iluminasi rani gaidinliu

"Kita adalah orang yang bebas! Lelaki-lelaki berkulit putih ini tidak layak memerintah kita!"

Kata-kata itu bergema kuat menyemarakkan semangat pengikut-pengikut pergerakan agama Heraka dari suku kaum Naga, yang bertempat di bahagian utara India. Rani Gaidinliu, ketua kepada suku etnik Naga memberikan ucapannya menentang penjajahan British ke atas daerah mereka. Ketika itu, Rani hanyalah seorang wanita yang usianya baru mencecah belasan tahun.

Ini kisah beliau.

Rani Gaidinliu mula bergerak aktif dengan pergerakan agama Heraka atas ajakan sepupu beliau yang bernama Haipou Jadonang pada usia 13 tahun. Dilahirkan pada 26 Januari 1915 di sebuah kampung di daerah Manipur, Rani adalah anak ke lima dari 8 orang adik beradik.

iluminasi rani gaidinliu2

Semenjak kecil, Rani tidak pernah mendapat sebarang pendidikan awal. Rani mula mengikut pergerakan sepupunya, Haipou Jadonang, seorang ketua agama Heraka yang mempercayai dirinya adalah "Raja" kepada orang etnik suku Naga. Haipou mempunyai impian untuk menubuhkan negara sendiri bersama pengikutnya, yang digelarkan "Naga Raj" atau Naga Kingdom dan ini membuatkan suku etnik Naga mempunyai konflik dengan kerajaan British yang memerintah ketika itu.

Dengan kemasukan senjata-senjata api yang diseludup masuk ke kawasan mereka, pemberontakan suku etnik Naga yang diketuai oleh Haipou Jadonang mula bertukar menjadi pemberontakan bersenjata dan Rani Gaidinliu dilantik menjadi salah seorang ketua kepada askar gerilla, menentang penjajahan British ketika berumur 16 tahun.

Pada tahun 1931, Haipou Jadonang berjaya ditangkap oleh pihak British lalu dihukum gantung, menyebabkan pergerakan pemberontak Naga kehilangan ketua mereka. Rani Gaidinliu naik menggantikan tempat sepupunya dan meneruskan perjuangan mereka. Bermula daripada situlah, Rani Gaidinliu dianggap sebagai jelmaan dewi suku mereka yang akan membebaskan mereka dari penjajahan.

iluminasi rani gaidinliu4

Rani memulakan pemberontakan dengan menggesa masyarakat setempat untuk tidak membayar cukai serta menggalakkan orang ramai mengelak untuk berkhidmat dengan British. Serentak dengan kempen itu, Rani memulakan beberapa siri serangan hendap bersenjata ke atas pegawai-pegawai British di sana.

British mula menyerang balas dengan memberikan tawaran wang ringgit kepada mana-mana individu yang berjaya memberikan maklumat terhadap pergerakan Rani yang amat licik dan sukar dikesan. Pada masa yang sama, British mempergunakan askar-askar India dari daerah Assam yang terletak berdekatan dengan kawasan Rani untuk menyerang pemberontak.

Pada Oktober 1932, Rani dan pengikutnya berpindah ke sebuah kampung yang bernama Pulomi dan membina kubu yang diperbuat daripada kayu. Bagaimanapun, nasib tidak menyebelahi mereka kerana askar-askar dari Assam melakukan serangan hendap yang mengakibatkan Rani dan pengikutnya ditangkap, lalu diserahkan kepada British.

iluminasi rani gaidinliu5

Nasib Rani Gaindinliu bertambah malang kerana bermula tahun 1933 , perjuangan Rani mula tersekat kerana terpaksa meringkuk di beberapa penjara.

Semuanya berubah pada tahun 1937, apabila bakal Perdana Menteri pertama India, Jawaharlal Nehru melawat Rani Gaidinliu di penjara dan berjanji untuk berusaha membebaskan beliau.

Nehru menulis surat memohon pelepasan Rani dari penjara kepada kerajaan British namun rayuannya ditolak atas dasar keselamatan. Bagaimanapun, selepas India mendapat kemerdekaan daripada British, Jawaharlal Nehru memenuhi janji beliau dan membebaskan Rani Gaidinliu yang ketika itu sudah hampir 14 tahun dalam penjara, pada usia 32 tahun.

Begitupun, Jawaharlal Nehru tidak membenarkan Rani kembali ke kampung halamannya jadi Rani pun menetap bersama adiknya yang bernama Marang sehinggalah tahun 1952, sebelum Rani dibenarkan pulang ke tanah asalnya oleh kerajaan India.

Jawaharlal Nehru mula melakukan lawatan ke kampung Rani untuk membentuk kerjasama di antara Rani dengan kerajaan India dan susulan daripada beberapa lawatan itu, Rani Gaidinliu pula mula melawat Jawaharlal Nehru di Delhi untuk membincangkan beberapa permintaan dan impiannya melihat masa depan bangsa Zeliangrong, entiti gabungan suku-suku etnik Naga, Manipur dan Assam tercapai.

iluminasi rani gaidinliu6

Rani Gaidinliu memohon agar bangsa Zeliangrong diberikan daerah sendiri dalam kerajaan India serta sudi bekerjsama dengan kerajaan Jawaharlal Nehru. Tindakan ini mendapat tentangan daripada bekas pengikutnya yang kini mempunyai ketua yang baru bernama Phizo. Phizo masih berkeras mahukan sebuah negara sendiri yang dinamakan "Naga Federal Government" dan inginkan kemerdekaan daripada kerajaan India, amat berlawanan dengan hasrat Rani yang mahu penyatuan antara ketiga-tiga etnik dalam satu bendera.

Rani merasakan ketengangan yang wujud antara tiga etnik Manipur, Assam dan Naga hanya akan mengeruhkan keadaan. Beberapa siri pertempuran berlaku antara kedua-dua pihak berpunca dalam isu agama mula berlaku akibat daripada Rani yang masih lagi mahu mengekalkan agama Heraka sebagai agama rasmi bangsa Zeliangrong, yang pada ketika itu sudah mula mengamalkan agama Kristian.

Akhirnya pada tahun 1964, Rani dan seterunya mencapai kata sepakat untuk bersama-sama menggesa kerajaan India memberikan bangsa Zeliangrong kuasa autonomi dan tanah sendiri dalam persekutuan India. Bagaimanapun, sebahagian daripada pengikut mereka masih mahu meneruskan agenda penubuhan negara sendiri bagi kaum Naga dan perjuangan mereka mula mempunyai dua laluan berbeza.

Pada 1966, Rani Gaidinliu kembali ke Delhi untuk menemui Perdana Menteri India ketika itu, Lal Bahadur Shastri bagi mengemukakan tuntutan mewujudkan unit pentadbiran Zeliangrong di daerah mereka, namun ditolak.

iluminasi rani gaidinliu3 177

Rani Gaindinliu meneruskan beberapa siri rundingan dengan kerajaan India dan tidak lagi menggunakan kekerasan dalam perjuangannya namun usahanya menemui jalan buntu. Pada 1991, Rani kembali ke tanah kelahirannya di kawasan bernama Longkao dan meninggal dunia pada 17 Februari 1993 ketika berumur 78 tahun. Walaupun ramai yang memberikan penghormatan terakhir pada beliau, kematian Rani Gaidinliu seolah-olah tidak dihiraukan oleh bekas pengikutnya yang sudah memulaukan dia kerana bekerjasama dengan kerajaan India.

Ketika perjuangan Rani Gaidinliu berakhir, perjuangan beberapa pihak yang memegang ideologi yang sama dengan Rani ketika awal dahuluditeruskan oleh pihak-pihak yang mahu menyatukan kaum Naga, di Utara Timur India dan Utara Barat Myanmar dalam satu negara yang dinamakan 'Nagalim.' Sehingga sekarang, satu pertubuhan bernama Nationalist Socialist Council of Nagaland atau NSCN terus berusaha memerdekakan tanah mereka daripada kerajaan India.

Pada 3 Ogos 2015, NSCN menerusi ketua mereka yang bernama T. Muivah dan Perdana Menteri India, Narendra Modi menandatangani perjanjian perdamaian yang menghentikan segala aktiviti kumpulan pemberontak terbesar di daerah tersebut. Pada ulang tahun sambutan kelahiran Rani Gaidinliu, Narendra Modi  mengumumkan syarat semua Menteri Kerajaan diwajibkan melawat daerah di bahagian Utara Timur India sebanyak dua kali setahun untuk memperbaiki hubungan di antara kerajaan India dan kumpulan pemberontak, bagi memperingati perjuangan Rani Gaidinliu yang berjuang sepanjang hayatnya menuntut kebebasan bagi bangsa mereka.


tags : , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)