Oleh pada 21 Jan 2020 kategori

Terdapat pelbagai jenis penjenayah yang pernah kita dengar sebelum ini. Namun, ada juga di antara mereka ini disanjung ramai sebagai wira. Salah seorang daripada penjenayah yang mendapat sanjungan sebegitu ialah Charles "Pretty Boy" Floyd. Dia merupakan perompak bank paling disukai ramai.

perompak yang menghapuskan rekod hutang rakyat

Charles Arthur Floyd atau lebih dikenali sebagai Pretty Boy sering melanggar undang-undang terutamanya melakukan jenayah yang melibatkan keganasan. Pada kemuncak zaman Kemelesetan Besar yang melanda Amerika, Floyd adalah salah seorang daripada ribuan lelaki yang terdesak melakukan jenayah demi meneruskan hidup.

Dia dilahirkan di Georgia pada 1904 tetapi keluarganya telah berpindah ke Oklahoma untuk membuka ladang pada awal abad ke-20. Seperti petani lain di Oklahoma, kehidupan keluarga Floyd sangat miskin.

Floyd yang penat hidup dalam kemiskinan mula berjinak-jinak dengan dunia jenayah. Pertama kali dia ditangkap adalah atas kesalahan mencuri ketika berusia 18 tahun.

Tiga tahun kemudian, dia mula melakukan jenayah yang lebih serius apabila menahan kenderaan yang membawa wang di St. Louis. Dia telah diberkas dan dipenjarakan selama lima tahun. Setelah dibebaskan, Floyd telah mengembara ke Kansas dan terjebak pula dengan dunia jenayah di bandar itu.

perompak bank

Floyd terkenal kerana melakukan rompakan di lebuh raya. Dia dan rakannya sering menyamun kenderaan membawa wang. Dari tahun 1929-1930, dia sering ditangkap kerana disyaki melakukan rompakan bersenjata tetapi pihak polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk mendakwanya.

Pada waktu ini juga, Floyd mendapat gelaran "Pretty Boy" kerana sering berpakaian kemas dan segak. Walaupun tidak menyukai gelaran itu, Floyd tetap akur apabila ramai mengenalinya dengan nama itu.

Ketika itu jugalah, dia mula menjadi terkenal kerana pakar dalam rompakan bank. Dia dan beberapa orang rakan penjenayah lain mula merompak bank-bank di Midwest antara 1929 hingga 1933. Floyd gemar menggunakan senjata mesingan dan mempunyai kecenderungan untuk melepaskan tembakan rambang semasa rompakan.

Kehebatannya mengelak daripada ditangkap polis telah menjadikan Floyd popular di media massa. Dia juga adalah wira di mata mereka yang menjadi mangsa pihak bank.

charles floyd

Pretty Boy dikatakan sering memusnahkan dokumen gadai janji semasa melakukan rompakan. Ini menyebabkan pihak bank kehilangan rekod-rekod rumah yang dirampas apabila seseorang itu gagal membayar hutang pinjaman.

Zaman Kemelesetan Besar menyaksikan begitu banyak rumah yang ditarik oleh pihak bank. Orang ramai pada waktu itu melihat bank cuba untuk mengambil kesempatan atas kejatuhan ekonomi yang berlaku.

Pretty Boy Floyd dan rakan-rakannya menjadi semakin digeruni pihak berkuasa. Bukan sahaja mereka lengkap bersenjata berat malah pernah menggemparkan negara apabila melakukan "Pembunuhan Kansas" yang mengorbankan empat orang penguasa ketika cuba untuk membebaskan perompak bank terhebat dalam sejarah Amerika, Frank "Jelly" Nash. 

Malangnya, rancangan yang didalangi oleh Vernon Miller serta dibantu oleh Floyd dan rakannya, Adam Richetti, telah menyebabkan Frank Nash terbunuh ketika berbalas tembakan dengan pihak berkuasa.

frank nash

Frank "Jelly" Nash

Selepas kejadian Pembunuhan Kansas, Charles "Pretty Boy" Floyd telah diisytiharkan sebagai "musuh umum nombor satu".

Floyd dan Richetti telah melarikan diri ke Ohio untuk menghindari FBI. Di sana, mereka bertemu dengan teman wanita masing-masing. Mereka berempat kemudian pergi ke New York sebelum memutuskan untuk kembali ke Oklahoma.

Semasa memandu melalui Ohio, kereta yang dipandu Floyd terbabas dan melanggar tiang telefon. Floyd dan Richetti mengambil senjata mereka dan menyuruh teman wanita mereka membaiki kereta di bandar.

Namun, pihak polis tempatan menerima aduan mengenai dua lelaki mencurigakan berkeliaran di pinggir bandar. Ketika pihak polis pergi menyiasat, mereka bertemu Floyd dan Richetti dan berlaku tembak menembak. 

kejadian pembunuhan kansas

Kejadian Pembunuhan Kansas

Walaupun Floyd berjaya meloloskan diri tetapi nasib tidak begitu baik baik Richetti apabila dia ditangkap dan kemudiannya dihukum bunuh. Pihak polis juga telah menghubungi FBI mengenai kejadian itu dan menyangka bahawa Floyd mungkin tercedera akibat terkena tembakan.

Pihak FBI mula membanjiri kawasan itu dan menahan kereta yang lalu-lintas untuk disoal siasat. Floyd yang ketika itu berjaya mendapatkan kereta lain telah dikesan memandu di bandar East Liverpool, Ohio, oleh sepasukan polis tempatan.

Terdapat beberapa versi berbeza tentang apa yang berlaku seterusnya. Apa yang pasti, kenderaan dipandu Floyd telah dihentikan oleh pihak berkuasa yang sedang bersembunyi di dalam sebuah tempat simpanan jagung.

Mengikut keterangan FBI, Floyd keluar dari kenderaannya sambil memegang senjata. Pihak berkuasa melepaskan tembakan dan dua daripadanya mengenai Floyd. Penjenayah itu disahkan meninggal dunia selepas 15 minit berlakunya kejadian tembak-menembak.

pretty boy floyd 365

Watak Charles "Pretty Boy" Floyd dalam filem mengenainya pada tahun 1974

Apa yang mengejutkan, polis tempatan memberitahu kisah yang berbeza sama sekali. Dalam wawancara yang dilakukan beberapa dekad kemudian, seorang pegawai polis tempatan mendakwa dia telah menembak Floyd di tangan sehingga penjenayah itu terjatuh.

Ketika itu juga, ketua FBI yang memburu Floyd iaitu Melvin Purvis telah menghampiri Floyd dan bertanyakan beberapa soalan kepadanya. Purvis kemudian telah mengarahkan salah seorang ejennya untuk menembak Floyd sehingga mati. Pihak FBI menafikan cerita itu dan kematian Floyd terus menjadi misteri.

Beribu-ribu orang yang melihat Floyd sebagai wira hadir semasa pengebumiannya bagi memberikan penghormatan terakhir mereka.

Rujukan:

1. Perompak bank paling disukai ramai

2. Perompak Bank ala-ala Robin Hood

3. Kisah Pretty Boy Floyd - wira atau penjenayah?



Hakcipta iluminasi.com (2017)