Pada masa kini, aplikasi pemetaan seperti Google Earth dan Google Maps sangat memudahkan kita untuk mencari sesuatu lokasi. Bayangkan sebelum kewujudan teknologi navigasi ini sudah pastinya kita sukar untuk mencari sesuatu lokasi dengan tepat dan pantas kerana perlu merujuk lakaran peta di atas kertas. 

Terdapat satu kisah benar yang cukup menarik perhatian mengenai Google Earth, tentang bagaimana seorang lelaki dari India yang terpisah dengan keluarga biologinya di India dan berjaya menjejak semula keluarganya itu hanya 25 tahun kemudian setelah bertahun-tahun cuba menjejak mereka menggunakan Google Earth.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Itulah kisah benar yang terjadi kepada seorang kanak-kanak bernama Saroo yang terpisah dengan keluarganya hanya ketika dia berusia 5 tahun. Pada hari kejadian, Saroo telah berkeras mahu mengikuti abangnya, Guddu pergi mencari pekerjaan.

Namun kerana Saroo masih kanak-kanak, abangnya tidak membenarkannya mengikutinya dan telah memintanya berehat di sebuah stesyen kereta api berhampiran rumah mereka dan berjanji akan datang mengambilnya semula selepas pulang dari bekerja. 

Dia yang ketika itu baru berusia 5 tahun terjaga setelah beberapa jam tidur dan panik kerana abangnya Guddu masih juga tidak kelihatan. Dia yang masih belum mengerti apa-apa ketika itu terus masuk ke kereta api yang diletakkan berhampiran untuk mencari abangnya yang disangka berada dalam kereta api itu.

Dia akhirnya kepenatan dan tertidur. Apabila dia terjaga, Saroo tidak mengecam apa-apa yang dilihatnya di luar tingkap kereta api itu. Dia hanya bersendirian ketakutan dan menangis serta cuba memanggil-manggil abangnya. Kereta api itu sebenarnya sedang menempuh perjalanan sejauh lebih daripada 1.600 kilometer sebelum berakhir di Calcutta (atau Kalkota dalam bahasa Benggali). 

Nota: Setelah menemui kembali ibunya dan kakaknya 25 tahun kemudian, barulah Saroo mendapat tahun bahawa abangnya, Guddu sebenarnya mati dilanggar kereta api pada malam kejadian dia ditinggalkan di stesyen kereta api tersebut. Disebabkan itulah abangnya tetap tidak muncul setelah beram-jam lamanya dia menunggu.

Hidup di jalanan

saroo brierley kanak kanak 128

Apabila sampai di Calcutta, Saroo tinggal di jalanan kira-kira 3 minggu sebelum dia dibawa ke balai polis oleh seorang pemuda yang melihatnya di tepi jalan sedang mencari makan. Kehidupannya di jalan sangat mencabar sehingga dia pernah hampir-hampir diculik, namun berjaya menyelamatkan diri.

Di sini, dia terpaksa mencari makanan daripada sisa-sisa makanan di sampah dan meminta daripada orang yang lalu lalang. Selain itu, dia sukar berinteraksi dengan orang tempatan disebabkan dia hanya pandai bertutur dalam bahasa Bengali berbanding bahasa Hindi yang digunakan oleh orang tempatan. 

Usaha pihak polis mencari keluarga sebenarnya juga sukar memandangkan Saroo merupakan kanak-kanak yang masih buta huruf dan tidak mengetahui nama keluarganya. Bapanya telah meninggalkan keluarganya sejak dia berusia hanya 3 tahun. Akhirnya pihak polis menghantarnya ke pusat penjagaan anak-anak yatim.

Diambil sebagai anak angkat

keluarga angkat

Kumpulan NGO hak kanak-kanak yang dikenali sebagai Indian Society for Sponsorship and Adoption (ISSA) kerap mengunjungi rumah penjagaan kanak-kanak tersebut dan merasakan bahawa Saroo adalah calon yang sesuai untuk diterima masuk dalam program anak angkat kelolaan mereka.

Kerana usianya yang masih kecil, dia masih mudah dibentuk. Dia kemudian dipindahkan ke pusat asuhan, dibersihkan dan diajarkan bagaimana makan dengan pisau dan garpu (kemahiran yang dapat meningkatkan peluangnya untuk diterima oleh keluarga angkat).

Akhirnya dia dimaklumkan bahawa dia akan diambil sebagai anak angkat dan tinggal bersama Sue dan John Brierley, sepasang suami isteri yang tinggal di Tasmania, Australia. Sebelum diterbangkan ke Australia, mereka terlebih dahulu telah mengirim gambar mereka kepada Saroo sebagai tanda salam perkenalan untuk kanak-kanak malang ini.

Usaha mencari keluarga sebenarnya

pencarian keluarga angkat

Walaupun sudah dewasa, Saroo tidak perlu melupakan keluarga kandungnya di India. Dia juga sering terbayangkan emaknya sedang melambai-lambai dan memanggil namanya kerana dia tahu emaknya pasti masih mencarinya. Adakalanya memori kecil bersama emaknya membuatkan dirinya mahu berusaha mencari mereka kembali.

Saroo diperkenalkan oleh rakan-rakannya akan aplikasi Google Maps. Kemudian, dia turut mengetahui akan aplikasi Google Earth yang membolehkannya mengesan lokasi tempat tinggalnya semasa kecil. Namun ianya bukan mudah kerana dia hanya bergantung pada memori ketika dia hanyalah berusia 5 tahun.

Ketika dewasa, dia telah menghabiskan sekitar 9,855 jam selama tiga tahun untuk melakukan carian menggunakan gambar satelit di Google Earth dengan susah payah mengikuti jalur kereta api yang singgah di stesen keretapi Howrah. Dia bergantung pada ingatan samar-samarnya mengenai ciri-ciri utama di sekitar stesen kereta api Burhanpur, walaupun dia hanya mengetahui sedikit nama stesen itu kecuali yang ejaannya bermula dengan huruf B.

Suatu malam pada tahun 2011, dalam Google Earth dia menemui sebuah stesen keretapi kecil yang mirip dengan kenangan masa kecilnya di mana dia terperangkap dalam kereta api kosong. Nama stesen ini adalah Burhanpur, sangat dekat dengan ejaan fonetik nama yang  diingatinya sejak kecil.

saroo brierley google earth 534

Dia mengikuti gambar satelit dari landasan kereta api ke utara dan menjumpai bandar Khandwa. Dia tidak mengingati nama itu, tetapi kota itu mempunyai ciri-ciri yang dapat dikenalinya seperti air pancut berdekatan landasan kereta api tempat dia biasa bermain.

Dia dapat menelusuri jalan melalui jalan-jalan ke tempat yang kelihatannya tempat dia dan keluarganya dulu tinggal. Setelah mendapat petunjuk, Saroo menghubungi satu kumpulan di Facebook yang berpusat di Khandwa. Kumpulan Facebook itu menguatkan kepercayaannya bahawa Khandwa mungkin adalah kampung halamannya.

Pada tahun 2012, Saroo melakukan perjalanan ke Khandwa di India dan berjaya menjejaki rumah yang pernah didiaminya dahulu. Malangnya, rumah tersebut tidak lagi berpenghunni. Dia bertanya kepada penduduk setempat jika mereka mengetahui ada keluarga yang kehilangan anak mereka 25 tahun yang lalu dan menunjukkan gambar dirinya semasa kecil. Penduduk tempatan segera membawanya ke ibunya.

Dia akhirnya bertemu kembali dengan ibunya dan kakaknya, Shekila serta abangnya yang masih hidup, Kallu, yang kini masing-masing menjadi guru sekolah dan pengurus kilang. Dengan kehilangan Saroo dan Guddu, ibu mereka mampu menghantar dua adik-beradiknya yang lain ke sekolah.

Kisah pertemuan kembali mereka ini mendapat liputan meluas oleh media India dan antarabangsa.

Filem dan buku inspirasi kisah benar

filem lion

Selepas pertemuan bersejarah ini, Saroo terus tinggal di Hobart bersama keluarga angkatnya. Dia dan keluarganya dari India kini dapat berkomunikasi secara berkala dengan memanfaatkan komputer di rumah salah seorang jiran Kallu. Saroo juga membelikan ibunya sebuah rumah jadi dia tidak perlu lagi bekerja.

Saroo telah kembali ke India dan mengunjungi keluarga kandungnya lebih dari belasan kali. Dia juga pernah menempah Kolkata Mail, kereta api kelas pertama dari Mumbai ke Kolkata untuk menelusuri kembali perjalanannya 25 tahun lalu. Dia kemudian kembali ke Australia. 

Pada tahun 2013, Saroo menerbitkan bukunya A Long Way Home (terbitan Penguin Australia) yang memuatkan kisah penderitaannya sebagai anak berusia lima tahun yang hilang, diambil sebagai anak angkat oleh sebuah keluarga dari Australia dan pencariannya untuk berrtemu keluarga kandungnya dari India.

Pada tahu 2016, sebuah filem bertajuk Lion yang diarahkan oleh Garth Davis telah ditayangkan di pawagam antarabangsa. Kisah Saroo dalam bukunya telah menjadi inspirasi kepada jalan cerita filem ini.

Apabila bertemu kembali emaknya, barulah dia tahu bahawa nama sebenarnya adalah Sheru yang bermaksud Singa. Namun kerana pelat ketika kecil, dia sering menyangka dan menyebut namanya sebagai Saroo. Filem Lion ini sangat menarik untuk ditonton. Disebabkan tidak mengetahui nama ayah kandungnya, Saroo menggunakan nama penuh Saroo Brierley, sempena nama keluarga angkatnya.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. BBC



Hakcipta iluminasi.com (2017)