, kerjasama di antara kerajaan Thai dan Jepun berterusan sehinggalah tentera Jepun ditewaskan dan British kembali ke Tanah Melayu.

Berikutan tekanan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat ke atas kerajaan Thai, Thai didesak untuk melepaskan semua wilayah yang baru dikuasainya semasa pendudukan tentera Jepun. Kerajaan Thai bersetuju melepaskan semua tuntutan ke atas wilayah-wilayah di Burma yang baru saja dikuasai dan juga empat negeri dalam 'SI Rat Malai.'

Ekoran daripada persetujuan itu, semua tuduhan dan tuntutan perang semasa 'Kempen Burma' ke atas Thailand digugurkan dan Thailand dibenarkan menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang ketika itu, baru saja ditubuhkan. Pada 1 April 1946, 'Si Rat Malai' terbubar secara rasmi dan keempat-empat negeri di dalamnya - Saiburi, Palit, Kalantan dan Trangkanu bersetuju menyertai peringkat awal pembentukan Persekutuan Tanah Melayu yang dinamakan sebagai 'Malayan Union. Thailand diterima masuk sebagai anggota PBB pada Disember 1946.Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu sehingga kini kekal sebagai sebahagian daripada Persekutuan Malaysia.




Hakcipta iluminasi.com (2017)