mayfly haiwan paling cepat mati

Serangga jenis 'Mayfly' mungkin tidak terdapat di negara kita namun popularitinya telah pun memberikan impak besar pada sejarah, dengan rekodnya telah pun dicatatkan oleh ahli falsafah dan saintis Greek, Aristotle serta pengkaji Rom, Pliny yang sangat berminat mengkaji alam semulajadi.

'Mayfly' tidaklah segah hidupan-hidupan lain yang mungkin boleh diklasifikasikan sebagai haiwan paling besar dan pantas. Namun serangga kecil ini memegang rekod di dunia sebagai makhluk paling cepat mati, berbanding semua hidupan lain.

Kitaran hidup seekor mayfly

mayfly peringkat nymph naiad

Mayfly juga dikenali dengan nama yang hanya miliknya - 'one day insect' atau serangga satu hari. Ini kerana kitaran hidup seekor mayfly bermula dan berakhir daripada lahir sehinggalah membesar dan mati, semuanya berlaku dalam sehari sahaja.

Dianggap sebagai salah satu makanan paling penting untuk ikan, jangka hayat 'mayfly' merupakan sebuah kisah yang tragis jika dibandingkan dengan hidupan-hidupan lain.

Seekor mayfly betina mampu melahirkan beribu-ribu biji telur secara serentak di atas permukaan air. Apabila telur-telur itu menetas, anak-anaknya akan lahir dalam keadaan yang digelarkan nymph atau naiad, terapung dalam kawasan akuatik serta terus hidup dalam keadaan sedemikian selama bertahun-tahun lamanya.

Berada di dalam air, mayfly muda ini yang masih belum terbentuk organnya hidup dengan memakan alga serta bahan-bahan organik dalam air.

Membesar menjadi subimago

mayfly peirngkat subimago

Selepas berbulan-bulan berlaku atau bertahun lamanya hidup dalam air, nymph mayfly tadi akan mula berubah bentuk dengan pembentukan sayap menjadi perbezaan utama antara peringkat nymph dengan peringkat seterusnya, iaitu subimago yang hidup di atas permukaan air.

Walaupun rupanya sudah hampir menyerupai bentuk dewasa, pada ketika ini subimago mayfly masih lagi tidak mempunyai organ seks yang lengkap berikutan pertumbuhan yang belum sempurna. Matanya pada ketika ini juga belum mampu melihat dengan baik dengan kakinya juga belum cukup kuat untuk menampung berat badannya.

Selepas beberapa hari melalui peringkat ini dan kulitnya mengelupas mengeluarkan kepaknya sudah terbentuk dengan sempurna, mayfly peringkat subimago ini akan terbang memulakan hidup dewasanya yang sangat singkat, selepas bertahun lamanya membesar dalam peringkat yang digelarkan 'imago'.

Rupa mayfly pada peringkat 'subimago' dan 'imago' sangat berbeza sehinggakan sangat mudah untuk berlaku kekeliruan dengan menyangkakan kedua-duanya adalah spesis yang berbeza.

24 jam untuk hidup dan meninggalkan zuriat

mayfly hidupan paling singkat usia

Selepas mencapai peringkat dewasa inilah mayfly akan mula melakukan satu-satunya tujuan hidup mereka. Terbang dalam kumpulan yang besar, mayfly jantan akan melakukan formasi terbangan yang menandakan sudah sesuai untuk mereka mengawan.

Ketika inilah akan berlaku acara ritual mengawan dengan mayfly jantan akan terbang di atas air ke atas dan ke bawah, dalam usaha menarik minat mayfly betina. Mayfly betina yang terangsang kemudiannya akan menyertai kumpulan mayfly jantan sebelum proses persenyawaan berlaku apabila mayfly jantan berjaya menangkap mayfly betina yang terbang berdekatannya.

Selepas proses mengawan selesai dan matfly jantan melepaskan mayfly betina, mayfly betina akan melepaskan telur yang telah terhasil daripada persenyawaan benih sebentar tadi, kebiasaannya ke dalam air.

Ada spesis mayfly yang betinanya mati di atas permukaan air lalu telurnya menetas di dalam badan ibunya membolehkan beribu nymph baru tersebar di dalam air. Ada juga spesis mayfly betinanya yang terbang rendah lalu melepaskan telur-telur tadi ke dalam air seperti sebuah pesawat pengebom sebelum mati tidak lama selepas itu.

Bagi mayfly jantan pula setelah selesai mengawan, haluan mereka berbeza dengan mayfly betina. Mayfly jantan pula akan terbang mencari kawasan daratan seperti tanah dan kemudiannya mati tidak lama kemudian.

Anak-anak mereka yang selamat disenyawakan kemudiannya akan kembali melalui kitaran hidup yang serupa, hidup di dalam air kemudian dewasa sebelum mati tidak lama selepas mampu melihat dunia.

Keburukan dan kebaikan ekologi mayfly pada manusia

mayfly menghurung sumber cahaya

Mempunyai jangka hayat satu hari sekalipun, mayfly kebiasaannya mempunyai musim mengawan tertentu dengan bulan Jun menjadi musim mayfly mengawan di sepanjang kawasan sungai.

Bagi masyarakat yang berdepan dengan musim mengawan mayfly ini, kebiasaannya akan mengalami beberapa isu tertentu disebabkan kewujudan serangga ini yang banyak. Oleh kerana mayfly gemarkan sumber cahaya, beribu-ribu ekor akan menghinggapi lampu sehingga menyebabkan lampu jalan menjadi samar-sama.

Ruangan pejalan kaki serta jalan raya juga menjadi licin disebabkan tubuh mayfly yang tidak bernyawa memenuhi laluan, menjadikan permukaan jalan berminyak. Walaupun begitu, kewujudan mayfly pada sesuatu kawasan menandakan sistem alam semulajadi di kawasan tersebut berjalan dengan baik, kerana mayfly sangat sensitif dengan sungai yang tercemar. Kehadiran mereka menandakan kualiti sungai kawasan tersebut sangat baik.

Selain itu, mayfly juga menjadikan sumber ikan untuk pemancing amat mudah diperolehi. Oleh kerana tubuh mayfly yang mati menjadi sumber makanan ikan, ikan-ikan di sungai seakan-akan berpesta memenuhkan perut memudahkan orang ramai menangkap ikan.

Begitulah serba sedikit kisah berkenaan hidupan yang diiktiraf paling singkat nyawanya berbanding hidupan-hidupan lain. Walau hanya hidup sehari, sumbangannya pada alam sekitar pasti sebenarnya jauh besar berbanding apa yang mampu kita dapat fahami setakat ini.

Rujukan

NYTimes

Pittsburgh Mayfly

Pennlive


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)