Dikenali sebagai "Iron Mike", "Rasputin of Bronx", atau hanya "Mike the Durable", tidak banyak yang diketahui tentang Michael Malloy, namun kisah-kisah tentang bagaimana lelaki ini mempunyai kebolehan "mengelak" kematian terus hidup sehingga ke hari ini.

Michael "Mike" Malloy merupakan seorang gelandangan dari daerah Donegal, Ireland yang kemudiannya berhijrah ke New York City dan tinggal jalanan sekitar tahun 1920-an dan 1930-an.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Kepayahan hidup membuatkan bekas anggota bomba ini tertekan dan berubah menjadi seoang kaki minum. Mike sering mengunjungi bar dan kelab malam tempatan, serta mula mendapat kawan baru.

Dan pada tahun 1933, lima penyangak memutuskan untuk mengambil kesempatan ke atas situasi Mike. 

Mereka memerhatikan bagaimana dia akan mengunjungi ke bar yang sama setiap malam, minum dengan begitu banyak dan kemudiannya tidak sedarkan diri.

Lagipun, Mike datang dari Ireland di mana rakyat negara ini terkenal dengan tabiat minum alkohol yang luar biasa.

mike malloy seorang kaki minum

5 lelaki tersebut iaitu Tony Marino, Joseph “Red” Murphy, Francis Pasqua, Hershey Green dan Daniel Kriesberg merancang untuk mengambil polisi insuran untuk Mike dan membuatkannya mabuk sehingga mati.

Salah seorang daripada penyangak ini iaitu Tony Marino pernah menggunakan taktik yang sama sebelum ini. Dia mengambil polisi insurans untuk seorang wanita gelandangan dan menamakan diri sendiri sebagai penerima manfaat .

Tony kemudiannya memaksa wanita itu minum alkohol, membogelkan mangsa sebelum menjirus tilamnya dengan air ais dan membiarkannya di bawah tingkap yang terbuka.

Keesokan harinya, wanita tersebut mati dan disahkan mati disebabkan oleh pneumonia bronkial. Kematian ini membuatkan Tony menerima $2,000 (bersamaan dengan RM160,000 pada hari ini) tanpa sebarang rasa bersalah.

Disebabkan taktik ini menjadi, apa salahnya kalau dilakukan sekali lagi, kan?

tony marino dalang pembunuhan mike malloy

(Tony Marino)

Jadi mereka mula untuk berkawan dengan Mike, mendekatinya di bar dan memberikan minuman percuma kepadanya.

Mereka kemudiannya mendapatkan tandatangan Mike dengan menggunakan helah memintanya untuk menandatangani satu petisyen.

Apa yang tidak disedarinya adalah dia menandatangani 3 polisi insurans nyawa yang bakal memberikan 5 penyangak itu wang sebanyak $3,500 (kira-kira RM250,000 hari ini).

Kebetulan pula, Tony memiliki sebuah sebuah kedai minuman keras dan memberitahu Mike bahawa dia boleh minum sesuka hatinya tanpa sebarang bayaran.

Mereka menjangkakan bahawa Mike yang kelihatan jauh lebih tua dari usianya dengan bentuk badan yang teruk, pastinya tidak akan bertahan lama dan terbunuh akibat alkohol.

Namun mereka tersilap.

kedai minuman keras milik tony marino

(Kedai minuman keras milik Tony Marino)

Mike akan mengunjungi kedai milik Tony dan minum setiap hari, namun dia masih segar keesokan harinya.

Melihat percubaan mereka gagal, geng ini memutuskan untuk menggantikan minuman keras dengan cecair antibeku (cecair penyejuk untuk enjin kereta) untuk mempercepatkan proses, namun ia tidak memberikan kesan.

Mike akan kembali pada esok hari dengan senyuman terukir di wajahnya.

Cecair penyejuk kemudiannya digantikan dengan turpentin, dan kemudiannya dengan racun tikus. Apa yang mengejutkan para penyangak ini adalah tiada perubahan yang berlaku kepada Mike.

Mike hanya akan tidak sedarkan diri dan dibuang ke jalanan, tetapi setiap pagi dia akan datang semula untuk minum lagi.

Geng ini kemudiannya cuba untuk menjadi lebih kreatif. Kali ini, mereka merendamkan tiram mentah dalam metanol dan memberikannya kepada Mike. 

frank pasqua salah seorang yang membunuh mike malloy

(Frank Pasqua)

Idea ini diberikan oleh Francis Pasqua selepas dia melihat seorang lelaki mati selepas makan tiram yang direndamkan di dalam wiski.

Seperti yang anda boleh jangkakan, cubaan ini juga gagal yang membuatkan mereka memberikan Mike sandwic yang berintikan sardin basi dan paku karpet.

Ia bukan sahaja gagal tetapi Mike meminta satu lagi sandwic yang sama. 

Selepas mereka menyedari bahawa Mike mempunyai "perut besi" dan tiada apa makanan atau minuman yang dapat membunuhnya, mereka memperhebatkan lagi usaha.

Pada satu malam musim sejuk yang beku, apabila suhu menurun ke -26C, mereka menunggu Mike untuk tidak sedarkan diri, membogelkannya dan mencampakkannya ke dalam timbunan salji.

Kemudian mereka mencurahkan hampir 20 liter air di atas dada dan kepalanya, lalu pulang ke rumah masing-masing.

Yakin bahawa tiada siapa yang dapat bertahan dengan apa yang mereka lakukan, geng ini sangat terkejut apabila mereka melihat Mike hadir seperti biasa untuk mendapatkan minuman percuma.

Ini membuatkan mereka menjadi sangat terdesak. Seperti biasa geng ini akan menunggu Mike tidak sedarkan diri, membawanya ke luar lalu menolaknya ke atas jalan raya dan dilanggar oleh teksi yang diupah mereka dengan kelajuan 72 kilometer sejam.

hospital fordham di mana mike malloy dirawat selepas dilanggar teksi

(Hospital Fordham di mana Mike Malloy dirawat selepas dilanggar teksi)

Teksi tersebut kemudiannya berundur dan melanggar Mike dengan sangat teruk.

Keesokkan harinya, Mike tidak datang ke kedai minuman keras Tony seperti biasa.

Namun sebelum meraikan kejayaan mereka, kumpulan ini mengunjungi semua rumah mayat tempatan untuk mengesahkan kematian Mike.

Akan tetapi, tiada rekod tentang kematiannya di mana-mana dan selagi tiada rekod ini, mereka tidak akan menerima satu sen pun.

Tiga minggu kemudian, seperti biasa, Mike berada di hadapan pintu bar milik Tony untuk mabuk lagi. Dia mengalami patah tulang dan tidak mengingati apa yang berlaku pada malam tersebut.

Apa yang Mike tahu adalah dia sangat dahaga. Perkara ini membuatkan kelima-lima penyangak tersebut tersangat berang dan memutuskan untuk mencuba sekali lagi.

bilik di mana mike malloy dibunuh

(Bilik di mana Mike Malloy dibunuh. Anak panah menunjukkan paip gas yang dimasukkan ke dalam mulut Mike Malloy)

Dan kali ini, mereka tidak akan teragak-agak untuk melampaui batas.

Mereka menunggu Mike untuk mabuk dan tidak sedarkan diri sekali lagi, membawanya ke bilik Tony di atas bar tersebut, memasukkan paip gas ke dalam mulutnya.

Dalam masa sejam, Mike berhenti bernafas dan akhirnya meninggal dunia.

Kematiannya dikaitkan dengan satu kes pneumonia, kemungkinan disahkan oleh doktor yang disogok. Mayat Mike dikebumikan dengan cepat sementara 5 penyangak tersebut menerima wang habuan mereka.

mayat michael malloy selepas menjalani pemeriksaan autopsi

(Mayat Michael Malloy selepas menjalani pemeriksaan autopsi)

Namun, berita tentang "Mike the Durable" ini tersebar di kawasan setempat. Pihak polis yang mengunjungi bar-bar tempatan mendengar kisah tentang seorang lelaki yang mengelak dari kematian berkali-kali.

Apabila polis mendapat tahu bahawa seorang lelaki bernama Mike Malloy telah mati akibat sebab yang luar biasa, mereka menjalankan siasatan.

Mayatnya digali semula dan menjalani pemeriksaan autopsi, membawa kepada penemuan sebab sebenar kematian Mike iaitu telah dibunuh.

Sementara itu, 5 penyangak itu bergaduh sesama sendiri kerana tidak dapat membahagikan wang habuan tersebut secara adil dan mendapat perhatian pihak berkuasa tempatan.

geng penyangak yang membunuh michael malloy dihadapkan ke mahkamah

(Geng yang membunuh Mike Malloy ketika dibicarakan di mahkamah)

Setelah diberkas, kelima-lima mereka dibicarakan dan disabitkan dengan jenayah membunuh.

Salah seorang daripada mereka iaitu Hershey Green dijatuhkan penjara sepanjang hayat manakala empat yang lain dijatuhkan hukuman bunuh dengan kerusi elektrik di Penjara Sing Sing di New York.

Keempat-empat penjenayah ini mati hanya dalam satu renjatan kerusi elektrik, yang mana tidak setanding dengan "Iron Mike" yang berjaya mengelak kematian berkali-kali.

Selepas 80 tahun kematiannya, warisan Mike Malloy terus hidup dan kisahnya dipaparkan dalam sebuah dokumentari bertajuk "Name Your Poison" ("Namakan Racun Anda").

Rujukan:

1. Irish Post

2. Smithsonian Mag

3. Irish Central




Hakcipta iluminasi.com (2017)