"Polio adalah penyakit yang sangat dahsyat dan mengerikan. Saya tak boleh bergerak, langsung. Kebanyakan manusia zaman kini tidak tahu langsung tentang Polio,".
Itulah kata-kata Paul Alexander, salah seorang pesakit Polio yang terselamat, yang menghabiskan hampir 24 jam setiap hari di dalam paru-paru besi di rumahnya.
Penyakit itu melumpuhkan tubuh badan Paul dari leher sehingga ke kaki. jadi mesin ini membantunya bernafas dengan menggunakan tekanan negatif untuk memaksa badannya menyedut udara.
BESARKAN TEKS A- A+
Paul hanya berusia 6 tahun ketika dia dijangkiti Polio pada tahun 1952, salah satu wabak yang paling dahsyat dalam sejarah Amerika Syarikat.
Apabila Paul pertama kali dijangkiti polio, dia hanyalah seperti kanak-kanak biasa. Namun, dia mula berasa tidak sihat dan apabila ibunya melihat muka Paul, dia terus dibaringkan di atas katil serta-merta.
5 hari kemudian, dia kehilangan segala-galanya. Paul tidak boleh bergerak, tidak boleh berjalan dan akhir sekali, dia tidak boleh bernafas.
Diafragmanya, yang penting dalam proses pernafasan, rosak, termasuklah dengan otot-otot badannya. Semua ini membuatkan Paul terpaksa hidup di dalam paru-paru besi ini selama-lamanya.
Ibu bapa pada ketika itu tersangat takutkan penyakit misteri yang membunuh ini, jadi mereka tidak membenarkan anak-anak mereka bermain dengan kanak-kanak lain.
Jika anak-anak mereka bersin sekalipun, itu sudah membuatkan ibu bapa sangat bimbang. Malah, kolam renang, panggung wayang dan sekolah juga ditutup.
Namun beberapa bulan sahaja selepas Paul dijangkiti Polio, Jonas Salk menemui vaksin untuk penyakit membunuh ini.
Hari ini, Paul adalah salah seorang daripada manusia yang terselamat daripada Polio, yang mengalami kelumpuhan teruk sehinggakan dia masih bergantung kepada peranti antik ini.
Dia hanya boleh meninggalkan paru-paru besinya itu untuk beberapa jam dalam satu-satu masa, dengan kesukaran yang teramat.
Dia bergantung kepada penjaganya untuk melakukan apa sahaja yang dia tidak mampu menggunakan mulutnya.
Pernafasannya yang keluar daripada paru-paru besi tersebut adalah secara sukarela, jadi dia perlu berfikir tentangnya dan berusaha untuk bernafas yang mana tidak seperti kita manusia normal.
Ini membuatkan Paul sangat letih dan selepas seketika, dia akan berehat.
Namun, paru-paru besi ini tidak menghalang Paul daripada menikmati kehidupannya yang tersendiri. Dia menamatkan pengajian dalam bidang undang-undang, lulus ujian bar dan menjadi pengamal undang-undang.
"Saya mempunyai beribu-ribu pelanggan yang tidak bimbang tentang paru-paru besi saya. Mereka datang ke pejabat saya dan berkata, "Apakah benda itu?". Dan saya beritahu mereka tentangnya. Mereka kemudian berkata, jika saya boleh bertahan, maka saya semestinya seorang peguam yang sangat hebat. Tiada siapa yang menolak saya," kata Paul Alexander.
Paru-paru besi yang terakhir pernah dikeluarkan adalah hampir separuh abad yang lalu, jadi Paul bergelut untuk mencari orang bagi membaiki mesin ini yang sangat antik.
Dia sangat terdesak untuk mendapatkan bantuan, membuatkan rakannya memuat naik video ke Youtube sambil Paul menjelaskan bahawa paru-paru besinya tidak berfungsi dengan baik.
Mereka sangat berharap bahawa sesiapa yang tahu tentangnya akan membantu Paul.
Tidak lama kemudian, Paul bertemu dengan seorang jurutera mekanikal tempatan, Brady Richards, pada tahun 2015 yang membuatkan dia boleh menarik nafas lega.
Menurut Brady, mesin yang digunakan oleh Paul itu semakin lusuh dan bocor, membuatkan tekanan yang diperlukan tidak cukup untuk membantunya bernafas.
Cabaran yang paling sukar untuk membaik pulih paru-paru besi antik ini adalah kekurangan alat ganti terutamanya yang bersaiz kecil. Dan disebabkan tiada siapa yang menghasilkannya, mereka terpaksa menghasilkan alat ganti tersebut sendiri.
"Hidup saya akan menjadi semakin sukar tanpa bantuan Brady, kerana saya mencari seseorang untuk membaik pulih mesin ini selama bertahun-tahun," kata Paul.
Bagi kebanyakan orang, penyakit Polio ini adalah satu sejarah yang telah lama dilupakan. Tetapi bagi Paul, ia masih segar diingatan kerana dia masih mengalaminya.
Polio masih menjadi kebimbangan utama bagi sesetengah negara membangun.
Sesetengah pakar memberitahu bahawa ia adalah mungkin untuk epidemik polio baru untuk berlaku di Amerika Syarikat dan beberapa negara lain, disebabkan oleh ibu bapa yang tidak mahu memvaksin anak-anak mereka.
"Apa yang paling menakutkan saya adalah jika Polio kembali menular. Jika terdapat kanak-kanak di Afghanistan atau Pakistan atau di mana-mana Polio masih berlaku, sesiapa yang membawa virus ini boleh datang ke Amerika Syarikat dan menjangkiti orang lain. Hanya seorang pun sudah mencukupi dan akan berlakunya epidemik baru," kata Paul.
Paul menulis nota hanya menggunakan mulutnya, dengan harapan ia akan membantu orang ramai memahami bagaimana dia hidup dengan Polio dan mengapa kita mesti terus untuk menghapuskannya secara global.
Kes Polio pertama di Malaysia selepas 27 tahun bebas
Dan di Malaysia, selepas 27 tahun negara kita bebas daripada penyakit membunuh ini, kini ia kembali semula.
Seorang bayi berusia 3 bulan di Sabah disahkan dijangkiti Polio, menjadi kes yang pertama selepas Malaysia diisytiharkan bebas Polio pada tahun 1992.
Kes yang berlaku di Tuaran, Sabah itu melibatkan bayi yang mengalami demam diikuti dengan lemah anggota badan, lalu dimasukkan ke ICU.
Pada 6 Disember 2019, bayi 3 bulan tersebut disahkan dijangkiti vaccine-derived poliovirus type 1 (VDPV1).
Ujian pengesahan oleh World Health Organization (WHO) Polio Regional Laboratory di Australia memberitahu bahawa virus tersebut mempunyai kaitan genetik dengan virus polio yang dikesan dalam kes Acute Flaccid Paralysis (AFP) di negara jiran, Filipina.
Rujukan:
1. Independent
2. Iron Lung
3. Gizmodo
4. Astro Awani