Oleh pada 16 Oct 2019 kategori

mapuche galvarino

Galvarino adalah seorang ketua dan pahlawan suku kaum Mapuche yang berusaha membebaskan rakyatnya dari dominasi Sepanyol pada pertengahan tahun 1500-an.

Suku Mapuche mendiami negara yang kini bernama Chile dan sebahagian besar Argentina pada tahun 1500-an ketika Sepanyol menakluki Inca dengan pasukan mereka yang kuat dan senjata api yang dahsyat.

Selepas Sepanyol menawan Peru, mereka mengalih perhatian ke seluruh benua, yang membawa kepada pertemuan mereka dengan suku Mapuche.

Dari 1536 hingga awal 1800-an, Mapuche berperang melawan Sepanyol dalam sebahagian daripada Perang Arauco yang berlangsung lebih dari 250 tahun.

Asal-usul legenda Galvarino

gambaran galvarion selepas tangannya dipotong pihak sepanyol

Galvarino yang dianggap sebagai legenda yang membolehkan Mapuche berada dalam perang lebih lama daripada yang dijangkakan.

Sehingga ke hari ini, Mapuche masih wujud dan tidak seperti Aztecs dan Incas yang sebahagian besarnya dihapuskan.

Dalam Pertempuran Lagunillas di selatan tengah Chile pada 8 November 1557, Sepanyol dengan mudah mengalahkan ribuan pahlawan Mapuche.

Mereka berjaya menawan 150 pahlawan Mapuche termasuk Galvarino. Gabenor Garcia Hurtado de Mendoza mengarahkan pasukannya untuk memotong tangan kanan dan hidung setiap pahlawan Mapuche.

Dan bagi pemimpin atau ketua seperti Galvarino pula, kedua-dua belah tangan dipotong.

Terdapat legenda Mapuche yang menyatakan bahawa selepas tangan kiri Galvarino dipotong, dia sendiri menawarkan untuk tangannya dipotong dan melihat kapak menghentak tangannya tanpa berganjak.

Kemudian, dia dengan beraninya meminta agar penyeksanya membunuhnya tetapi permintaan itu ditolak.

Dan disebabkan tidak membunuh pahlawan ini, Sepanyol telah melakukan satu kesilapan yang tersangat besar yang mana mereka menyesal untuk tempoh hampir 300 tahun.

galvarino pahlawan mapuche

Penjajah Sepanyol mempunyai kaedah yang lebih gila iaitu daripada menyembelih semua orang, mereka mahu menghantar mesej kepada pemimpin Mapuche.

Pahlawan 150 yang dipotong tangan itu kemudian diarahkan pulang ke bertempu dengan Caupolican, jeneral Mapuche, dengan mesej yang jelas iaitu menyerah kalah atau berhadapan dengan pemusnahan.

Daripada memberitahu Caupolican untuk menyerah kalah, Galvarino sebaliknya meminta ketuanya itu untuk terus melawan kerana tiada nilai jika mereka terpaksa hidup di bawah pemerintahan Sepanyol.

Dia memberitahu Caupolican dia boleh bertarung walaupun tiada kedua-dua tangan. Sebagai ganjaran kepada keberaniannya, Caupolican mempertanggungjawabkan Galvarino ke atas skuadron pahlawan.

Sebagai persiapan untuk berperang, Galvarino memasang 2 pisau bilah pisau pada kedua-dua belah tangannya yang kudung dan mempelajari cara untuk berlawan tanpa tangan sementara menggunakan 2 pisau tersebut sebagai senjata.

Pertempuran terakhir Galvarino

perang arauco

Kurang dari sebulan kemudian, Galvarino bertempur melawan Sepanyol sekali lagi. Sekitar 3,000 pahlawan Mapuche menentang 1,500 pahlawan Sepanyol pada 30 November 1557 dalam Pertempuran Millarapue.

Rancangan Mapuche adalah untuk menyerang perkampungan Sepanyol namun pelan ini tidak berjalan dengan lancar walaupun kekuatan mereka adalah dua kali ganda berbanding Sepanyol.

Mapuche memulakan serangan hendap terlalu awal dan berjaya dipatahkan pihak Sepanyol.

Tiada kisah yang dapat disahkan dengan muktamad tentang bagaimana Galvarino beraksi dalam pertempuran itu.

Menurut satu kisah, seperti yang ditulis oleh Jeronimo de Vivar, dia mengatakan bahawa pahlawan kental ini memberikan isyarat supaya pahlawannya untuk mara menggunakan pisaunya.

Galvarino berkata, "Tiada siapa yang dibenarkan melarikan diri melainkan mati kerana kamu mati mempertahankan negara kamu!"

Pihak Sepanyol membunuh dan menawan kebanyakan daripada pahlawan Mapuche yang mereka hadapi dalam pertempuran itu, sedangkan Sepanyol tidak mengalami kerugian sama sekali kecuali kuda-kuda yang mati.

Meriam Sepanyol sememangnya sangat menghancurkan tak kiralah betapa banyaknya kekuatan pihak musuh. 

Galvarino tidak pernah mendapat peluang ketiga menentang Sepanyol.

Seorang askar dan penyair Sepanyol, Alonso de Ercilla menulis sebuah puisi epik berjudul "La Araucana" di mana Alonso mendakwa dia cuba campur tangan bagi pihak Galvarino dengan meminta pahlawan bertangankan pisau itu untuk menyertai Sepanyol.

gabenor garcia hurtado de mendoza

(Gabenor Garcia Hurtado de Mendoza)

Sebagai tindak balas, Galvarino didakwa berkata, "Saya lebih rela mati daripada hidup seperti anda, dan saya hanya berasa kesal kerana kematian saya akan menghalang saya daripada merobek kamu sehingga hancur dengan gigi saya."

Akhirnya, Gabenor Garcia Hurtado de Mendoza menjatuhkan hukuman mati ke atas Galvarino.

Legenda mengatakan bahawa Mendoza melemparkan Galvarino kepada anjing-anjing dan bukan menggantungnya.

Satu lagi legenda mengatakan pahlawan itu membunuh dirinya untuk tidak membenarkan gabenor melaksanakan hukuman gantung ke atasnya. 

Walaupun pahlawan berani dan gagah ini meninggal pada tahun 1557, orang-orangnya masih hidup dan Mapuche terus berjuang menentang Sepanyol hingga tahun 1800-an.

Walaupun bilangannya jauh lebih sedikit sekarang, budaya Mapuche dapat bertahan dan tradisi mereka terus berlanjutan.

Tanpa contoh hero Galvarino dan kekuatan yang diperolehi, orang-orang Mapuche mungkin akan pupus dari muka Bumi.

Rujukan:

1. Mentalfloss

2. Today I Found Out

3. Interesting

4. Executed Today



Hakcipta iluminasi.com (2017)