Oleh pada 25 Jul 2019 kategori

Selain daripada bangunan Menara Berkembar Petronas serta Menara Kuala Lumpur yang menjadi mercu tanda ikonik bandar Kuala Lumpur, sebuah lagi bangunan yang meninggalkan kesan mendalam pada masyarakat kita adalah bangunan Parlimen Malaysia.

Mempunyai bentuk yang unik serta pernah diabadikan ke dalam ukiran duit syiling rasmi negara kita, bangunan Parlimen kini menjadi tempat di mana ahli-ahli Parlimen yang terdiri daripada ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara kita, berbahas dan mengundi dalam menentukan hala tuju masa depan negara kita.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Tahukah anda, di mana ahli Parlimen Malaysia bersidang sebelum bangunan Parlimen siap sedia untuk digunakan?

Sidang Parlimen pertama Malaya di Jalan Ampang

agong rasmikan parlimen

Persidangan parlimen pertama negara kita diadakan pada 11 September 1959, di dalam dewan yang dinamakan Dewan Tunku Abdul Rahman - dirasmikan oleh Tuanku Abdul Rahman ibni al-Marhum Tuanku Muhammad, YDP Agong pertama negara kita yang juga Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus.

Dewan itu terletak di Jalan Ampang, dibina pada tahun 1935. Asalnya, dewan itu merupakan kediaman seorang ahli perniagaan Cina bernama Eu Tong Sen, seorang individu yang banyak melibatkan diri dalam industri perlombongan dan estet.

persidangan parlimen pertama 9sg32

Selepas dipilih untuk dijadikan lokasi di mana persidangan Parlimen negara kita akan bermula, dewan itu melalui proses ubah suai bagi menukarkannya daripada bentuk kediaman kepada bangunan yang mampu menempatkan dewan untuk Parlimen bersidang. Ketika ini, bangunan bersejarah ini lebih dikenali sebagai bangunan MATIC yang menjadi pusat operasi Kementerian Pelancongan Malaysia.

Bagaimanapun, semasa dewan itu digunakan untuk sidang Parlimen - Tunku Abdul Rahman merasa kurang selesa kerana di waktu lain, dewan tersebut turut sama digunakan untuk tujuan lain bila tidak digunakan. Jadi beliau mengambil keputusan untuk mewujudkan satu dewan khas sebagai Parlimen rasmi negara kita.

Cadangan penubuhan bangunan Parlimen khas

dewan tunku abdul rahman matic

Selepas mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, kerajaan negara kita dalam peringkat awalnya berusaha mahu memperkenalkan beberapa langkah dalam menentukan gagasan negara kita sebagai fokus, menumpukan kepada pembangunan aspek pembangunan dan kemajuan.

Hasrat pemimpin kita pada waktu tersebut adalah untuk menyatukan kesemua kaum dengan harmoni sambil terus melindungi kedudukan Islam sebagai agama rasmi serta budaya Melayu yang telah berakar umbi sekian lama. Untuk melaksanakan hasrat ini, Tunku Abdul Rahman sedar negara kita memerlukan satu simbol untuk membantu menjadi identiti gagasan negara kita.

Idea untuk membina sendiri sebuah bangunan Parlimen telah dicetuskan beberapa bulan selepas persidangan Parlimen pertama berlangsung, namun proses rekaannya mengambil masa yang agak panjang.

Bagi merealisasikan hasrat agar bangunan Parlimen mampu menyatukan semua kelompok majmuk negara kita, Tunku Abdul Rahman meminta pereka bangunan itu, seorang warga British bernama Sir Ivor Shipley, yang ketika itu bekerja dengan Jabatan Kerja Raya menghasilkan satu rekaan yang membawa imej kebangsaan.

Rekaan bangunan Parlimen harus tidak melambangkan mana-mana kaum etnik di negara kita secara tampak, sebaliknya mampu mencerminkan hasrat Malaysia sebagai sebuah negara yang bersifat modernistik dan progresif.

west folly hill

Lokasi yang dipilih sebagai tapak bangunan Parlimen Malaysia pula adalah sebuah kawasan sebesar 16.2 hektar, yang terletak berdekatan Taman Tasik Perdana. Lokasi itu yang dulunya dikenali dengan nama 'Bukit Folly Barat' atau 'West Folly Hill' terpilih kerana kedudukannya yang tinggi serta berbukit dan dekatnya kawasan itu, dengan kawasan pentadbiran kerajaan ketika itu iaitu bandar Kuala Lumpur.

Upacara pecah tanah bangunan Parlimen dilakukan pada 31 Ogos 1962, sempena sambutan kemerdekaan negara yang kelima. Serentak perletakan batu asas bangunan tersebut, sebuah kapsul masa turut sama ditanam di kawasan bangunan Parlimen bakal didirkan, diperbuat daripada batu marmar seberat 385kg.

Di dalam bongkah itu terdapat salinan hansard mesyuarat Parlimen pertama negara kita, surat khabar yang melaporkan peristiwa penting seperti sambuan kemerdekaan negara, sampel wang kertas dan syiling Malaysia dan tiga bahan pemacu ekonomi negara kita ketika itu, iaitu kepingan timah, kepingan getah dan benih padi.

Pembinaan selama setahun

persidangan parlimen pertama 720

Kerja-kerja pembinaan dimulakan selepas itu dengan anggaran jangka masa siap dalam tempoh setahun. Rekaan pereka Ivor Shipley yang telah diterima, mempunyai banyak elemen yang unik dalam idea rekaannya.

Keseluruhan bangunan Parlimen yang menempatkan Dewan Rakyat ditutupi dengan corak unik yang diperbuat daripada terrazo. Tujuan rekaan ini dibuat bukan hanya sekadar nampak cantik, tetapi bertujuan untuk mengawal kadar cahaya masuk ke dalam bangunan seterusnya membantu mengawal suhu bahagian dalaman bangunan itu.

bangunan parlimen sedang dibina

Coraknya pula diambil daripada ilham bentuk corak kulit buah nenas, kerana nenas pada ketika itu merupakan antara produk negara kita paling besar - jadi pemilihan corak nenas amat sesuai sekali untuk dijadikan identiti. Keseluruhan kos bagi membangunkan bangunan Parlimen yang mempunyai sebuah menara dan dua buah blok bangunan termasuk dewan serba guna adalah sekitar $18 juta keseluruhannya.

Selepas siap, kompleks Parlimen dirasmikan pada 2 November 1963 oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Putra Al-Haj Ibni Al-Marhum Syed Hassan Jamalullail, YDP Agong ketiga negara kita ketika itu.

Dua hari berikutnya, Kompleks Parlimen menjadi lokasi Persidangan ke 9 Parlimen Komanwel Sedunia, melibatkan semua negara anggota Komanwel.

Persidangan Parlimen pertama di Bangunan Parlimen

bangunan parlimen gambar lama

Tarikh 16 September 1963, hari pembentukan Persekutuan Malaysia menjadi kali pertama Parlimen Malaysia bersidang dalam bangunan baru. Wakil-wakil daripada Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura mula bersidang dalam suasana baru yang lebih baik dan lebih kondusif.

Pada hari yang sama, sebuah acara besar bagi meraikan penubuhan negara Malaysia secara rasmi turut dijalankan, dengan Stadium Merdeka bakal menempatkan YDP Agong, kesemua Raja-Raja Melayu serta barisan Gabenor dari Pulau Pinang, Melaka, Singapura, Sabah dan Sarawak untuk pengisytiharan tertubuhnya Persekutuan Malaysia secara sepenuhnya.

Sempena memperingati visi, idea dan keringat Tunku Abul Rahman Putra al-Haj dalam membina bangunan Parlimen Malaysia, sebuah tugu beliau diukir oleh pengukir kelahiran Austria terkenal Felix de Weldon, yang turut sama mengukir Tugu Negara yang terletak tidak jauh daripada bangunan Parlimen; mula dipamerkan di kawasan kompleks Parlimen pada tahun 1971.

16 september 1963

Melihat balik senarai mereka yang terlibat dalam persidangan Parlimen Malaysia (Malaya ketika itu) yang pertama, jelas sekali negara kita sudah melalui banyak perubahan daripada segi politik.

Kerajaan ketika itu dikuasai oleh parti Perikatan yang majoriti kerusinya dipegang UMNO, MCA dan MIC. Kelantan dan Terengganu dikuasai oleh parti pembangkang PMIP, nama lama parti PAS sekarang. Singapura pula diwakili majoritinya ahli parlimen dari parti PAP, dengan beberapa kerusi dipegang Barisan Sosialis yang kini sudah tiada lagi.

Tugas speaker Dewan Rakyat ketika itu dipegang oleh Tan Sri Haji Mohamed Noah Omar, salah seorang pengasas kepada parti UMNO yang juga datuk kepada bekas Perdana Menteri ke 6 kita, iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak serta bekas Menteri Pertahanan, Hishamuddin Hussein Onn.

sejarah parlimen malaysia

Pengisytiharan penubuhan Persekutuan Malaysia menggantikan Persekutuan Malaya selamat dilangsungkan disaksikan lebih 30,000 orang yang memenuhi Stadium Merdeka, menandakan pentingnya tarikh 16 September 1963 pada negara kita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)