Oleh pada 21 Oct 2021 kategori

Pada tahun 1898, lahirnya seorang lelaki yang bakal dinobatkan sebagai individu paling pintar di dunia. Namanya ialah William James Sidis dan dia dianggarkan mempunyai tahap penilaian IQ paling tinggi dalam sejarah.

Ibu bapanya iaitu Boris dan Sarah bukanlah calang-calang orangnya. Bapanya Boris ialah seorang ahli psikologi terkenal manakala ibunya Sarah pula ialah seorang doktor.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Ibu bapa William adalah pendatang daripada Ukraine yang memilih Bandar New York sebagai tempat tinggal baru mereka. Pasangan suami isteri itu begitu teruja dengan kelahiran William.

Mereka mula mendapati bahawa William berbeza berbanding kanak-kanak lain. Pasangan itu membelanjakan banyak wang untuk membeli alat pembelajaran seperti buku dan peta untuk meningkatkan kemahiran anak mereka.

Namun, mereka tidak mengetahui bahawa anak mereka adalah lebih pintar daripada apa yang disangkakan.

Genius sejak kecil

Ketika hanya berusia 18 bulan, William James Sidis sudahpun boleh membaca akhbkar The New York Times. Apabila usianya mencecah enam tahun, William boleh bertutur dalam beberapa bahasa termasuk Bahasa Inggeris, Perancis, Jerman, Rusia, Hebrew, Turki dan Armenia.

william ketika kecil

William ketika kecil

Malah, William juga mencipta bahasanya sendiri ketika kecil. Dia menggunakan bahasanya itu untuk menulis sajak, novel dan perlembagaan untuk "kerajaan" khayalannya.

Ketika berusia 9 tahun, William juga telah diterima masuk ke dalam salah sebuah universiti terbaik dunia iaitu Harvard University. Namun, universiti itu tidak membenarkannya menghadiri kuliah sehinggalah berusia 11 tahun.

Ketika berusia 11 tahun juga, William memberikan kuliah kepada Kelab Matematik Harvard mengenai topik ruang empat dimensi yang sangat kompleks. Kebanyakan hadirin tidak memahami apa yang diterangkan tetapi bagi mereka yang memahaminya, ia merupakan pelajaran yang bermakna.

IQ William James Sidis

Banyak spekulasi telah dibuat selama ini mengenai IQ sebenar William James Sidis. Ini kerana, kebanyakan rekod mengenai ujian IQ William telah hilang ditelan zaman. Sejarawan hari ini terpaksa membuat anggaran mengenai tahap IQ William.

iq william james sidis

Bagi memudahkan mereka memahaminya, 100 dianggap sebagai purata IQ manakala 70 adalah di bawah standard. Apa-apa markah di atas 130 dianggap sebagai berbakat atau sangat pintar.

Sejarawan menggunakan analisis yang sama untuk tokoh-tokoh hebat terdahulu termasuklah tahap IQ Albert Einstein (160), Leonardo da Vinci (180) dan Isaac Newton (190).

Bagi William James Sidis pula, sejarawan menganggarkan bahawa dia mempunyai IQ sekitar 250-300. Ini adalah jauh lebih tinggi berbanding tokoh-tokoh terkenal yang lain. Kepintaran William adalah sama seperti kepintaran tiga manusia yang mempunyai tahap IQ purata digabungkan.

Walaupun mempunyai kepintaran tinggi, dia bergelut untuk menyesuaikan diri dengan orang ramai yang tidak memahaminya.

Sukar menyesuaikan diri dengan dunia

Selepas tamat belajar di Harvard University pada usia 16 tahun, William memberitahu wartawan dalam satu temuramah bahawa "Saya mahu menjalani kehidupan sempurna. Kehidupan sempurna adalah hidup dalam pengasingan kerana saya tidak suka bergaul."

Tidak lama selepas tamat belajar, William mengajar matematik di Rice Institute di Houstan, Texas. Namun, ia tidak bertahan lama kerana William kelihatan seperti terpinggir. Mungkin kerana kebanyakan para pelajarnya lebih tua berbandingnya.

william james sidis dihukum penjara

William yang sememangnya popular sejak kecil menjadi tajuk kontroversi apabila dia ditahan di Perarakan Sosialis May Day Boston pada tahun 1919. Dia dijatuhkan hukuman penjara 18 bulan atas kesalahan merusuh dan menyerang anggota keselamatan.

Namun, William menafikannya dan ramai percaya dia tidak melakukannya. Selepas menjalani hukumannya, William nekad untuk tinggal dalam pengasingan daripada media dan orang ramai.

Dia melakukan beberapa kerja biasa yang tidak memerlukan kepakarannya. Paling tidak sekalipun, dia pernah bekerja di dalam bidang perakauan di syarikat kecil. Apabila ada rakan sekerja yang mengetahui tentang latar belakangnya sebagai genius, William akan berhenti kerja serta-merta.

Pengakhiran menyedihkan individu paling pintar

Pada suatu tahap, William mendakwa dia mual melihat formula matematik. Dia tidak mahu melakukan kerja yang memerlukannya berfikir. Apa yang ingin dilakukannya adalah melakukan kerja biasa tetapi orang di luar sana tidak berhenti mengganggunya.

william james sidis dewasa

Gambar William James Sidis tidak lama sebelum meninggal dunia

Pada tahun 1937, William mendapat perhatian buat terakhir kalinya apabila seorang wartawan The New Yorker menulis artikel tentang kehebatannya. William bertindak menyaman penulis itu kerana melanggar privasinya tetapi hakim menggugurkan kes itu.

Hakim memutuskan bahawa apabila seseorang itu sudah menjadi tokoh masyarakat, dia akan selamanya dikenali orang ramai. William yang kalah dalam kes itu kembali mengasingkan diri dari perhatian umum.

Pada tahun 1944, mayat lelaki paling pintar itu ditemui oleh tuan rumahnya. William James Sidis meninggal dunia akibat pendarahan otak pada usia 46 tahun.

Lelaki yang pernah dinobatkan sebagai individu paling pintar itu meninggalkan dunia dalam keadaan miskin dan hanya bekerja sebagai seorang kerani pejabat. Mungkin, ia adalah apa yang diimpikan oleh William.




Hakcipta iluminasi.com (2017)