Oleh pada 09 Jul 2019 kategori

Adakah seorang individu boleh mengubah hidup 100,000 yang lain? Jika anda bertanyakan soalan ini kepada pesakit Dr. Sanduk Ruit, jawapan sebulat suara yang akan anda dengar adalah, YA!

Terdapat sekitar 223 juta orang di dunia yang mengalami beberapa jenis kerosakan penglihatan, tetapi jumlah yang besar ini tidak mematahkan semangat Dr Sanduk Ruit. Sebagai pakar mata, beliau telah mengembalikan penglihatan kepada lebih 100,000 orang dan beliau kelihatan seperti tidak mahu berhenti.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dr. Sanduk hanya memerlukan masa 5 minit untuk mengubah kehidupan seseorang. Dalam tempoh yang singkat ini, beliau boleh membuat pemotongan kecil di mata pesakitnya, mengeluarkan katarak rosak dan menggantikannya dengan lensa tiruan murah.

Kehidupan awal yang perit

dr sanduk ruit ketika kecil

(Zaman kanak-kanak Dr Sanduk. Beliau berada di barisan belakang, dua dari kanan)

Dr Sanduk Ruit dilahirkan di Nepal pada tahun 1955. Keluarganya sangat miskin dan sekolah paling hampir dengan tempat tinggal mereka adalah sejauh 11 hari berjalan kaki.

Namun, bapanya menjadikan pendidikan anak-anaknya sebagai keutamaan, membuatkan beliau meninggalkan rumah untuk memulakan pendidikannya di sekolah asrama St. Robert di Darjeeling, India

Setahun sebelum kelahiran Dr. Sanduk, abang beliau meninggal dunia kerana cirit-birit pada usia 3 tahun. Adik perempuannya pula meninggal dunia kerana demam ketika berusia 8 tahun.

Namun, kematian seorang lagi adiknya yang berusia 16 tahun akibat batuk kering benar-benar menghentam jiwa Dr. Sanduk.

adik perempuan dr sanduk bernama yangla

(Adik perempuan Dr Sanduk, Yangla)

Selepas kematian ke-3 ini, beliau sedar bahawa sesuatu harus dilakukan untuk mengelakkan lebih ramai orang yang disayanginya meninggal akibat penyakit yang boleh diubati.

Menjelang usia 19 tahun, Dr. Sanduk kehilangan 3 adik beradiknya akibat penyakit. Beliau sedar jika mereka menerima rawatan kesihatan yang berpatutan lebih awal, kematian mungkin dapat dielakkan.

"Adik perempuan saya yang merupakan rakan baik saya adalah sumber inspirasi saya untuk mempelajari bidang perubatan," kata Dr. Sanduk.

Beberapa tahun kemudian, keazamannya untuk menjadi seorang doktor dan membantu orang miskin menjadi realiti apabila menerima biasiswa melalui Pelan Colombo.

pesakit mata nepal

Pada tahun 1978, Dr. Sanduk menerima ijazah perubatannya dari King's George Medical Universiti di Lucknow, India yang dikenali sebagai antara salah satu universiti terkemuka di India.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai seorang doktor junior di hospital Bir, sebuah hospital awam di ibu kota Nepal, Kathmandu.

Beberapa bulan kemudian, beliau mendapat peluang untuk pergi ke kampung kelahirannya sebagai seorang doktor untuk pegawai kerajaan Nepal yang ditugaskan untuk meninjau sempadan dengan negara jiran iaitu China.

Ketika itu, Dr. Sanduk berjaya menyelamatkan nyawa budak berusia 4 tahun. Berita beliau menyelamatnya nyawa kanak-kanak tersebut tersebar di kampungnya dengan begitu pantas.

Bekerjasama dengan Dr Fred Hollow

dr sanduk dan dr fred minum bersama pada tahun 1980

(Dr Sanduk dan Dr Fred minum bersama pada tahun 1980)

Kerana takdir, Dr. Sanduk dipertemukan dengan rakan dan mentornya dari Australia, Dr. Fred Hollows. Pada tahun 1985, Dr Fred telah dihantar ke Nepal untuk mengkaji trakhoma, salah satu penyebab utama buta, untuk Pertubuhan Kesihatan Sedunia.

Bagi Dr. Sanduk, Dr. Fred tidak sepadan dengan imej seorang doktor konvensional yang biasa dilihatnya. Pada masa lalu, beliau tidak pernah melihat doktor Barat yang datang ke Nepal dengan sikap merendahkan diri.

Ketika inilah terbinanya perkongsian seumur hidup. Pada tahun 1987, Dr. Sanduk dan isterinya telah dijemput ke Australia oleh Dr. Fred dan isterinya, Gabi Hollows.

dr fred dan dr sanduk di awal tahun 1990an

(Dr Fred dan Dr Sanduk di awal tahun 1990-an)

Semasa di Australia, Dr. Sanduk dan Dr. Fred membincangkan bagaimana mereka boleh membawa pembedahan katarak bertaraf dunia ke Nepal.

Anggota komuniti Nepal di Sydney pada ketika itu berminat untuk memberikan sebarang bantuan yang mampu untuk tujuan tersebut.

Program Eye Nepal Australia kemudiannya dibentuk. Pengumpulan dana pertama yang mereka lakukan untuk organisasi ini berjumlah RM600.

Pertarungan dengan katarak

dr sanduk memeriksa mata pesakit di nepal pada tahun 1992

(Dr Sanduk memeriksa mata pesakit di Nepal pada tahun 1992)

Katarak adalah salah satu sebab utama buta di Nepal, tetapi pembedahan untuk merawat penyakit itu dilakukan dengan cara lama.

Oleh itu, Dr. Sanduk ingin mengubah situasi ini di mana beliau  mahu melakukan jenis pembedaan yang sama yang dilakukan di negara-negara Barat untuk orang kebanyakan di Nepal.

Dengan matlamatnya untuk membekalkan pembedahan katarak yang mampu dan mampan, beliau berhenti kerja dari hospital mata kebangsaan dan menubuhkan satu pasukan untuk pergi ke kampung-kampung bagi melakukan pembedahan.

dr sanduk ruit sangat mesra dengan pesakitnya 3

Idea inovatifnya untuk pembedahan termasuklah teknik mudah dan keadaan optimum. Daripada tempoh beberapa hari yang diperlukan bagi bagi memulihkan penglihatan menggunakan cara tradisional, teknik Dr. Sanduk hanya mengambil masa beberapa minit.

Tindakannya ini membawa kepada kemarahan pertubuhan perubatan Nepal. Beliau kemudiannya dilaporkan kepada pihak kerajaan dalam usaha untuk menghentikan beliau daripada menyediakan pembedahan mata.

Mengubah dunia perubatan mata selamanya

dr sanduk bersama para pesakitnya 3

Selepas hampir 5 tahun melakukan pembedahan katarak yang berjaya dan penggunaan kanta intraokular, Dr. Sanduk dan Dr. Fred Hollows membawa idea mereka ke persidangan perubatan antarabangsa pada tahun 1989.

Usaha yang sepatutnya mendapat sokongan ini telah menerima hentaman sebagai sesuatu yang "terlalu rumit dan mahal". 

Mereka diberitahu untuk tidak meneruskan kerja tanpa melakukan ujian klinikal. Tindak balas yang dilakukan oleh Dr. Sanduk dan Dr. Fred membuatkan penentang mereka menyesal di kemudian hari. 

Mereka bertekad untuk membawa teknologi berpatutan ini ke Nepal dan ke bahagian lain dari negara membangun.

dr sanduk ruit dan seorang pesakit warga emas

Selepas persidangan itu, perjalanan mereka untuk mendapatkan pengiktirafan antarabangsa bagi teknik mereka bermula.

Risiko yang mereka ambil membuahkan hasil di mana mereka berjaya membangunkan kanta intraokular jenis baru yang menurunkan harga kanta daripada RM400 kepada RM14 sahaja, penurunan sebanyak 96.5%.  

Ini mengubah cara Dr Sanduk dapat mencegah buta kerana pembedahan katarak kini merupakan salah satu yang paling kos efektif dari semua intervensi kesihatan.

Pada tahun 1994, doktor yang sentiasa tersenyum ini telah menubuhkan Pusat Mata Tilganga di Nepal, yang menyediakan akses kepada pembedahan katarak dan penjagaan mata asas kepada semua orang.

dr sanduk bersama para pesakitnya 417

Cara yang berkesan untuk menyelamatkan penglihatan ini tidak dialu-alukan pada mulanya, tetapi memandangkan kejayaan yang telah dicapai, kini ia diamalkan di seluruh dunia.

Walau bagaimanapun, tidak semua orang boleh sampai ke Institut Tilganga kerana Nepal adalah sebuah negara negara pergunungan.

Dr Sanduk tahu tentang perkara ini, jadi beliau membawa peralatannya dan menubuhkan kem mata bergerak di seluruh Nepal, menjangkau masyarakat luar bandar yang tidak dapat datang kepadanya.

Biasanya beratus-ratus orang datang untuk mendapatkan penjagaan mata dan Dr Sanduk menjalankan operasinya di mana-mana tempat perlindungan yang ada di kampung itu. 

dr sanduk ruit memeriksa mata pesakit

Berjuta-juta orang di seluruh dunia kini boleh mendapatkan pembedahan katarak yang berkualiti dan berpatutan disebabkan oleh usaha dan risiko yang diambil kedua-dua doktor hebat ini. Dr. Sanduk dan Dr. Fred terus bekerjasama sehingga tahun 1993 apabila Dr. Fred meninggal dunia akibat kanser.

Kini, beribu-ribu doktor dari seluruh dunia datang ke Nepal untuk belajar dari Dr. Sanduk Ruit dan Pusat Mata Tilganga di Kathmandu. Kanta intraokular yang dihasilkan di Nepal kini digunakan di lebih daripada 30 buah negara.

dr sanduk ruit hero dunia perubatan mata

(Dr Sanduk Ruit dianggap sebagai wira Nepal dan dunia perubatan mata seluruh dunia)

Dalam tempoh kerjayanya sebagai seorang doktor mata untuk lebih dari tiga dekad, Dr. Sanduk dikatakan telah membantu memulihkan penglihatan bagi lebih daripada 150,000 orang di banyak bahagian dunia termasuk Nepal, Korea Utara, Myanmar, Sudan, Ethiopia dan Ghana.

Kerja-kerja beliau telah mendapat sokongan dari selebriti Hollywood hinggalah ke Dalai Lama. Beliau juga telah dianugerahkan Order of Australia. Kini merupakan seorang pemimpin dunia dalam bidang oftalmologi, Dr. Sanduk mempunyai beberapa rancangan besar yang ingin dilaksanakannya.

kisah dr sanduk ruit diabadikan dalam biografi the barefoot surgeon

Kisah kejayaan Dr Sanduk Ruit ini diabadikan dalam biografi beliau berjudul The Barefoot Surgeon Jadi, ya, satu individu sememangnya boleh mengubah kehidupan 100,000 orang.

Rujukan:

  1. Healio
  2. Asia Society
  3. SBS
  4. YKA
  5. CNN



Hakcipta iluminasi.com (2017)