Oleh pada 26 May 2019 kategori

Agak aneh jika generasi zaman kini tidak mengenali nama Steve Jobs kan?

Beliau terkenal sebagai seorang pencipta yang sangat berinovasi dari Lembah Silicon California, dengan menubuhkan Apple Computer, NeXt dan Pixar, serta membantu membawa produk-produk seperti komputer peribadi Mac, iPhone dan iPad ke dunia.

Malah, beliau juga terlibat dalam penghasilan filem seperti Toy Story dan Finding Nemo .

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun apa yang kurang diketahui adalah walaupun Steve dilahirkan di California, beliau sebenarnya merupakan anak angkat dan bapa kandungnya merupakan seorang pelarian politik yang melarikan diri dari Homs, Syria.

Walaupun sesetengah orang bimbang dan takut dengan jumlah pelarian yang melarikan diri dari Syria, dan risau tentang kesan dari negara-negara lain yang mengambil berjuta-juta pelarian, namun ramai telah menyatakan bahawa pendatang Syria sebelum ini telah meningkatkan budaya, perniagaan dan teknologi Barat.

Dan antara pelarian Syria yang paling terkenal adalah bapa kandung Steve Jobs, Abdul Fattah Jandali yang kini berusia 88 tahun dan masih hidup, tinggal di Nevada, Amerika Syarikat.

kisah steve jobs dan ayah kandungnya

Abdul Fattah dilahirkan pada tahun 1931 di Homs, Syria kepada pemilik tanah yang kaya.

Ayahnya adalah seorang jutawan yang memiliki "beberapa buah kampung" dan mempunyai kuasa penuh terhadap anak-anaknya.

Ibunya adalah seorang wanita Islam tradisional, suri rumah yang kebajikan rumah dan 5 orang anaknya, namun sedikit konservatif dan taat.

Abdul Fattah ingin melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang di Universiti Damascus untuk menjadi seorang peguam, tetapi ayahnya tidak bersetuju, mengatakan bahawa terdapat "terlalu banyak peguam di Syria".

Di usia 18 tahun, beliau meninggalkan Syria dan berhijrah ke Lubnan untuk melanjutkan pelajarannya di American University of Beirut. Beliau menggambarkan Beirut sebagai bandar "di mana saya menghabiskan masa terbaik dalam hidup saya".

Di universiti, beliau adalah seorang aktivis untuk nasionalisme Arab dan membuat demonstrasi untuk kemerdekaan Algeria malah menghabiskan tiga hari penjara akibat tindakannya.

Protes dari tahun 1952 hingga 1954 memaksa Abdul Fattah melarikan diri dari Beirut.

Protes itu menuntut peletakan jawatan presiden Lubnan pada ketika itu, Bechara El Khoury, yang kemudian menjadi presiden Arab pertama yang meletakkan jawatan disebabkan oleh tekanan demonstrasi jalanan.

Tidak seperti kebanyakan pendatang Syria yang kini melarikan diri ke Eropah, Abdul Fattah berpindah ke New York di mana dia tinggal bersama saudaranya, Najm Eddin al-Rifai, yang merupakan duta Syria untuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

abdulfattah jandali

Beliau kemudiannya menyambungkan pelajaran di Columbia University dan Wisconsin University, di mana beliau menerima biasiswa yang membolehkan Abdul Fatah mendapatkan Ph.D. dalam Ekonomi dan Sains Politik.

Ketika di Winconsin University, beliau bertemu dan bercinta dengan seorang gadis Katolik Jerman-Swis bernama Joanne Carol Schieble, yang kemudiannya mengandungkan anak Abdul Fattah.

Namun bapa Joanne yang sangat konservatif tidak membenarkan anaknya berkahwin dengan Abdul Fattah kerana perbezaan agama.

Disebabkan hal ini, Abdul Fattah meninggalkan Joanne tak lama sebelum kelahiran bayi mereka pada 24 Februari 1955.

Ibu bapa angkat Steve Jobs

paul jobs dan steve jobs ketika berusia 2 tahun

(Paul Jobs mendukung Steve ketika berusia 2 tahun)

Bayi lelaki yang baru dilahirkan ini kemudiannya diletakkan untuk dijadikan anak angkat di San Francisco, dengan syarat bapa dan ibu angkat adalah Katolik dan berpendidikan tinggi.

Ibu bapa angkat pertama yang terpilih adalah sangat sesuai di mana mereka adalah Katolik, berpendidikan dan kaya, namun mengubah fikiran bahawa mereka menginginkan seorang anak perempuan.

Jadi, ini membuka peluang kepada satu lagi pasangan, Paul dan Clara Jobs, yang akhirnya menjadikan bayi lelaki tersebut sebagai anak angkat.

Akan tetapi, Joanne Schieble hampir-hampir enggan membenarkan pasangan Jobs menjadikan anaknya sebagai anak angkat kerana mereka tidak berpendidikan tinggi.

Namun hendak dijadikan cerita, Paul Jobs mewariskan minatnya terhadap mekanik kepada Steve yang membawa kepada persahabatan antara anak angkatnya itu dengan Steve Wozniak.

Persahabatan ini akhirnya membuahkan satu hasil yang mengubah dunia, iaitu Apple Computer.

"Mengetahui bahawa saya seorang anak angkat membuatkan saya rasa lebih berdikari, tetapi saya tidak pernah rasa diabaikan. Saya selalu rasa istimewa. Ibu bapa saya membuatkan saya rasa istimewa," kata Steve Jobs.

Steve sangat benci apabila orang merujuk Paul dan Clara Jobs sebagai ibu bapa angkatnya atau mengatakan bahawa mereka bukan ibu bapanya yang sebenar.

paul dan clara jobs

(Paul dan Clara Jobs)

Dan sikap Steve terhadap ibu bapa kandungnya agak berlainan dan berkata bahawa Abdul Fattah dan Joanne tak lebih daripada "bank sperma dan bank telur" untuknya lahir ke dunia.

Tak lama selepas Steve diambil sebagai anak angkat, Abdul Fattah bertemu semula dengan Joanne dan akhirnya berkahwin. Setahun kemudian mereka dikurniakan seorang anak perempuan, Mona Jobs, yang kini merupakan seorang novelis berjaya di Amerika Syarikat.

Steve tidak pernah bertemu dengan Mona sehinggalah beliau berusia 27 tahun.

Akan tetapi Abdul Fattah sekali lagi terpaksa berhijrah. Disebabkan masalah kewangan, dia pulang ke Syria dan berharap dapat bekerja dalam bidang diplomatik.

Tetapi kehidupan sebagai seorang diplomat tidak kesampaian, dan dia sebaliknya bekerja sebagai pengarah selama setahun di sebuah kilang minyak di Homs. Ketika di Syria, Abdul Fattah telah menceraikan isterinya.

Pada tahun 1962, dia kembali ke Amerika Syarikat tetapi tidak berhubung dengan Joanne yang ketika itu sudah berkahwin dengan seorang lelaki tempatan.

Abdul Fattah bekerja sebagai seorang pembantu profesor di Universiti Michigan dan kemudiannya di Universiti Nevada. Dia kemudiannya membeli sebuah restoran dan bekerja di Las Vegas.

Di usia 84 tahun, dia kekali sebagai Naib Pengerusi Boomtown Casino dan Hotel di Reno, Nevada.

Pernahkah Steve Jobs bertemu dengan bapa kandungnya?

abdul fattah jandali 704

Dalam hal ini, Steve Jobs percaya dia telah bertemu dengan ayah kandungnya secara tidak sedar ketika Abdul Fattah bekerja sebagai pengurus di sebuah restoran di Sacramento.

"Saya pergi ke restoran itu satu atau dua kali dan saya teringat saya bertemu dengan pemilik restoran itu yang berasal dari Syria. Dan saya pasti dia adalah ayah saya. Saya bersalam dengannya dan itu sahaja yang berlaku," kata Steve Jobs.

Kemudian, Mona mendedahkan bahawa Abdul Fattah sememangnya adalah pemilik restoran tersebut.

Steve memberitahu bahawa dia tidak mempunyai niat untuk meneruskan hubungan dengan ayahnya di mana beliau mengetahui serba sedikit tentang Abdul Fattah dan tidak begitu menyukainya.

Sebelum kematian Steve, Abdul Fattah menjelaskan bahawa dia tidak berhubung dengan anaknya tetapi percaya bahawa anak kandungnya itu seorang yang genius.

abdul fattah jandali menganggap anaknya steve jobs seorang yang genius

"Hubungan kami tak rapat. Saya hantar mesej pada hari ulangtahun kelahirannya tetapi tiada seorang pun antara kami yang melakukan usaha untuk rapat antara satu sama lain. Saya cenderung untuk berfikiran bahawa jika dia mahu meluangkan masa bersama saya, dia tahu di mana dan bagaimana untuk menghubungi saya," kata Abdul Fattah Jandali.

Abdul Fattah menolak gelaran "Bapa Penciptaan" yang mana sesetengah pihak cuba berikan kepadanya.

Dia juga menjelaskan bahawa sebab mengapa Steve diletakkan untuk diambil menjadi anak angkat adalah kerana ayah kekasihnya tersangat konservatif dan tidak membenarkannya mengahwini anaknya, membuatkan Joanne memutuskan untuk melepaskan bayi tersebut.

"Steve adalah anak kandung saya, tetapi saya tidak membesarkannya dan dia mempunyai keluarga angkat. Jadi jika saya digelarkan "Bapa Penciptaan", ia adalah disebabkan anak lelaki saya yang genius dan anak perempuan saya merupakan penulis yang hebat. Saya berterima kasih kepada Tuhan di atas kejayaan dalam hidup, tetapi saya bukan seorang pencipta," kata Abdul Fattah Jandali.

Berkenaan dengan kejayaan Steve, Abdul Fattah menjelaskan bahawa jika anaknya itu dibesarkan dengan nama orang Syria, beliau masih akan mencapai kejayaan yang sama kerana sangat pintar walaupun tidak menghabiskan pengajian di peringkat universiti.

Rujukan:

1. Mac World

2. The Famous People

3. Cult of Mac




Hakcipta iluminasi.com (2017)