India sememangnya terkenal dengan populasi rakyatnya yang sangat padat. Mengikut statistik, populasi di India sehingga 2020 adalah 1.38 bilion, di tempat kedua dibelakang China. Walau bagaimanapun, purata umur penduduknya adalah 29 tahun, lebih muda daripada China yang mempunyai purata penduduk berumur 37 tahun.

Jadi, secara umumnya boleh dikatakan bahawa penduduknya mempunyai kadar kelahiran yang tinggi dan para wanitanya subur dan mampu melahirkan anak yang ramai. Mungkin disebabkan inilah India terkenal sebagai hub ibu tumpangan (surrogate mother) popular, terutamanya bagi pasangan yang tidak memiliki anak walaupun sudah bertahun-tahun mencuba.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, bandar di Selatan India iaitu Chennai telah muncul sebagai pusat utama bagi "perniagaan" dengan puluhan klinik dan hospital dikatakan mempunyai kemampuan melakukan prosedur ini.

Ramai juga pasangan daripada luar negara seperti Amerika Syarikat yang datang ke India untuk mendapatkan anak menggunakan kaedah ini memandangkan ia dikatakan jauh lebih murah berbanding di negara asal mereka. Adakah kaedah ini dibenarkan oleh undang-undang tempatan?

Undang-undang ibu tumpangan di India

ibun tumpangan india

Perniagaan "menyewa" seorang wanita untuk dijadikan sebagai ibu tumpangan sangat popular di India sehingga kerajaan telah menganggap ianya perkara yang serius. Setelah penelitian yang dibuat, kerajaan telah mula mengharamkannya pada tahun 2015. Namun, terdapat beberapa pengecualian bagi pengharaman ini.

Antara syarat yang diperkenalkan adalah hanya ibu bapa pasangan rakyat tempatan sahaja yang dibenarkan melakukannya. Walau bagaimanapun, masih terdapat ramai pasangan luar negara yang masih menggunakan khidmat ini memandangkan mereka berkemampuan untuk membayar.

Bagi rakyat India sendiri, mereka hanya dibenarkan menggunakan kaedah ibu tumpangan ini sekiranya hanya salah seorang pasangan disahkan mandul oleh doktor. Selain itu pasangan tersebut mestilah sudah berkahwin sekurang-kurangnya 5 tahun, barulah mereka dibenarkan menggunakan kaedah ini.

Antara syarat lain adalah seseorang wanita hanya dibenarkan menjadi ibu tumpangan satu kali sahaja seumur hidup dan mestilah mempunyai hubungan rapat dengan pasangan yang mahukan anak tersebut. Ibu atau bapa solo atau pasangan daripada golongan homoseksual dilarang keras mendapatkan anak melalui kaedah ini.

Pasaran gelap

ibu tumpang di india

Benar, kerjaya sebagai ibu tumpangan sememangnya diharamkan secara komersial. Namun, ianya masih terus popular di pasaran gelap kerana permintaan banyak daripada pasangan dari luar negara yang mampu membayar. Dianggarkan pasaran gelap untuk ibu tumpangan di India ini menjana sekitar $1 bilion setahun!

Wanita yang sukarela menjadi ibu tumpangan pula menganggap ianya sebagai sebuah kerjaya yang menguntungkan, terutamanya bagi wanita yang berpendapatan rendah dan miskin. Secara purata, seseorang wanita yang menjadi ibu tumpangan akan dibayar 200,000 rupee.

Jumlah ini jika ditukarkan ke matawang Ringgit Malaysia adalah sekitar RM11 ribu. Mungkin jumlahnya tidak begitu banyak, namun jika dibandingkan dengan gaji seorang pemandu teksi 8,000 rupee sebulan atau operator kilang sekitar 6,000 sebulan ianya cukup banyak.

Namun, disebabkan kegiatan ini dilakukan melalui pasaran gelap, sebahagian besar ibu tumpangan ini telah didiskriminasi, dieksploit dan diletakkan dalam keadaan kurang selesa sehinggalah anak dalam kandungan dilahirkan. Para wanita yang bersetuju untuk tujuan ini akan ditempatkan di sebuah asrama atau dewan khas sehinggalah mereka bersalin.

Bagi pihak agensi yang menjalankan kegiatan ini pula, mereka menerima bayaran yang lebih lumayan daripada pelanggan mereka, dikhabarkan 2 kali ganda daripada bayaran yang diterima oleh ibu tumpangan.

Diskriminasi kepada ibu tumpangan

bahaya ibu tumpang

Kemiskinan dan kekurangan pendidikan menyebabkan ramai wanita menjadi ibu tumpangan berulang-ulang kali untuk kewangan ini dan kesihatan mereka mulai merosot kerana mereka secara efektif menjadi "mesin membuat bayi" tahun demi tahun.

Wanita yang menjadi ibu tumpangan ini juga tidak mendapat layanan dan sokongan yang mereka perlukan untuk diri mereka dan keluarga semasa proses mengandung yang penuh emosi ini. Selama tempoih 9 bulan ini, mereka juga hanya dibenarkan untuk menerima lawatan 1 kali sahaja sebulan daripada ahli keluarga mereka.

Bagi wanita yang menjadi ibu tumpangan ini juga, sebenarnya bukan mudah bagi mereka untuk menyerahkan bayi yang dikandung selama 9 bulan itu kepada "pelanggan" mereka. Dalam tempoh itu, selalunya sudah terbina ikatan kasih sayang si ibu dan anak yang masih di dalam perut.

Doktor yang membuat prosedur bersalin juga biasanya tidak akan membenarkan bayi yang dilahirkan itu ditatap oleh ibunya kerana khuatir akan menimbulkan perasaan sayang. Akibatnya, ada wanita yang menjadi ibu tumpangan ini akhirnya stress dan tertekan selama berbulan lamanya umpama kehilangan anak sendiri.

Kebiasaannya, ibu tumpangan ini juga tidak akan diperkenalkan langsung dengan pelanggan mereka untuk mengelakkan masalah dikemudian hari. Maka, agensi yang melakukan perniagaan inilah yang akan menjadi orang tengah yang menguruskan semuanya.

Hukum Ibu Tumpangan bagi Orang Islam

kaedah mendapat zuriat

Alang-alang membicarakan tentang ibu tumpangan, ada baiknya juga kami kongsikan fatwa berkaitan penggunaan ibu tumpangan ini bagi sepasang suami isteri yang mahu mendapatkan zuriat.

Mengikut laman Mufti Wilayah Persekutuan, hukum penggunaan ibu tumpangan ini adalah HARAM, jelas daripada perbincangan jumhur ulama' dikalangan mu'asirin. Sekiranya anda ingin membaca penjelasan lanjut mengenai perkara ini, kami sarankan anda rujuk pada laman rasmi Mufti WP sendiri.

Kredit:

  1. The Guardian
  2. BBC News



Hakcipta iluminasi.com (2017)