kisah pesakit 31 di korea selatan

"Jangan jadi seperti Pesakit 31".

Ayat ini menjadi satu tangisan di media sosial, yang mana dibincangkan oleh mereka yang cuba meyakinkan orang lain untuk melaksanakan penjarakan sosial secara serius bagi memperlahankan penyebaran wabak novel koronavirus.

Hal ini merujuk kepada wabak COVID-19 di Korea Selatan, di mana negara kecil ini adalah satu model bagaimana untuk bertindak balas terhadap virus itu, dengan pegawai kesihatan menguji 10,000-20.000 orang sehari.

Kes pertama di Korea Selatan dikesan pada 20 Januari 2020, melibatkan seorang wanita yang mengunjungi bandar metropolitan Seoul yang berpopulasi 25 juta.

Pihak berkuasa sudah memulakan protokol pembendungan yang ketat pada ketika itu dan wanita berkenaan diasingkan dengan serta-merta.

Empat minggu kemudian kes yang disahkan di Korea Selatan hanya berjumlah 30 orang, jauh lebih sedikit daripada di negara lain sebulan selepas kes pertama dikenalpasti. Hanya segelintir kes yang telah dilaporkan di Seoul.

"Saya rasa mengesan pesakit dengan lebih awal melalui ujian yang tepat diikuti oleh pengasingan boleh mengurangkan kadar kematian dan mencegah virus daripada tersebar," kata ketua Yayasan Perubatan Makmal Korea, Gye Cheol Kwon .

kes covid 19 di korea selatan

Kadar kematian di Korea Selatan adalah 0.9 peratus, sementara di beberapa negara lain ia lebih tinggi. Akan tetapi, usaha pembendungan besar-besaran oleh Korea Selatan mengalami kegagalan, hanya disebabkan seorang pesakit.

"Situasi di Korea Selatan tidaklah begitu serius sehinggalah pertengahan bulan Februari. Ia mula menjadi serius disebabkan oleh pesakit 31. Sebelum pesakit 31, strategi kami untuk membendung virus ini berhasil. Tetapi selepas terlalu ramai orang dijangkiti oleh pesakit 31, ia menjadi sukar untuk dikawal," kata Hwang Seung-sik, seorang ahli epidemiologi spatio-temporal di Universiti Kebangsaan.

Pada 17 Februari, kes ke-3 dikesan di sebuah klinik kesihatan di Daegu, bandar yang terletak 241 kilometer dari kawasan di mana kebanyakan jangkitan COVID-19 berlaku.

Seorang wanita berusia 61 tahun yang tinggal di Daegu dan berulang-alik sekali-sekali ke Seoul, telah disahkan positif COVID-19.

Ia kelihatan seperti kes biasa sehinggalah pihak berkuasa kesihatan mula mengesan jejak langkah pesakit tersebut yang membuatkan mereka sangat terkejut.

Dalam tempoh 10 hari sebelum pesakit ini disahkan positif, dia telah menghadiri dua upacara agama di gereja dengan sekurang-kurangnya 1,000 ahli yang lain.

Bagaimana seorang wanita warga emas yang digelar sebagai "super-spreader" ini boleh menyebabkan lonjakan kes COVID-19 di Korea Selatan?

Permulaan penyebaran COVID-19 oleh pesakit 31

gereja shincheonji

Pada mulanya, pesakit 31 mendaftarkan diri di Saeronan Chinese Medicine Hospital pada 7 Februari dan mengadu sakit kepala selepas terlibat dalam kemalangan kereta sehari sebelumnya.

Keesokan harinya, dia mengalami sakit tekak. Menurut hospital berkenaan, pesakit ini tidak mempunyai rekod ke luar negara atau sebarang kontak dengan pesakit COVID-19.

Dia juga tidak mengalami demam, batuk atau gejala pernafasan.

Pada 9 Februari, pesakit ini meninggalkan hospital itu untuk menghadiri satu upacara penyembahan di Gereja Shincheonji yang berlangsung selama 2 jam.

Adalah menjadi perkara biasa di Korea Selatan untuk pesakit hospital untuk keluar masuk hospital. Malah, ada yang berjalan di luar dengan pakaian hospital dan membawa titisan intravena bersama mereka.

Pada hari ketiga berada di hospital iaitu pada 10 Februari, pesakit 31 mengalami demam dan menjalani ujian selesema yang mana disahkan negatif COVID-19.

Pada 15 Februari, pegawai kesihatan di hospital berkenaan meminta wanita berkenaan  31 untuk menjalani pemeriksaan virus COVID-19, namun dia enggan dengan alasan tidak mempunyai sejarah perjalanan ke tanah besar China.

Dia kemudiannya meninggalkan hospital pada hari tersebut untuk bertemu dengan seorang rakan di sebuah hotel dan menikmati makanan secara bufet. 

Keesokan harinya pada 16 Februari, dia sekali lagi menghadiri satu upacara di gereja yang sama.

kes covid 19 di korea selatan 3

Keadaan pesakit 31 menjadi bertambah semakin teruk pada 17 Februari dan imbasan menunjukkan tanda-tanda pneumonia, membuatkan doktor menggesa wanita itu untuk melakukan ujian novel coronavirus.

Sepuluh hari selepas pesakit 31 menjejakkan kaki ke hospital, jangkitannya disahkan sebagai COVID-19.

Keesokan harinya pada 18 Februari, kes yang disahkan positif di Korea Selatan meningkat daripada 31 kes kepada 51 kes.

Dan menjelang 28 Februari iaitu 10 hari kemudian, jumlah pesakit positif COVID-19 di Korea Selatan melonjak kepada 2,022 kes, yang mana 1,314 kes dikesan di Daegu.

Dalam tempoh yang begitu singkat, pesakit 31 ini telah menyebabkan jangkitan kepada 5,382 pesakit iaitu sekitar 60% daripada jumlah keseluruhan kes COVID-19 di negara ini.

Pegawai kesihatan di Korea Selatan masih tidak tahu bagaimana dia dijangkiti, dan bagaimana dia menyebarkan virus kepada rakan-rakan di Gereja Shincheonji.

Tetapi untuk memahami bagaimana pesakit yang menjadi super-spreader ini, kita perlu melihat kepada Gereja Shincheonji dan amalan yang mereka lakukan.

Ajaran di Gereja Shincheonji

lee man hee pengasas gereja shincheonji

Gereja Shincheonji diasaskan pada tahun 1984 oleh seorang pemimpin agama yang kontroversial, Lee Man-hee dan mempunyai lebih daripada 200,000 pengikut di Korea Selatan.

Di Daegu pula, ia mempunyai lebih daripada 9,000 pengikut.

Gereja ini mendakwa bahawa Lee Man-hee sendiri akan membawa sekitar 144,000 pengikut ke syurga pada hari kiamat.

Penyembahan di gereja ini biasanya berlangsung dengan para pengikut perlu melutut di atas kusyen lantai yang diletakkan sangat rapat sehinggakan bahu mereka bersentuhan selama 2 jam.

Selain itu, para ahli pengikut perlu menanggalkan semua objek di wajah mereka sambil menyanyi dengan kuat, termasuklah topeng muka atau cermin mata.

Amalan berkongsi makanan selepas aktiviti agama di gereja ini adalah sesuatu perkara biasa.

Satu kepercayaan utama mempengaruhi cara pengikut gereja ini melihat penyakit, di mana mereka kerap diingatkan untuk tidak mempedulikan perkara-perkara duniawi seperti pekerjaan, cita-cita dan juga penyakit.

situasi ketika aktiviti keagamaan di gereja shincheonji

(Situasi ketika aktiviti keagamaan di Gereja Shincheonji)

Bagi para pengikut Gereja Shincheonji, jatuh sakit dilihatkan sebagai satu dosa kerana ia menghalang mereka untuk melakukan kerja-kerja untuk Tuhan.

Malah, Lee Man-hee sendiri berkata bahawa virus COVID-19 ini adalah "satu tindakan syaitan yang melihat pertumbuhan pesat Shincheonji dan mahu memusnahkan kemajuan kita".

Ini mungkin sebab yang boleh menjelaskan mengapa pesakit 31 enggan diuji untuk virus itu pada mulanya.

Dalam kedua-dua aktiviti ibadat yang dihadiri oleh pesakit 31, dia dipercayai melakukan kontak dengan lebih daripada 1,000 ketika melakukan aktiviti ibadat secara rapat.

"Sistem kepercayaan mereka adalah kiamat sudah hampir dan tubuh badan (fizikal) tidak lagi penting. Jadi, walaupun berasa sangat tidak sihat, mereka perlu ke gereja kerana ia memberikan makna kepada kehidupan mereka," kata Stella Kang, bekas pengikut Gereja Shincheonji.

Pada hari-hari berikutnya, beratus-ratus pengikut gereja itu disahkan positif COVID-19. 

Satu lagi lonjakan dramatik dalam kes COVID-19 datang dari sebuah daerah tidak jauh dari Daegu, dan pegawai kesihatan percaya ia berkaitan dengan upacara pengebumian yang dihadiri oleh para pengikut Gereja Shincheonji.

Kedua-kedua kluster ini bertanggungjawab ke atas 80% daripada kes COVID-19 di seluruh Korea Selatan.

Tetapi persoalan penting masih kekal misteri, iaitu bagaimana pesakit 31 dijangkiti virus SARS-CoV-2 ini?

Rujukan:

1. Pesakit 31 Hancurkan Usaha Pembendungan Novel Coronavirus di Korea Selatan

2. Pesakit 31 Dan Lonjakan Kes COVID-19 Di Korea Selatan

3. Bagaimana Seorang Pesakit Menjadikan Wabak Di Korea Selatan Bertukar Kepada Epidemik



Hakcipta iluminasi.com (2017)