Oleh pada 20 Aug 2018 kategori

tunku abdul rahman merdeka

Pada 31 Ogos 1957, akhbar New Straits Times dengan bangga mencetak muka depan suratkhabar mereka dengan tajuk "From Playboy to Malaya's First Prime Minister" (Daripada seorang kaki perempuan kepada Perdana Menteri Malaya Pertama).

Tajuk sebegitu bagi mereka yang tidak faham pasti dianggap cubaan memburukkan Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj. Bagaimanapun kandungan artikel itu adalah sebuah temuramah tidak formal bersama individu yang paling berpengaruh dalam usaha mendapat kemerdekaan negara kita, serta cara hidupnya yang berbeza daripada orang biasa.

Perjalanan Tunku menjadi pemimpin nombor satu Tanah Melayu berdepan liku-liku yang sukar, membentuk dirinya menjadi seorang individu yang punyai pemikiran berbeza daripada biasa, seterusnya menyebabkan anak Sultan Kedah ini lebih mesra menjadi rakyat biasa berbanding cara hidup mirip kerabat di-Raja.

Darah kerabat, berjiwa rakyat

new straits times 31 ogos 1957

Putera kepada Sultan Kedah yang lahir pada tahun 1903, Tunku Abdul Rahman kurang selesa hidup dalam istana. Dia gemar menghabiskan masa kecilnya dengan kawan-kawan di kampung selepas sekolah. Tunku juga tidak gemar kewajipan menaiki kenderaan khas dipandu pemandu khas lantikan istana setiap kali dihantar atau dijemput pulang. Dia juga terlalu banyak menghabiskan masa di padang bermain bola bersama rakannya.

Tunku bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar Kedah. Beliau dihantar untuk belajar di Debsirin School, Bangkok sebelum kembali menyambung ke Tanah Melayu menyambung pelajaran di Penang Free School. Tunku berjaya mendapat biasiswa kerajaan Kedah menyambung pengajian di Universiti Cambridge, Britain. Namun pelajarannya tidak lancar kurang serius dalam belajar, serta lebih gemar aktiviti sosial.

Setelah dinasihati penjaganya di sana, Tunku akhirnya fokus dan berjaya menamatkan pengajiannya dengan kelulusan ijazah sastera dalam bidang undang-undang dan sejarah, pada tahun 1925. Tunku belayar pulang membawa segulung ijazah ke Tanah Melayu. Walaupun begitu, tahap kelulusan ijazah yang diperolehi dirasakan tidak mencapai tahap sepatutnya oleh ahli keluarganya, kerana kelulusannya lebih rendah berbanding sasaran. Tunku diarahkan untuk kembali ke Britain meneruskan pengajian untuk mengambil peperiksaan Bar.

Sekembalinya dia ke Britain - Tunku lebih banyak menghabiskan masa dalam gerakan Malay Society of Great Britain yang ditubuhkannya bersama dengan Tuanku Abdul Rahman (bakal YDP Agong pertama negara) sebagai Presiden dan Tunku sendiri bertindak sebagai setiausaha.

Tunku hanya berjaya lulus tiga kertas peperiksaan daripada empat keseluruhan, mengakibatkan dia gagal mendapatkan kelulusan yang diperlukan. Tunku pulang semula ke Malaya pada tahun 1931 dengan rasa malu, sehinggakan pihak keluarga memandang apa yang berlaku padanya sebagai satu perbuatan yang cukup memalukan pihak istana.

Memulakan tugas sebagai penjawat awam

tunku abdul rahman sejarah

Walaupun malu, diasiswa kerajaan yang diterima Tunku membolehkan beliau dilantik menjawat jawatan anggota Kadet dalam jabatan perkhidmatan awam Kedah.

Tunku gemar tanggungjawab yang baru padanya itu, membuatkan dia bekerja keras serta lebih serius menjalankan amanah. Berkat ketekunan beliau, Tunku dinaikkan pangkat menjadi pegawai daerah di beberapa daerah Kedah selepas kerap kali ditukarkan kerana perangainya yang tidak takut mempersoalkan pegawai atasan beliau. Ketika inilah dia yang bertindak sebagai pegawai daerah di beberapa tempat mula mengenali situasi sebenar penduduk Kedah, menguatkan lagi jiwanya untuk berbakti kepada orang ramai.

Selepas tamat perang dunia kedua, gerakan politik tempatan mula mengalami kebangkitan dan perbincangan serta rundingan terhadap cadangan pembentukan Malayan Union mula menjadi perbualan orang ramai. Tunku turut sama mendapat peluang memberikan ucapan kepada orang ramai tentang pandangan beliau kerana jawatannya membolehkan dia bertemu ramai orang. Mesej yang konsisten daripada beliau adalah pentingnya masyarakat ketika itu memastikan sebarang bentuk keganasan tidak berlaku dalam usaha menolak apa yang dibawa kerajaan British.

Mula merasai kepentingan masyarakat Tanah Melayu bersatu, Tunku mengambil keputusan mengambil semula peperiksaan Bar di Britain untuk kali kedua, bagi membolehkan dia memainkan lebih besar dalam struktur kerajaan. Syukurlah kali ini dia lulus dan layak dilantik menjadi seorang pengamal undang-undang bertauliah.

Walaupun begitu, kariernya mengalami penurunan selepas dilantik sebagai timbalan pendakwaraya. Tanggungjawab yang diberikan hanyalah untuk mengkaji kertas-kertas perbicaraan kes-kes yang telah diselesaikan, tanpa dapat betul-betul diberikan peluang dalam proses mahkamah. Berbeza dengan pengalamannya bertugas sebagai pegawai daerah sebelum itu yang lebih dekat dengan jiwanya, turun padang melihat sendiri masyarakat.

Menjadi Presiden UMNO

tunku abdul rahman berucap pada 1971 persidangan umno

Kedudukan serta pengaruh Tunku Abdul Rahman serta pengalamannya sebagai pegawai daerah, dibantu kelulusan pendidikan yang baik menjadikan beliau seorang yang mempunyai kaliber tinggi dalam masyarakat Kedah khasnya. Oleh kerana itu, UMNO yang ketika itu baru ditubuhkan beberapa tahun melantik beliau menjadi pengerusi cawangan UMNO negeri Kedah.

Karier beliau sebagai peguam mula berkembang selepas dia dijemput oleh Fosters-Sutton, peguam negara ketika itu untuk menjadi peguam di Kuala Lumpur. Tunku mula terlibat secara langsung dalam kes undang-undang dan berkat kecekapan beliau, Tunku dinaikkan pangkat memegang jawatan Presiden Mahkamah Selangor.

Serangan komunis memaksa UMNO mula melebarkan agenda perjuangan politik mereka, memupuk semangat harmoni serta merapatkan jurang antara kaum yang menjadi komposisi masyarakat bukan hanya sekadar untuk orang Melayu semata-mata.

Dalam mesyuarat pada tahun 1951. Dato' Onn Jaafar, pengasas UMNO merasakan sudah tiba masanya untuk berundur kerana Dato' Onn percaya UMNO sepatutnya membuka keahliannya kepada semua kaum. Pendapat ini dibantah oleh ahli-ahli UMNO sendiri. Akhirnya Dato' Onn meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti baru yang dibuka kepada semua kaum yang dinamakan Parti Kemerdekaan Malaya.

tunku abdul rahman bapa kemerdekaan negara 356

Tiga nama dicadangkan untuk menggantikan Dato' Onn sebagai Presiden UMNO, dengan Tunku Abdul Rahman dan (Tun) Abdul Razak menjadi antara calon-calonnya. Setelah dipujuk oleh Abdul Razak sendiri, Tunku Abdul Rahman akhirnya bersetuju untuk menerima jawatan Presiden UMNO kerana Abdul Razak merasakan pengalaman Tunku Abdul Rahman serta usianya yang lebih tua menjadikannya lebih dihormati serta mampu menyatukan orang Melayu dalam perjuangan mereka.

Proses undian pada perhimpunan UMNO 23 Ogos 1951 dilakukan dan Tunku mendapat 57 undi menewaskan pencabarnya. Diberikan tanggungjawab besar dalam merealisasikan impian masyarakat Melayu ketika itu, dalam ucapannya yang pertama sebagai Presiden UMNO Tunku menegaskan pentingnya kemerdekaan diberikan dengan segera dan orang Melayu perlu bangkit berjuang menuntut kemerdekaan.

Menentang Dato' Onn Jaafar

dato onn jaafar

Salah satu langkah paling penting Tunku Abdul Rahman dalam usaha mendapatkan kemerdekaan, adalah usaha untuk mewujudkan kerjasama antara parti yang ketika itu masih mewakili kaum tertentu sahaja. Ideologi ini berbeza dengan apa yang cuba di bawa oleh Dato' Onn Jaafar, yang mahu semua kaum bersatu di bawah satu parti.

Langkah Dato' Onn menubuhkan parti baru berbilang kaum walaupun diterima beberapa orang pemimpin kaum Cina dan India, gagal menarik sokongan ramai khasnya orang Melayu.

Masyarakat ketika itu percaya gerakan kemerdekaan haruslah didokong oleh pemimpin-pemimpin yang mewakili setiap kaum yang datang daripada parti yang mewakili kaum masing-masing dan mampu bekerjasama memperjuangkan kemerdekaan Tanah Melayu.

Langkah ini diambil dalam memastikan hak setiap kaum dapat dijaga mengikut suara wakil kaum tersebut. Atas visi inilah parti Perikatan ditubuhkan hasil kerjasama UMNO dan MCA, yang menjadi rakan politik pertama UMNO sebelum kemasukan MIC yang mewakili kaum India.

Jalan menuju kemerdekaan

merdeka independence malaysia 75082

Proses kemerdekaan bukanlah sesuatu yang mudah. Perikatan turut sama mendapat tentangan daripada Dato' Onn sendiri serta masyarakat yang skeptikal dengan kerjasama di antara orang Melayu dan Cina berlainan parti. Walaupun begitu, lama-kelamaan sokongan kepada parti Perikatan semakin kuat.

Pada tahun 1955, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj membuktikan pengaruh besar serta ketokohannya dengan memimpin parti Perikatan memenangi pilihanraya umum, yang membolehkan beliau dilantik sebagai Ketua Menteri kerajaan Tanah Melayu.

Membuktikan dirinya kini membawa mandat dan suara rakyat yang mahukan kemerdekaan daripada British, perbincangan demi perbincangan terus dilakukan di antara semua wakil kerajaan Tanah Melayu dengan British dalam tempoh dua tahun, sebelum Tanah Melayu berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Tunku Abdul Rahman, lelaki yang mengaku dirinya playboy, mempunyai sejarah gemar main-main dalam belajar serta sangat mementingkan keseronokan dalam hidup - berdiri megah mengangkat tangan, mengisytiharkan kemerdekaan dengan laungan tiga kali 'merdeka!' menandakan kemerdekaan negara kita yang diperolehi sama seperti apa yang diimpikan Tunku - tanpa perubahan darah dan semuanya berlaku dengan cara rundingan.


tags : , , , , , , , , , , , , , , , , , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)