Ia adalah perkara biasa bagi orang kaya untuk meninggalkan sebahagian atau seluruh harta mereka kepada pewaris seperti ahli keluarga atau rakan-rakan. Walau bagaimanapun, sangat jarang berlaku di mana orang kaya meninggalkan kekayaan mereka kepada orang yang tidak dikenali. Berikut adalah kisah di mana tujuh individu pemurah yang mewariskan harta mereka kepada orang asing.

1. Seorang hartawan tanpa nama dari Brooklyn

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada tahun 1919, seorang lelaki yang terkenal kerana kekayaan dan sifat anehnya telah meninggal dunia. Antara sifat anehnya itu dapat dilihat pada wasiat yang ditinggalkannya.

Sebelum meninggal dunia, dia telah memberitahu pengurus harta pusakanya bahawa dia memiliki 71 pasang seluar panjang. Dia mengarahkan pengurus harta itu menjual semua seluarnya dalam lelongan selepas kematiannya dan keuntungan daripada jualan itu hendaklah diagihkan kepada fakir miskin.

Dia juga memberitahu pengurus harta itu bahawa semua seluarnya itu mestilah dijual kepada pembeli berbeza dan tiada seorang pun yang dibenarkan untuk membelinya lebih daripada sehelai. Permintaan lelaki itu dijalankan oleh pengurus harta seperti yang diminta.

Apa yang mengejutkan ialah, setiap seluar yang dijual itu mempunyai uncang kain tersembunyi mengandungi wang bernilai USD 1,000 (dianggarkan bernilai USD 13,514 pada hari ini). Ahli keluarganya pula tidak ditinggalkan harta walaupun sedikit. (sumber)

2. John White

pound sterling

Apabila John White dari Somerset, England, meninggal dunia pada usia 96 tahun, Dia telah meninggalkan wang sebanyak £ 40,000 kepada anak saudaranya Richard (White tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak). Richard kemudian telah menabung wang itu dalam dana amanah untuk anak-anaknya sendiri.

Apa yang menariknya ialah tentang sebahagian besar lagi kekayaan White yang bernilai £ 2,000,000. Semua wang itu telah dibahagikan kepada beberapa gereja, sekolah dan organisasi di kawasan tempat White tinggal. 

Namun, tiada seorang pun daripada pertubuhan-pertubuhan itu yang mengenali White atau mengetahui sebab mengapa dia meninggalkan harta yang banyak kepada mereka. Richard dan ahli keluarga yang lain memberitahu bahawa mendiang White sememangnya seorang yang suka membuat kejutan. (sumber)

3. Charles Vance Millar

charles vance millar

Charles Vance Millar

Seorang peguam dari Kanada, Charles Vance Millar, terkenal di kalangan sahabat-sahabatnya sebagai seorang yang suka bergurau. Jadi, mereka tidak begitu hairan melihat wasiat pelik yang ditinggalkan Millar selepas dia meninggal dunia.

Millar tidak pernah berkahwin atau mempunyai anak tetapi mempunyai tiga orang rakan baik yang membenci antara satu sama lain. Dalam wasiatnya, dia telah mewariskan sebuah rumah percutian di Jamaica kepada ketiga-tiga orang sahabatnya itu tetapi dengan syarat mereka perlu tinggal bersama-sama.

Millar juga cuba berjenaka apabila mewariskan saham Kelab Joki Kuda Ontario bernilai USD 25,000 setiap satu kepada beberapa pertubuhan aktivis anti-perlumbaan kuda.

Apa yang paling menarik ialah klausa ke-10 dalam wasiatnya. Baki aset yang dimilikinya hendaklah dicairkan selepas 10 tahun daripada tarikh kematiannya. Semua harta itu kemudian didermakan kepada wanita di Toronto yang paling ramai melahirkan anak.

Pada tahun 1936, baki hartanya bernilai CAD 750,000 dibahagikan kepada 6 orang wanita di mana empat daripadanya melahirkan seramai sembilan orang anak. (sumber)

4. Dr. Meszaros

doktor meszaros jatuh cinta dengan pelakon corin ward

Pada tahun 1930, sebuah akhbar dari Vienna, Austria, telah melaporkan kisah seorang pelakon muda Austria bernama Corin Ward yang dianugerahkan dengan harta pusaka daripada seseorang yang tidak dikenalinya.

Wanita itu menerima panggilan telefon daripada pihak pengurusan harta mengenai pusaka yang ditinggalkan kepadanya dan dia bersetuju untuk pergi ke pejabat pengurusan harta itu.

Rupa-rupanya, seorang lelaki yang hanya merujuk dirinya sebagai "Dr. Meszaros" telah meninggalkan sejumlah wang bernilai € 50,000 kepada Corin. Dr. Meszaros sebenarnya mencintai Corin tetapi tidak berani untuk memberitahunya. Dia yang tidak berkahwin atau mempunyai anak memilih untuk meninggalkan kekayaannya kepada Corin. (sumber)

5. Henri de la Salle

surat wasiat

Kisah ini juga berlaku pada tahun 1930. Seorang pelakon muda bernama Lillian Mallrup mendapati dirinya tiba-tiba menjadi kaya kerana mewarisi harta daripada orang yang tidak pernah dia temui atau kenali.

Lillian telah diberitahu melalui surat bahawa salah seorang rakan kepada bapa saudaranya telah meninggal dunia di Paris dan mewariskan harta sebanyak € 700,000 kepadanya. Satu-satunya syarat dalam wasiat itu ialah Lillian perlu mengasingkan € 100,000 untuk dimasukkan dalam dana amanah untuk membantu pelajar-pelajar kolej yang memerlukan.

Pelakon muda itu sangat terkejut dengan hadiah lumayan yang diterimanya itu dan menyatakan bahawa dia hanya mengetahui tentang Henri de la Salle apabila bapa saudaranya menyebut nama lelaki itu dalam surat yang ditulisnya. (sumber)

6. Luis Carlos de Noronha Cabral da Camara

luis carlos de noronha cabral da camara

Apabila Lous Carlos meninggal dunia pada usia seawal 42 tahun, dia tidak berkahwin, tidak mempunyai anak dan juga tidak mempunyai sanak saudara yang dikenalinya.

Walaupun tidak mempunyai pewaris, warga Portugis itu tahu bagaimana untuk membahagikan harta-harta yang dimilikinya. 13 tahun sebelum meninggal dunia, Luis Carlos telah menulis wasiat untuk menguruskan pangsapuri 12 bilik miliknya di Lisbon, rumah di utara Portugal, kereta dan wang tunai bernilai € 25,000.

Dia kemudian membahagikan semua harta-hartanya itu kepada 70 orang penerima yang dipilihnya secara rawak melalui buku telefon Lisbon. Disebabkan cara wasiat yang pelik ini, ramai penerima yang menganggap bahawa mereka sebenarnya ditipu oleh sindiket penipuan. (sumber)

7. Archibald McArthur

archibald mcarthur dodgeville hermit

Archibald McArthur aka Dodgeville Hermit

Archibald McArthur adalah seorang yang penuh misteri. Selepas perang saudara, dia telah berpindah dan tinggal di Dodgeville, Wisconsin. Dia memulakan hidup di sana tanpa wang tetapi tidak lama selepas itu dia menjadi seorang peguam yang berjaya dan kaya.

Akan tetapi, secara tiba-tiba McArthur telah memutuskan untuk melepaskan kekayaannya dan membasmi kemiskinan di kawasannya. Dia sering mendermakan wang dengan meninggalkannya di kawasan perkuburan.

Pada tahun 1922, dia membeli sebuah kereta dan berpindah ke Florida. Apabila dia meninggal dunia, wasiatnya mendedahkan bahawa McArthur telah meninggalkan USD 5 kepada saudara-maranya setiap seorang.

Manakala wang selebihnya (dianggarkan bernilai kira-kira USD 3 juta hari ini) pula diwariskan kepada seorang lelaki yang pernah dia temui dan berbual di sebuah kerusi di taman. McArthur juga seperti seorang selebriti di Wisconsin di mana dia biasanya digelar sebagai Dodgeville Hermit atau Petapa Dodgeville. (sumber)




Hakcipta iluminasi.com (2017)