Oleh pada 12 Dec 2021 kategori

Saluran TV Netflix telah menayangkan satu dokumentari bersiri Heist yang membawa penonton menyelami kisah benar tiga rompakan terkenal di Amerika Syarikat.

roberto solis dan heather tallchief

Bahagian pertama siri Heist menceritakan tentang kisah seorang wanita bernama Heather Tallchief. Ketika berusia 21 tahun, bekas jururawat itu telah merompak wang tunai kasino Las Vegas sebanyak USD 3 juta bersama seorang rakan subahatnya bernama Roberto Solis.

Setelah berjaya melakukan rompakan, pasangan itu menjadi buruan polis sebelum berjaya melarikan diri ke Netherlands. Tallchief tinggal di Eropah selama 12 tahun sebelum menyerah diri apabila kembali ke A.S. pada 2005 Disember.

Apabila pulang, dia dijatuhkan hukuman penjara 63 bulan dan diarahkan untuk membayar balik syarikat yang dirompaknya sebanyak USD 2.9 juta. Namun, Tallchief mendakwa dia hanya mempunyai kurang daripada USD 100,000 daripada wang rompakan itu ketika dia berpisah dengan Solis pada 1995.

Baki wang rompakan itu dan Roberto Solis masih kekal sebagai misteri.

Mengapa Heather Tallchief melakukannya

Dalam siri Heist, Tallchief menceritakan bagaimana dia telah jatuh cinta dengan Roberto Solis. Dia begitu terpesona dengan Solis yang mahir dalam dunia jenayah dan hipnotisme. Tanpa disedarinya, Tallchief terlibat dalam salah satu rompakan trak berperisai terbesar dalam sejarah Las Vegas.

heather tallchief

Heather Tallchief

Menurut Tallchief, dia menemui Solis ketika kehidupannya berada dalam fasa yang paling teruk. Dia sukar mengekalkan kerjayanya dan menghadapi beberapa masalah peribadi.

Tallchief membesar dengan seorang bapa yang mempunyai masalah ketagihan dan dia mengalami penderaan daripada ibu tirinya ketika kecil. Apabila dewasa, dia mencari ibu kandungnya tetapi kecewa apabila mendapati wanita itu juga mempunyai masalah ketagihan.

Gadis itu kemudian mendapat pekerjaan di salah sebuah hospital dan ditugaskan menjaga pesakit AIDS di San Francisco. Tallchief yang begitu rapat dengan pesakit-pesakitnya menjadi sangat sedih apabila seorang demi seorang mati akibat virus itu.

Akhirnya, dia yang sering tertekan juga terjerumus dalam ketagihannya sendiri. Tallchief kehilangan kerja dan berada di tahap paling rendah dalam hidupnya. Ketika inilah dia bertemu dengan seorang lelaki (Solis) yang 27 tahun lebih tua daripadanya.

Buat pertama kalinya, Tallchief bertemu dengan seorang lelaki yang begitu memahaminya, mengambil berat dan memberikannya sinar kehidupan.

Siapa sebenarnya Roberto Solis

Roberto Ignacio Solis adalah seorang penjenayah yang pernah dipenjarakan sebelum kes rompakannya bersama Heather Tallchief pada tahun 1993.

roberto solis wanted 128

Dia yang menggunakan lebih daripada 30 nama samaran itu pernah ditahan pada tahun 1969 setelah membunuh seorang pemandu trak berperisai yang juga dari syarikat sama iaitu Loomis Armored dalam satu rompakan bersenjata.

Solis didapati bersalah dan telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Ketika berada di penjara, Solis mula menulis puisi dan buku menggunakan nama pena "Pancho Aguila".

Apa yang mengejutkan, dia sebenarnya berbakat besar sebagai seorang penulis. Beberapa hasil tulisannya seperti Hijacked (1976), 11 Poems (1977), Anti-gravity (1977), dan Paperback (1980) telah dibukukan dan diterbitkan syarikat penerbitan tempatan.

Hasilnya, peminat bukunya dan beberapa penulis lain telah membuat satu petisyen menggesa supaya Roberto Solis dibebaskan. Akhirnya, lembaga parol telah memberikan kebebasan awal kepada Solis pada tahun 1991.

Setelah dibebaskan, Solis yang merancang untuk melakukan lagi rompakan telah bertemu dengan Heather Tallchief. Dia melihat gadis itu sebagai seorang yang berguna dalam rancangan jenayahnya itu.

Rompakan kereta berperisai

Pada tahun 1993, Tallcheif mendapat kerja di sebuah syarikat kawalan keselamatan Loomis Armored atas pengaruh Solis. Loomis Armored bertanggungjawab memindahkan duit dari kasino-kasino di sekitar Las Vegas.

rompakan loomis armored

Pada 1 Oktober 1993, Tallchief yang mengikut arahan Solis telah melarikan trak berperisai dari Circus Hotel and Casino yang mengandungi wang tunai sebanyak USD 3.1 juta.

Pasangan yang menjadi buruan di seluruh Amerika Syarikat itu berjaya terbang keluar daripada Las Vegas menggunakan pesawat persendirian setelah Tallchief menyamar sebagai wanita tua dan Solis adalah doktornya.

Mereka akhirnya berjaya melarikan diri ke Amsterdam pada 1994 dan mempunyai seorang anak lelaki bernama Dylan. Tallchief melahirkan Dylan lapan bulan setelah melakukan rompakan besar itu.

Pada 1995, Tallchief akhirnya memutuskan untuk meninggalkan Solis kerana tidak mahu anaknya membesar dalam dunia jenayah. Siri Heist banyak menceritakan dari sudut Tallchief tetapi apa yang menjadi bualan adalah mengenai misteri Roberto Solis.

Roberto Solis yang dianggap sebagai dalang utama rompakan itu masih lagi bebas dan jika masih hidup, dia kini berusia 76 tahun.



Hakcipta iluminasi.com (2017)