permainan papan monopoli selamatkan tahanan amerika jerman ww2

Sebahagian besar daripada kita pastinya pernah bermain permainan papan Monopoly (atau Saidina yang mendapat inspirasi daripada permainan Monopoly). Ianya sebuah permainan yang melatih pemain untuk membuat strategi dalam pemilikan hartanah.

Konsep permainan Monopoly ini dipercayai sudah wujud sejak 1903 sebelum dipatenkan pada tahun tahun 1904. Sejarah penciptaannya sedikit mengelirukan kerana penciptaannya biasanya dikreditkan kepada seorang individu yang sebenarnya hanya menciplak idea pencipta asal permainan ini.

Sekiranya anda berminat untuk membaca lebih lanjut mengenai sejarah penciptaan permainan ini, kami pernah menulisnya satu ketika dahulu dalam artikel Sejarah Permainan Boardgame Popular Monopoly.

Namun, ketika Perang Dunia Kedua satu ketika dahulu terdapat satu kisah menarik bagaimana permainan popular ini pernah digunakan untuk membantu tahanan perang Jerman melarikan diri daripada tahanan.

Pendedahan oleh kerajaan British

lokasi penjara jerman

Lokasi penjara Jerman

Pada tahun 2007, kerajaan Britain telah membuat pendedahan sebuah dokumen sulit ketika zaman Perang Dunia Kedua dahulu. Lebih tepat, ianya adalah strategi sulit bagaimana mereka berjaya menyelamatkan kira-kira 135,000 tahanan perang mereka dari Jerman.

Lebih menarik, mereka menggunakan permainan Monopoly ini sebagai medium penghantaran kepada askar mereka panduan dan bebeberapa peralatan untuk membolehkan banduan untuk melarikan diri.

Kebosanan terbukti menjadi masalah di kem tahanan Perang Dunia Kedua dan akibatnya, Jerman membenarkan kumpulan amal untuk mengedarkan permainan papan boardgame kepada tahanan askar Pakatan Perikatan dalam usaha untuk memastikan mereka kekal bertenang dalam penjara.

monopoly khas perang dunia

Kesempatan yang ada ini telah digunakan oleh pihak British untuk menyelinap masuk dengan berselindung di sebalik badan amal ini dengan menghantar pasukan MI9 mereka. MI9 atau Military Intelligence Section 9, adalah jabatan rahsia di Pejabat Perang British antara tahun 1939 dan 1945.

Mereka telah masuk ke dalam tempat tahanan dan mengedarkan permainan Monopoly mengandungi hotel-hotel kecil dan barang-barang lain antaranya mata wang Jerman, peta yang dicetak pada sutera dan alatan bantuan untuk melarikan diri pelarian. Kit ini membantu ribuan lelaki melarikan diri.

Bantuan daripada pemilik kilang

monopoly palsu

Bagi merealisasikan strategi sulit ini, pihak British telah mendapatkan bantuan daripada Norman Watson, individu yang mempunyai 2 perkara penting yang mereka mahukan. Pertama, lelaki ini adalah satu-satunya pemilik kilang pembuatan Monopoly di Britain dan pada masa sama memiliki kilang percetakan yang mempunyai kepakaran mencetak di atas kain sutera.

Inilah rahsia utama kejayaan strategi sulit ini.

Seorang ejen perisik bernama E.D. Alston memberitahu Watson bahawa rancangannya adalah untuk menyembunyikan barang-barang berguna di dalam kotak Monopoly. Barangan yang paling penting adalah peta yang diperbuat daripada sutera. Kain sutera digunakan berbanding kertas kerana senyap, tahan lama dan tidak boleh dikeronyok seperti kertas.

Bayangkan anda cuba membuka peta yang diseludup tetapi tetapi bunyi kertas itu dapat didengar oleh pengawal penjara. Atau, bayangkan semasa dalam perjalanan, kerta mungkin koyak akibat hujan atau peluh. Penggunaan kain sutera merupakan pilihan bijak kerana boleh dilipat kecil dan mudah disorokkan dalam kotak Monopoly.

Permainan Monopoly ini turut diselit dengan barangan keperluan lain yang dapat membantu seorang tahanan melarikan diri. Alat seperti kompas, wang dan barang-barang survival lain - semuanya dalam bentuk miniatur - tersimpan di dalam token, hotel, dan bahkan di bawah papan.

Pengeluaran Monopoly "istimewa" ini berlaku di bahagian tertutup kilang di mana pekerja mesti bersumpah untuk menjaga kerahsiaan. Oleh itu, daripada mata pengawal penjara Jerman kotak Monopoly yang diedarkan kepada tahanan tidak lebih daripada sekadar kotak permainan Monopoly biasa.

Pelbagai versi berbeza berdasarkan lokasi

tahanan perang

Jerman ketika itu mempunyai banyak lokasi tahanan, maka adalah penting bagi memastikan setiap kotak Monopoly itu dihantar ke lokasi yang betul kerana setiap satunya mempunyai kain sutera yang dicetak dengan peta yang berlainan. Monopoly edisi khas ini mempunyai tanda tertentu untuk membolehkan tahanan perang mengetahui terdapat petunjuk padanya.

Sebagai contoh, sekiranya hartatanah di "Mayfair" mempunyai tanda titik, permainan Monopoly itu dibuat khas untuk edaran di Norway, Jerman, atau Sweden. Sangat penting untuk memastikan kotak yang tepat dihantar ke negara yang tepat kerana terdapat matawang tempatan di dalamnya.

Dengan menyelitkan not kertas matawang tempatan di dalamnya, ianya membantu meningkatkan peluang kebebasan tahanan tersebut kerana wang itu boleh digunakan untuk membeli makanan, mencari tempat tinggal atau merasuah untuk mendapatkan bantuan.

Dianggarkan ratusan ribu peta yang dicetak pada kain sutera yang menunjukkan jalan menuju kawasan selamat telah diedarkan oleh pasukan yang berselindung di sebalik badan amal palsu itu.

35 ribu tahanan Bersekutu dipercayai berjaya keluar dari kem dan menemui jalan pulang sebelum berakhirnya perang. Walaupun tidak dapat dikira jumlahnya dengan tepat, sejarawan berpendapat bahawa sekurang-kurangnya 10,000 daripadanya menggunakan kit Monopoly edisi khas yang diedarkan ini.

Kredit:

  1. ABC News
  2. The Atlantic
  3. The Vintage News


Hakcipta iluminasi.com (2017)