Usia bukan penghalang. Pepatah itu sering disebut apabila kita menceritakan tentang tahap pencapaian yang mampu dicapai seorang individu.
Bagi temasya Olimpik tahun 2021 yang berlangsung di Tokyo, Jepun, seorang atlit dari Syria bernama Hend Zaza mencuri tumpuan orang ramai. Gadis kecil itu mencatat rekod sebagai atlit termuda kejohanan pada usia 12 tahun.
BESARKAN TEKS A- A+
Walaupun masih mentah dari segi usia, kredibiliti beliau untuk layak ke Jepun bukanlah sekadar nasib semata-mata. Ini kisahnya.
Menang Sukan Asia Barat 2020
Pada bulan Mac tahun 2020, peminat sukan ping-pong Asia barat dikejutkan dengan kemenangan seorang gadis berusia 11 tahun bernama Hend Zaza dalam kejohanan ping-pong Asia Barat, yang berlangsung di Jordan.
Dalam perlawanan sengit menentang atlit dari Lubnan iaitu Mariana Sahakian yang 31 tahun lebih tua daripadanya, Hend menang perlawanan tersebut 4 berbalas 3.
Dengan kemenangan itu secara automatik Hend Zaza turut melayakkan diri ke sukan Olimpik, ekoran status kejohanan tersebut yang dikategorikan sebagai salah satu pusingan kelayakan Olimpik dan pemenanganya layak ke Jepun.
Hend yang lahir pada 1 Januari 2009 ketika itu menduduki kedudukan 155 senarai pemain ping-pong bawah 12 tahun dunia, mencatat sejarah menjadi atlit pertama dari Syria akan bertanding dalam acara ping-pong peringkat Olimpik berdasarkan merit.
Berlatih dalam situasi perang
Hend mula bermain ping-pong pada usia 5 tahun bersama abangnya, bagi mencari hobi untuk memenuhi masa lapang.
Berasal dari bandar Hama yang menjadi antara titik penting perang yang tercetus di negaranya, ping-pong memberikan dua beradik itu ruang untuk melupakan situasi sebenar kehidupan mereka.
Dia menuruti abangnya menyertai beberapa kejohanan tempatan pada usia 7 tahun hasil bimbingan seorang jurulatih bernama Adham Aljamaan.
Bakatnya mula mendapat tumpuan ramai selepas dia secara tidak sengaja bermain dengan pemain-pemain lebih senior yang terkejut melihat kemampuannya. Bertitik tolak dari situ, Hend mula diberikan peluang lebih besar.
Sesi latihan 3 jam diadakan setiap hari di rumahnya mengikut rutin tetap, menggunakan peralatan yang agak uzur. Berkat kesungguhan yang ditunjukkan, Hend mula menyertai pertandingan yang dianjurkan di Syria melalui penyertaan bersama sebuah kelab ping-pong yang beroperasi di Damascus.
Pada usia 11 tahun Hend Zaza menjadi atlit ping-pong pertama yang menggondol bersih kesemua kejohanan peringkat kebangsaan yang layak disertainya, mengikut empat kategori peringkat umur dipertandingkan termasuklah kategori dewasa.
Tersingkir namun masih boleh tersenyum
Perjalanan Hend dalam Olimpik Tokyo tamat dalam pusingan pertama, selepas tewas kepada atlit dari Austria, Liu Jia 4-0. Perlawanan yang berlangsung selama 24 minit itu menyaksikan remaja itu terpaksa mengakui kehebatan atlit kelahiran China itu.
Walaupun terpaksa pulang awal, Hend mengakui pengalaman yang dilalui sangat berharga dalam membantu dirinya mempersiapkan diri di masa hadapan.
Untuk layak bertanding ke sukan Olimpik berdasarkan merit bukan sesuatu yang mudah. Hend Zaza sudah membuktikan seorang gadis kecil yang hidup dalam suasana perang mampu berdiri sama tinggi dengan atlit bertaraf dunia lain.
Penyertaan Hend Zaza dalam temasya di Tokyo meletakkan beliau sebagai atlit kelima paling muda pernah bertanding, sepanjang Olimpik era moden berlangsung.
Bergelar atlit Olimpik termuda dalam sukan ping-pong
Rekod atlit termuda pernah bertanding masih dipegang ahli gimnas lelaki Dimitrios Loundras dari Greece, yang bertanding pada usia 10 tahun dalam temasya Olimpik pertama tahun 1896 di Athens.
Uniknya, Loundras juga menjadi atlit terakhir meninggal dunia daripada kumpulan atlit yang menyertai temasya sulung itu. Dia meninggal dunia pada tahun 1970 ketika berusia 85 tahun.
Loundras juga memegang rekod pemenang pingat termuda sehingga kini, selepas mendapat pingat gangsa dalam penyertaannya itu.
Bagi Hend Zaza, perjalanan beliau sebagai seorang atlit profesional masih panjang.
Tewas kepada atlit berusia 39 tahun dalam penyertaan pertamanya, membuktikan peluang untuk dirinya mencipta rekod mengharumkan nama negaranya masih cerah dan kariernya masih jauh.
Tersingkir dalam pusingan pertama tidak sedikit pun mencalarkan reputasi atlit termuda dari Syria, yang menjadi pemain ping-pong paling muda bersaing pada peringkat yang tertinggi.
Rujukan
ITTF Introducing Hend Zaza: Syria's 11-year-old star, bound for Tokyo 2020