Melo Imai menyertai kejohanan Olimpik 2006 dengan memasang impian mahu menjadi juara dunia, ketika berumur 18 tahun.
Kejayaannya memenangi acara 'halfpipe' dalam kejohanan FIS Piala Dunia tahun 2005 yang disertainya, menjadikan nama Melo disebut sebagai bintang yang bakal menyumbangkan kilauan emas bagi negara Jepun.
Digelarkan prodigi kerana bakatnya dalam sukan tersebut dipupuk sejak kecil, dibantu lahir dalam keluarga yang terkenal dalam acara sukan, memberikan tekanan yang amat besar pada bahu muda Melo.
BESARKAN TEKS A- A+
Penyertaan pertama dia di Olimpik berakhir, selepas dia gagal menamatkan luncurannya akibat hilang kawalan, pengsan dan mendapat tempat ke 34 daripada 34 peserta dalam sukan Olimpik 2006.
TEKANAN AYAH SEJAK KECIL
Melo dikatakan sudah biasa dengan tekanan.
Semenjak berumur 6 tahun, ayahnya Takashi Narita, telah mula melatihnya sebagai seorang atlit professional. Takashi bekas pemain bola tampar pasukan kebangsaan Jepun, pernah bertanding dalam kejohanan Olimpik 1992 namun tewas dalam persaingan suku akhir kepada pasukan Brazil - yang memenangi pingat emas. Kekecewaan itu menjadi pendorong kuat Takashi memastikan anak-anaknya berjaya dalam sukan.
Sukan memang tidak asing dalam keluarga mereka. Melo dan abangnya, Dome dibesarkan dengan latihan keras oleh ayah mereka.
Ibu mereka telah meninggalkan mereka akibat perceraian, menyebabkan tanggungjawab membesarkan adik-beradik Melo jatuh dalam tangan ayah mereka sepenuhnya. Menghadapi masalah tertekan dengan permintaan ayahnya, Melo pernah melarikan diri dari rumah pada tahun 2002 ketika berusia 15 tahun dan menetap di rumah kebajikan, sebelum pulang semula.
Hidup Melo bukan seperti remaja lain. Ayahnya tidak membenarkan dia berlagak seperti perempuan biasa. Dia tidak bersekolah, dengan latihan oleh ayahnya bermula dari jam 5 pagi sehinggalah jam 11 malam. Jauh dalam hatinya, Melo mengakui dia melakukan semua itu kerana takutkan ayahnya, bukan kerana minatnya.
Walaupun pengalamannya membesar dipandang negatif Melo sendiri, dalam satu sudut lain Melo berjaya menjuarai kejohanan dunia peringkat remaja pada usia 14 tahun. Pada usia muda, Melo terpilih sebagai wakil Jepun dalam acara kegemarannya, menyertai temasya sukan Olimpik musim sejuk 2006 yang berlangsung di Torino, Itali yang menjadi idaman ramai atlit.
HIDUP BERUBAH KERANA SUKAN
Hidup Melo berubah popular ekoran statusnya sebagai atlit harapan Jepun dalam sukan bertaraf Olimpik.
Acara-acara publisiti mula memenuhi jadual hidup Melo dan pelbagai perjanjian penajaan ditandatangani, menjadikan hidupnya bertambah mewah.
Melo mula dijemput sebagai tetamu undangan khas dalam temubual televisyen malahan diberikan peluang merakamkan lagu rap (yang dikritik banyak pihak.) Bahu mudanya memikul harapan seluruh negara Jepun. Bagaimanapun, Melo mula merasai tekanan-tekanan ketika hari pertandingan semakin hampir. Dia mula rasa takut gagal dan menghampakan semua orang, terutama ayahnya.
Dalam sesi ujian kelayakan, Melo hilang kawalan sehingga kemalangan lalu terpaksa menarik diri daripada meneruskan penyertaannya.
Prestasi teruknya itu dikritik hebat masyarakat Jepun yang menyamakan pencapaiannya itu dengan berbagai kata kesat. Melo digelarkan 'satu simbol pembaziran duit cukai' dan 'perkara buruk yang memalukan seluruh Jepun.' Kegagalannya dalam pertandingan Olimpik dan reaksi buruk masyarakat Jepun terhadapnya, membuatkan Melo berubah.
Sukar untuk memahami apa yang mampu dilakukan oleh seorang gadis berusia 18 tahun menerima kecaman sedemikian, dari setiap penjuru negara.
MASALAH MENTAL
Ekoran insiden buruk, Melo mula mengalami masalah tekanan mental yang dahsyat dan menyembunyikan dirinya selama 6 bulan, berkurung di dalam bilik sendirian tanpa menjalani hidup normal.
Melo berpindah ke Osaka dengan harapan mahu membina hidup baru, tetapi jalan yang dihadapi Melo nyata berbeza. Dirinya tidak ada kemahiran lain selain daripada sukan, membuatkan Melo terpaksa menjinakkan dirinya dengan dunia pekerjaan pelayan wanita yang popular di Jepun.
Bermula sebagai seorang pelayan bar mirip GRO, apabila wangnya mula kehabisan, Melo memberanikan diri mencari pendapatan dengan menjaja tubuhnya.
Hampir setahun kegiatannya berjaya disembunyikan, kisah Melo bekerja sebagai pelacur di kelab-kelab kesihatan terdedah selepas diterbitkan dalam majalah Shukan Bunshun, sebuah majalah gosip mingguan popular di Jepun. Wartawan secara tidak sengaja 'menemui' Melo yang sedang berkhidmat dan visual Melo tidak berpakaian lengkap dirakamkan secara sembunyi, didedahkan kepada orang ramai dengan tajuk artikel cukup memalukan dirinya. Insiden itu sedikit sebanyak memaksa Melo keluar daripada persembunyiannya.
Melo mengakui terpaksa menyara hidup dengan menjual tubuh ekoran ketiadaan sumber pendapatan lain yang boleh dilakukannya. Pada tahun 2013, Melo memperkembangkan 'bakatnya' dan menjadi model gambar pornografi, sebelum memberanikan diri menerima tawaran menjadi seorang pelakon porno Jepun pada bulan Mac tahun 2017. Kami merasakan tidak perlu olahan lebih lanjut dilakukan pada bahagian ini.
Parut yang timbul ekoran insiden Olimpik 2006 nampaknya masih lagi belum dapat dilupakan masyarakat Jepun. Pelbagai reaksi negatif dilontarkan ekoran pengumuman video Melo yang akan diterbitkan.
"Siapa yang akan beli video dia?" tanya seseorang dalam forum penerbit video tersebut.
"Siapa nak tengok video lucah yang diterbitkan lambat lima tahun?" tanya yang lain mengkritik usianya yang agak lanjut dalam industri tersebut.
KEMBALINYA MELO IMAI DALAM SUKAN PAPAN LUNCUR SALJI
Selepas pelancaran video pornonya yang mendapat pelbagai reaksi masyarakat Jepun, Melo menyatakan hasratnya untuk kembali dalam bidang yang telah dilatih dalam dirinya sekian lama - sukan papan luncur salji.
Pada usia 30 tahun tahun, Melo menyertai All Japan Snowboarding Championships ke 35 dalam acara kegemarannya. Dia mendominasi acara tersebut, jauh meninggalkan peserta lain dengan markah 90.75 berbanding peserta tempat kedua yang hanya mendapat 76.75 markah.
Diajukan soalan, Melo mengakui berminat sekiranya diberikan peluang untuk kembali mewakili negaranya dalam sukan Olimpik 2022 yang akan berlangsung di Beijing, China.
Dengan prestasi buruk pasukan papan luncur salji Jepun ketika ini, prestasi yang ditunjukkan Melo dilihat mampu menjadi tonik kepada peningkatan prestasi mereka. Dia mengakui mahu kembali meluncur di atas salji dan kerjaya dia dalam bidang lakonan pornografi, terpaksa diperlahankan buat seketika bagi memastikan peluangnya mewakili Jepun kembali bersinar.
PENGARUH JANGKA PANJANG IBU BAPA PADA ANAK
Kisah Melo ini sedikit sebanyak menampakkan kepada kita kesan tekanan dan pengaruh ibu bapa terhadap mentaliti anak-anak apabila mereka dewasa kelak. Melo tidak diberikan pendidikan dan kemahiran yang cukup, berikutkan obsesi ayahnya mahu melahirkan atlit bertaraf dunia dalam keluarga mereka.
Tidak dapat dinafikan juga, apa yang terjadi pada Melo ini sebenarnya berpunca daripada tekanan masyarakat Jepun yang terlalu meletakkan harapan tinggi kepada seorang gadis muda, namun dengan mudah memaki hamun selepas Melo mengalami kegagalan. Tekanan yang dirasai membuatkan Melo tidak dapat menjalani kehidupan normal seperti wanita lain.
Apa yang boleh kita pelajari sekiranya anda mempunyai anak perempuan, pastikan mereka mempunyai ruang untuk membesar menjadi siapa yang mereka inginkan. Amat penting untuk seorang remaja diberikan ruang mengejar apa yang dia mahukan kerana silap langkah, takut-takut dia mahu pula berlakon dalam filem lucah bila dewasa kelak.