terry wallis

Kisah individu berdepan tragedi sehingga menyebabkan mereka berada dalam keadaan koma kerap kali kedengaran - berikutan peningkatan jumlah yang insiden yang berlaku.

Pesakit koma yang memerlukan masa berhari atau berbulan lamanya untuk kembali bangkit merupakan sesuatu yang biasa, namun ada kes-kes koma yang sangat panjang tempohnya menarik minat bukan sahaja orang biasa, malahan penyelidik dalam memahami kemampuan otak manusia.

Berapa lamakah kes koma paling lama pernah dilaporkan? Berikut adalah tujuh kes pesakit koma paling lama yang telah dilaporkan. Ada yang berakhir dengan gembira dan ada yang berakhir dengan kesedihan.

1. Terri Marie Schiavo

schiavo marie terri

Pada 25 Februari 1990 semasa berusia 26 tahun, Terrie Marie Schiavo mengalami masalah jantung. Walaupun berjaya dipulihkan, kegagalan tubuhnya menghantar oksigen ke otak dalam tempoh yang panjang menyebabkan kerosakan kekal berlaku pada otaknya. Terri tidak sedarkan diri namun tubuhnya kekal bernafas seperti biasa.

Selepas lebih 8 tahun, suaminya Michael mengambil keputusan untuk memulakan petisyen bagi menghentikan sistem sokongan hidup yang menyalurkan makanan pada isterinya - atas alasan Terri pasti tidak mahu kekal hidup sedemikian rupa. Tiga tahun selepas itu pada tahun 2001, saluran bantuannya dibuka pertama kali dan disambung semula beberapa hari kemudian.

Berikutan tindakan petisyen itu; kritikan dan sokongan masyarakat Amerika Syarikat mula kedengaran membincangkan hak untuk hidup atau mati melibatkan Schiavo. Selepas melalui pelbagai perbicaraan mahkamah termasuklah perbincangan di peringkat tertinggi kerajaan, sistem sokongan Schiavo dicabut pada 18 Mac 2005. Schiavo meninggal dunia pada 31 Mac 2005 - selepas 15 tahun koma.

2. Rom Houben

rom houben belgium koma

Pada tahun 1981, Rom Houben seorang warga Belgium mengalami kemalangan kereta. Seorang yang aktif dalam pertahanan diri serta seorang pelajar jurusan kejuruteraan, kemalangan itu mengubah hidup Houben menyebabkan badannya kaku tidak lagi mampu bergerak. Dia kemudiannya diisytiharkan koma.

Pada tahun 2009 selepas lebih 28 tahun terbaring kaku, beberapa orang penyelidik melakukan kajian terhadap beliau, mendapati wujud kebolehan pada beliau untuk berkomunikasi menggunakan komputer. Dalam temuramah beliau yang ditaip dengan bantuan fasilitaor dan komputer, Houben berjaya menjawab banyak soalan yang diajukan - menerangkan pada orang ramai dia sebenarnya sedar setiap masa cuma tidak boleh bergerak langsung.

Temubual itu membuka lembaran baru pada penyelidik berkenaan status sebenar Houben, sama ada dia berada dalam koma ataupun sebenarnya mengalami paralisis selama ini. Bagaimanapun, kajian seterusnya mendapati temuramah yang berlaku besar kemungkinan dipengaruhi oleh fasilitator yang memegang jarinya. Tidak jelas apa berlaku pada Rom Houben sekarang, sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

3. Terry Wallis

terry wallis terjaga daripada koma

Seperti Rom Houben, Terry Wallis sedang memandu pada 13 Julai 1984 sebelum keretanya jatuh semasa melalui sebuah jambatan kecil mengorbankan seorang penumpang. Wallis masih bernafas semasa ditemui namun tidak sedarkan diri walaupun kondisinya stabil. Ketika itu Wallis berusia 20 tahun.

Pada tahun 2003 selepas lebih 19 tahun tidak sedarkan diri, Wallis tiba-tiba tersedar dan terus bercakap. Bagaimanapun, dia seakan-akan hanya tertidur sehari, masih menganggap dirinya tetap dalam tahun 1984 serta berumur 20 tahun.

Kondisi Wallis menjadi antara kes yang mendapat liputan meluas kerana jarang sekali pesakit koma selama dia dapat kembali sedar. Bagaimanapun, otak Wallis didapati mempunyai kerosakan, menyebabkan dia tidak lagi mampu menyimpan ingatan baru. Bagaimanapun dia masih lagi ingat semua ingatan dia, sebelum kemalangan pada tahun 1984 tersebut.

4. Elaine Esposito

elaine esposito koma

Kes Esposito menjadikan beliau pernah diisytiharkan sebagai pesakit koma paling lama dalam dunia. Kisahnya bermula hanya dengan satu prosedur merawat sakit appendiks yang dihadapinya pada tahun 1941. Selepas dibius dan dibedah bagi membuang appendiks yang sudah membengkak, Esposito tidak bangun-bangun. Ketika itu dia baru berusia 7 tahun.

Selepas 10 bulan tinggal di hospital dan kehabisan dana penjagaan, Esposito dibawa pulang oleh ibu bapanya kembali ke rumah.

Sepanjang hayatnya, ibu bapanya tidak berhenti mencuba bermacam usaha namun gagal menyedarkannya. Ayahnya meninggal dunia terlebih dahulu pada bulan Januari 1978 sebelum Elaine Esposito meninggal dunia pada 25 November tahun yang sama.

Beliau berada dalam koma selama 43 tahun dan 357 hari.

5. Aruna Shanbaug

aruna shanbaug mangsa koma

Semasa bersedia untuk pulang daripada tugasannya sebagai jururawat di sebuah hospital di Mumbai pada tahun 1973, Aruna diserang oleh seorang lelaki di sebuah bilik persalinan hospital tersebut.

Lelaki itu mencekik leher Aruna dengan tali sambil meliwat Aruna, menyebabkan ketiadaan bekalan oksigen kepada otak Aruna. Keesokannya, Aruna yang terbaring ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri.

Hilang kesedaran serta dijaga oleh keluarganya selama berpuluh tahun, seorang jurnalis bernama Pinki Virani melakukan petisyen pada tahun 2011 bagi membolehkan hidup Aruna ditamatkan. Bagaimanapun, petisyen itu ditolak. Aruna terus berada dalam keadaan koma sebelum meninggal dunia pada 18 Mei 2015, akibat jangkitan pada paru-paru ketika berusia 71 tahun.

42 tahun daripadanya dihabiskan terbaring di atas katil.

6. Edwarda O’Bara

edwarda o bara koma paling lama

Seorang gadis bernama Edwarda O'Bara berumur 17 tahun semasa mengalami koma akibat penyakit kencing manis, pada tahun 1969. Terkenal sebagai seorang pelajar popular di sekolah, apa yang berlaku pada Edwarda merupakan satu kejutan besar pada keluarga dan kenalannya. Kehilangan kesedaran dan berada dalam koma menyebabkan tanggungjawab menjaga beliau jatuh pada ibu bapanya.

Malangnya, bapanya meninggal dunia pada tahun 1978, selepas 8 tahun menjaga anaknya. Ibunya lebih bernasib baik umur panjang, meninggal dunia pada tahun 2008. Ini menyebabkan O'Bara menjadi tanggungan kepada kakaknya pula.

Langsung tidak menunjukkan sebarang perubahan semasa koma, Edwarda O'Bara meninggal dunia pada 21 November 2012 pada usia 59 tahun. Setakat ini, wanita ini diiktiraf pesakit yang berada dalam keadaan koma paling lama dalam dunia.

7. Munira Abdulla

munira abdulla koma lama tidak sedarkan diri

Kami akhiri artikel ini dengan berita lebih gembira.

Seorang wanita warga Emiriyah Arab Bersatu bernama Munira Abdulla sedang bersama anaknya dalam kereta yang dipandu abang iparnya pada tahun 1991. Menyedari mereka bakal berlanggar dengan sebuah bas sekolah, Munira bertindak memeluk anaknya Omar yang ketika itu baru berusia 4 tahun. Omar terselamat namun Munira cedera teruk.

Ibu muda itu diisytiharkan dalam keadaan koma, namun masih mampu merasai kesakitan sekiranya diberikan rangsangan, meneruskan hidup dengan bantuan mesin dan disalurkan makanan dibantu oleh pihak perubatan dan keluarga. Mengetahui keadaan keluarga malang itu, kerajaan UAE menawarkan bantuan menghantar Munira ke Jerman bagi mencuba beberapa alternatif lain.

Pelbagai kaedah yang diharapkan dapat membantu keadaan beliau dicuba dan hasilnya, selepas berlaku pertengkaran antara Omar dan pihak hospital - Munira mula menunjukkan sedikit reaksi.

3 hari kemudian Munira tersedar dengan Omar di sebelahnya yang ketika ini sudah pun berusia 32 tahun. Selepas 27 tahun, Omar yang berhutang nyawa dengan ibu yang mengorbankan diri demi anak kesayangannya, kembali merasai rasa dipeluk ibunya yang lama lena. (rujukan)


tags : , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)