Genius. Semua orang mengaku dirinya genius. Semua orang mudah melabelkan individu yang dia kagumi sebagai genius. Namun bukan semua orang boleh dikategorikan sebagai genius.

Genius merupakan satu konsep yang terbuka serta tidak ada syarat ketat penggunaannya. Ekoran kelonggaran itu, label tersebut seakan-akan tidak lagi membawa pengertian yang istimewa dalam zaman moden ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Apa itu genius? Apakah sebenarnya pengkelasan genius? Siapa genius? Jom kita fahamkan secara ringkas apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkataan tersebut.

1. Apa itu sebenarnya 'genius'?

pengasas teori genius

'Genius' sebenarnya adalah konsep yang diperkenalkan oleh Francis Galton, seorang pengkaji dalam bukunya 'Hereditary Genius', yang diterbitkan pada tahun 1869. Galton adalah individu pertama yang memperkenalkan istilah 'eugenics' kepada dunia, iaitu kajian sains bagi menambahbaik kualiti genetik sesuatu populasi. Yang penting, dalam bukunya, Galton mempersembahkan teori bahawa kepandaian seseorang itu sebenarnya boleh diwarisi keturunan ke keturunan, waris ke waris.

Pada Galton, seorang 'genius' adalah individu yang diiktiraf oleh masyarakat sekelilingnya sebagai seorang yang telah menyumbang kepada bidang kemahirannya dalam cara yang besar serta meninggalkan kesan yang bertahan dalam tempoh jangka masa yang lama. Untuk pengetahuan semua, Galton adalah sepupu kepada Charles Darwin.

2. Dari mana datangnya perkataan 'genius'?

asal usul istilah genius

Asal-usul perkataan 'genius' sebenarnya berkait dengan perkataan 'genie'; ini kerana genius sebenarnya membawa makna satu roh atau semangat yang mengawal dan menjaga seseorang individu itu, sejak dia lahir serta memelihara bakat dan kebolehan individu tersebut. Istilah 'genius' kemudiannya bercambah digunakan untuk seseorang yang mampu meramal sesuatu dengan baik.

Bermula pada tahun 1640, perkataan 'genius' akhirnya digunakan bagi menggambarkan seseorang yang mempunyai kepandaian semulajadi serta mempunyai kemahiran berfikir yang tinggi.

3. Apakah perbezaan di antara genius, berbakat, prodigi dan savant?

nik sufiah pelajar genius malaysia

Berbeza dengan tafsiran 'genius' yang lebih luas, bakat, prodigi dan istilah 'savant' mempunyai tafsiran yang agak sempit penggunaannya. Berbakat bermakna seseorang itu mempunyai kebolehan tinggi dalam sesuatu seperti bermain alat muzik atau melukis, tetapi dia tidak mampu meninggikan lagi kebolehannya untuk melakukan sesuatu yang memberi kesan besar pada tamadun manusia.

Prodigi pula kebiasaannya dikhaskan untuk individu muda seperti kanak-kanak yang sangat berkemahiran tinggi melakukan sesuatu, seperti mempunyai kemahiran melakukan kiraan matematik dengan pantas atau mampu mengingati sesuatu dengan mudah. Bagaimanapun, kebolehan mereka itu hanya dapat membantu mereka tanpa berjaya diterjemahkan dalam menambahbaik kehidupan masyarakat.

Savant pula adalah gelaran yang diberikan kepada seseorang yang sangat pandai dalam sesuatu bidang, tetapi mempunyai kelemahan daripada pembesaran kognitif menyebabkan mereka mempunyai abnormaliti dalam pemikiran. Individu savant biasanya dikaitkan dengan mereka yang mengalami autisme dan mempunyai kebolehan luar biasa yang bersifat spesifik, seperti kebolehan memori, mencipta muzik dan lain-lain.

4. Bagaimana nak terangkan genius dengan lebih mudah?

genius bekerja

Oleh kerana wujud banyak istilah bagi melabelkan tahap kecerdikan dan kepandaian seseorang, agak sukar untuk kita mengklasifikasikan apa itu genius sebenarnya.

Sekiranya ada yang bertanya pada anda apa makna genius, cara paling mudah untuk membezakan genius dengan individu-individu lain seperti individu berbakat adalah dengan menggunakan ayat berikut;

"Seorang yang berbakat akan berjaya mencapai sasaran yang kebiasaannya gagal dicapai orang lain, manakala seorang genius pula mempunyai sasaran sendiri yang tidak kelihatan pada orang lain dan dia berjaya mencapainya."

Senang kan?

5. Siapakah contoh individu yang diiktiraf genius?

leonardo da vinci genius

Tidak ada pihak yang benar-benar mengawal selia pengiktirafan genius untuk diberikan kepada golongan genius. Institusi seperti Mensa sendiri tidak menjadikan genius sebagai satu ukuran bagi kemasukan keahlian mereka, berikutan ketiadaan garis panduan atau kaedah untuk mengukur kebenaran tentang tahap kegeniusan seseorang.

Beberapa nama kerap kali disebut layak bergelar sebagai genius, seperti Leonardo da Vinci yang mempunyai kemahiran tinggi dalam pelbagai bidang serta mempunyai sumbangan besar yang masih lagi dirujuk sehingga kini dan Albert Eisntein yang memperkenalkan teori yang belum pernah difikirkan mana-mana penyelidik sebelum beliau serta membuktikan kewujudan atom dan elemen sebenar cahaya.

Walau demikian, dalam era moden istilah genius ini seakan-akan sudah jadi sesuatu yang mudah untuk diberikan kepada individu-individu popular, membuktikan tidak ramai ahli masyarakat yang faham garis sempadan di antara seorang individu genius dengan seorang individu berbakat atau sangat-sangat cerdik.




Hakcipta iluminasi.com (2017)