Oleh pada 29 Sep 2019 kategori

Peta Libya moden yang kita kenali hari ini tidak terbentuk sepenuhnya sehingga pertengahan abad ke-20. Tanah di negara ini menjadi perebutan tiga penjuru oleh empayar Uthmaniyyah, Itali dan British.

Asalnya, Libya merangkumi tiga wilayah purba iaitu Cyrenaica (timur), Tripolitania (barat) dan Fezzan (selatan). Wilayah Cyrenaica dikuasai oleh empayar Uthmaniyyah dan di sinilah, seorang warga Algeria iaitu Muhammad ibn Ali Senussi telah mengasaskan gerakan Muslim Sufi Senussi pada penghujung abad ke-18.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Muhammad menubuhkan gerakan itu kerana dia melihat pemikiran dan kerohanian umat Islam pada masa itu semakin lemah. Dia telah membangunkan sebanyak 330 pusat pengajian agama dan sebuah perkampungan berhampiran Mesir bernama Jaghbub yang menjadi pusat baru gerakannya.

gerakan senussi

Gerakan Muslim Sufi Senussi

Di Jaghbub jugalah di mana cucunya, Muhammad Idris bin Muhammad al-Mahdi as-Senussi, dilahirkan. Dia dilahirkan pada 12 Mac 1889 dan dianggap sebagai salah seorang yang istimewa dalam masyarakat.

Idris kemudian mengambil alih kepimpinan Senussi selepas sepupunya yang merupakan Pemerintah Tertinggi melepaskan jawatan itu. Dia kemudian membentuk hubungan dengan British bagi menangani serangan dari Itali.

tentera itali di libya

Tentera Itali di Libya

Melalui hubungan itu dia berjaya membuat rundingan dengan pihak Itali pada Julai 1916. Mereka kemudian menandatangani rundingan damai di mana Itali mengiktiraf gerakan Senussi sebagai kuasa pemerintah Cyrenaica. Ketika itu Idris dilantik menjadi ketua pemerintah wilayah itu.

Berikutan kematian pemimpin wilayah Tripolitania, Ramadan al-Suwayhili, pada tahun 1920, Idris telah menggunakan kuasa ketenteraannya untuk menguasai wilayah itu. Walaupun penyatuan dua wilayah itu ditentang oleh Itali, Idris tetap meneruskan hasratnya.

peta libya lama

Pada November 1920, ketua-ketua puak di kedua-dua wilayah itu telah berjumpa di Gharyan untuk menamatkan keganasan yang berlaku. Mereka telah bersetuju untuk menjadikan Idris sebagai pemimpin dan mengembalikan kestabilan di Tripolitania. Keadaan ini membuatkan hubungan Senussi dan Itali semakin merosot. 

Pada penghujung 1922, Idris telah melarikan diri ke Mesir kerana khuatir pergerakan Senussi akan menerima tindak balas ketenteraan Itali yang ketika itu dipimpin oleh Benito Mussolini. Sejurus selepas itu, Itali melancarkan gerakan untuk menakluk semua wilayah di Libya.

raja idris menjalinkan hubungan dengan british

Raja Idris menyokong British bagi menentang Itali

Apabila tercetusnya Perang Dunia Kedua pada 1939, Idris telah menyokong British yang ketika itu berperang dengan Itali. Dia berharap agar dapat menamatkan penjajahan Itali di Libya.

Setelah kekalahan Itali pada Perang Dunia Kedua, Libya diletakkan di bawah penguasaan ketenteraan British dan Perancis. Mereka memerintah wilayah-wilayah itu sehingga 1949. Ketika itu, pergolakan menuntut kemerdekaan Libya semakin memuncak.

mata wang united kingdom of libya

Perhimpunan Bangsa-Bangsa Bersatu juga meluluskan resolusi bahawa kemerdekaan harus diberikan sepenuhnya kepada Libya pada tahun 1952. Pada tahun 1951, Idris telah kembali ke Cyrenaica dari Mesir dan diisytiharkan sebagai Raja United Kingdom of Libya. Dia menjadikan Benghazi sebagai ibu negeri.

Ketika itu Libya adalah negara miskin yang musnah akibat perperangan. Ini memaksa Idris untuk membuat pakatan dengan Barat. Dia  membenarkan penubuhan pangkalan tentera Amerika dan British di negara itu sebagai balasan untuk pembiayaan pembangunan Libya.

industri minyak di libya

Industri minyak di Libya

Raja Idris berjaya menyatukan ketiga-tiga wilayah utama di Libya sebagai sebuah negara. Sebagai seorang muslim yang alim, Raja Idris tidak membenarkan wajahnya diletakkan pada mata wang Libya dan tidak mahukan apa-apa sekalipun dinamakan sempena namanya kecuali Lapangan Terbang Idris di Tripoli.

Penemuan minyak pada tahun 1959 membuatkan Libya berkembang dengan lebih pesat lagi. Amerika Syarikat telah membantu dengan menyalurkan sumbangan bernilai USD 100 juta dan memainkan peranan penting dalam perkembangan industri minyak di Libya. Seperti biasa, Amerika mengharapkan sesuatu daripada bantuan ini.

raja idris 238

Libya yang semakin kaya dengan hasil minyak itu mula dicemari dengan rasuah dan korupsi. Raja Idris mengutuk sekeras-kerasnya perkara itu dengan mengatakan ia dapat menghancurkan Libya dan memberi nama buruk negara itu di mata dunia.

Pada 1963, Raja Idris telah memansuhkan sistem pemerintahan persekutuan. Dengan itu dia dapat mengukuhkan ekonomi dan pemerintahan negara pada satu pemerintahan pusat sahaja. Semua cukai dan keuntungan hasil minyak akan terus masuk kepada kerajaan pusat.

raja idris of libya

Namun, perubahan ini tidak begitu disambut baik oleh daerah-daerah di Libya kerana kuasa pemimpin tempatan semakin berkurangan. Ketika ini, kesihatan Raja Idris mulai merosot. Dia perlahan-lahan berundur dari pentadbiran negara dan kehidupan awam. Anak saudaranya mula menjalankan tugas memerintah bagi pihaknya.

Raja Idris dikatakan telah menggunakan hasil minyak untuk mengukuhkan kedudukan keluarganya dan puak sekutunya yang menyokong pemerintahan beraja sahaja. Dia dikatakan tidak menunjukkan minat yang bersungguh-sungguh dalam memerintah ketiga-tiga wilayah sebagai satu komuniti politik yang bersatu. 

muammar gaddafi melambai tangan selepas berjaya dalam rampasan kuasa libya

Muammar Gaddafi melambai tangan selepas berjaya dalam rampasan kuasa Libya

Sokongan terhadap Raja Idris dilihat semakin berkurangan di wilayah Tripolitania dan Fezzan. Pada 1 September 1969 ketika Raja Idris berada di Turki untuk mendapatkan rawatan perubatan, satu cubaan rampasan kuasa telah dilakukan oleh pegawai-pegawai tentera yang diketuai oleh Muammar Gaddafi.

Rampasan kuasa itu berjaya, menyebabkan pemerintahan beraja dihapuskan. Dari Turki, Raja Idris melarikan ke Greece sebelum menjadi pelarian di Mesir. Dia kekal di Mesir sehingga meninggal dunia pada tahun 1983 ketika berusia 94 tahun.

Rujukan:

1. Raja Idris, penyatu Libya yang dilupakan

2. Raja Libya yang diguling Muammar Gaddafi

3. Raja yang menubuhkan Libya moden




Hakcipta iluminasi.com (2017)