Ke mana sahaja di pelusuk dunia anda pergi, pasti setiap daripadanya mempunyai kisah-kisah legenda yang tersendiri. Dan salah satunya tentulah kisah legenda seram yang disebarkan dari turun-temurun.

Kisah-kisah legenda seram atau hantu kebiasaannya berasal daripada kisah benar yang berlaku lama dahulu ataupun cerita asal yang ditokok-tambah serta kisah-kisah rekaan yang hanya mahu menakutkan orang ramai.

Tak kisahlah sama ada ia kisah benar atau tidak, kisah-kisah legenda ini dengan mudah dapat membuatkan anda berasa seram sejuk dan takut untuk ke tandas!

iluminasi.com kongsikan 5 kisah legenda seram di Malaysia yang paling popular.

5. Kisah DJ radio dan pemanggil misteri

kisah dj radio dan panggilan misteri

Kisah legenda ini berkisarkan tentang seorang DJ radio Malaysia. Dia mempunyai rancangan lewat malam pada tahun 1990-an di mana pendengar boleh menelefon untuk berkongsi cerita hantu.

Pada satu malam, seorang lelaki menelefon untuk berkongsi kisahnya. Dia berkata bahawa dia sedang memandu di sebuah lebuhraya pada lewat malam bersama kedua ibu bapanya, isterinya dan bayi mereka.

Kesemua penumpang sedang tidur membuatkan dia juga mengantuk. Tiba-tiba dia ternampak sebuah lori datang dari arah hadapan tetapi di jalan bertentangan.

Lori itu melepasinya dengan laju dan belum sempat dia menghadap apa yang berlaku, perkara yang sama berlaku lagi. Dan ia terus berulang-ulang.

Kemudian, perkara tersebut berubah di mana lori tersebut mula muncul di belakangnya dan dia menyedari bahawa lori tersebut mengejarnya.

Cuba untuk tidak panik, dia memecut laju. Apabila dia tiba di atas bukit, dia tiba-tiba ternampak sebuah kenderaan menghala ke arahnya.

Dia mengelak dengan begitu drastik tetapi hilang kawalan dan terbabas, terjatuh ke dalam jurang yang sangat dalam. Kemudian, dia memberitahu DJ radio tersebut bahawa kemalangan itu membunuh semua ahli keluarganya.

Dia kedengaran sangat terganggu dan sebelum meletak telefon, pemandu tersebut memberitahu bahawa kemalangan itu juga meragut nyawanya.

DJ tersebut menyangkakan bahawa ia adalah panggilan prank dan ketawa.

Walaubagaimanapun, akhbar keesokan harinya memaparkan sebuah kisah di muka depan, mengatakan bahawa berlakunya satu kemalangan di lebuhraya tersebut sama seperti yang diceritakan oleh lelaki itu.

Sebuah kereta terbabas dan membunuh satu pasangan warga emas, seorang suami dan isteri serta bayi mereka. DJ tersebut sangat terkejut melihat berita tersebut.

Dia dengan kelam-kabutnya cuba untuk mendengar kembali rakaman pita tentang kisah misteri yang diceritakan lelaki itu namun tiada apa yang didengarinya melainkan bunyi sunyi sepi.

4. "Merman"

kisah legenda seram malaysia merman

Pada tahun 2006, gambar-gambar yang mengejutkan mula tersebar di laman sesawang Malaysia yang kelihatannya menunjukkan apa yang digambarkan sebagai "Merman", ikan duyung versi lelaki.

Ia dikatakan ditangkap oleh seorang nelayan di pantai Teluk Bahang di Pulau Pinang. Terdapat 6 gambar makhluk ini, yang diambil dari pelbagai sudut.

Gambar-gambar tersebut dilampirkan ke e-mel yang tersebar, mendakwa bahawa akhbar-akhbar tidak dibenarkan berkongsi gambar tersebut.

Merman itu kelihatan samar-samar seperti manusia dan seolah-olah mempunyai saiz badan kira-kira saiz lelaki dewasa. Terdapat dua sirip panjang yang menyerupai telinga besar di kepalanya.

Ia mempunyai dua lengan dan badannya dilitupi dengan sirip dari kepala ke kaki. Tidak lama kemudian, para penyiasat internet mendakwa bahawa gambar itu datang dari jualan eBay di Florida.

Tetapi para ahli teori konspirasi tegar percaya bahawa ini hanyalah sebahagian daripada cubaan untuk menutup kisah ini dan terdapat lebih banyak Merman di laut Malaysia.

3. Volkswagen kuning di lebuhraya Karak

volkswagen kuning terowong menora karak

Ini mungkin antara cerita legenda yang paling terkenal di Malaysia, berkenaan dengan kereta Volkswagen kuning di Lebuhraya Karak.

Bagi kebanyakan rakyat Malaysia, Lebuhraya Karak adalah jalan yang paling berhantu di negara kita. Ini sebahagiannya disebabkan oleh jalan ini mempunyai kadar kemalangan yang tertinggi di Malaysia.

Selain dari laporan perasaan yang menakutkan di sepanjang jalan, terdapat beberapa cerita yang lebih kukuh. Dan yang paling popular sudah tentunya Volkswagen Kuning.

Kisahnya menceritakan bahawa jika anda ternampak kereta kuning ini, ia akan menghalang laluan anda. Ia akan mula memperlahankan kelajuan dengan tersangat perlahan, memaksa anda memotongnya.

Sebaik sahaja anda memotongnya, perkara yang sama akan berlaku semula di mana ia akan sekali lagi menghalang laluan anda. Ia berulang-ulang berkali-kali setiap kali anda memotongnya.

Selepas beberapa kali, anda akan menyedari bahawa ia adalah kereta yang sama. Dan apa yang lebih menakutkan adalah tiada siapa yang memandu kereta tersebut.

Satu-satunya cara untuk menghentikan perkara yang sama itu daripada berulang adalah dengan tidak memotongnya. Sesetengah mengatakan apabila anda memotongnya, kereta kuning itu akan memecut dan hilang dalam kegelapan.

2. Hantu Janet Sarawak

kisah hantu janet sarawak

Kisah ini menceritakan tentang seorang jururawat Cina muda di hospital awam Kuching yang bernama Janet. Legenda berkata bahawa dia hilang sekitar tahun 1960-an.

Ini adalah ketika berlakunya "wabak" penculikan di bandar ini. Apa yang pihak polis telah tahu bahawa penculikan itu mungkin dikaitkan dengan pembinaan jambatan Satok.

Jika pembinaan jambatan itu dilambatkan, ia bermakna bahawa roh-roh di kawasan itu berasa tidak senang dan pengorbanan manusia perlu dibuat untuk menenangkan mereka.

Rupa-rupanya, roh-roh jahat ini lebih suka mengorbankan anak dara tetapi hanya menggunakan kepala mereka. Ini bermakna mereka akan dipenggal dan kepala mereka tertanam di tiang-tiang konkrit untuk mengukuhkan jambatan.

Akhirnya, mereka menemui badan Janet tanpa kepala, yang mengesahkan teori polis. Ibu bapa Janet yang tersangat sedih menguburkannya dengan pakaian dan kasut berwarna merah.

Mengikut beberapa sistem kepercayaan Cina, jika seorang wanita mati memakai warna merah, dia akan kembali sebagai semangat yang berdendam.

Mereka mengatakan bahawa ibu bapanya melakukan ini supaya dia dapat kembali dari kematian dan membalas dendam terhadap pembunuhnya. Kemudian, penampakan Janet bermula.

Penduduk kampung di pinggir bandar dilaporkan melihat seorang wanita misteri berpakaian merah di mana dia akan menunggang motosikal atau menyeberang feri.

Dia sering kali meninggalkan nota-nota neraka Cina. Usaha untuk mencari pembunuhnya diteruskan dan dia tidak peduli siapa yang cuba menghalangnya.

Kisah ini diceritakan lebih jelas dalam artikel Kisah Hantu Janet (Sarawak) Yang Terkenal Di Seluruh Dunia.

1. Proton Wira

kisah seram kereta wira atas lebuhraya highway

Pada suatu hari, satu pasangan suami isteri memandu pulang ke kampung halaman mereka selepas menghadiri sebuah majlis perkahwinan. Mereka memutuskan untuk pulang pada lewat malam dan perjalanan tersebut agak lancar pada mulanya.

Namun, ketika di tengah jalan, sesuatu berlaku. Proton Wira yang dinaiki mereka tiba-tiba hilang kawalan dan ketika si suami tersebut bergelut untuk mengawalnya, enjin kereta tersebut tiba-tiba mati.

Si suami tersebut terkejut kerana dia baru sahaja meng-servis kereta itu sehari sebelumnya. Mereka terkandas di tepi jalan, di tengah-tengah malam dan masih jauh daripada destinasi.

Di sekeliling mereka hanyalah hutan dan bukit yang sunyi sepi. Mereka cuba untuk menghidupkan enjin kereta namun tidak berhasil dan berputus asa. 

Mereka cuba untuk menghubungi orang untuk membantu namun juga tidak berhasil. Disebabkan itu, si suami keluar daripada kereta dan mencari telefon kecemasan namun tidak disetujui oleh si isteri kerana bimbang akan dilanggar kereta ketika berjalan dalam gelap.

Namun si suami tetap keluar dan menyuruh si isteri kekal dalam kereta. Si isteri menunggu dengan begitu lama dan tiba-tiba, terdengar bunyi kuat di atas bumbung kereta diikuti dengan aneh.

Si isteri menyangkakan ia hanyalah haiwan liar dan memutuskan untuk tidak keluar memeriksa apa yang berlaku. Kemudian, sebuah kereta melalui kawasan itu dan memperlahankan kelajuan ketika menghampiri kereta mereka.

Namun, kereta tersebut memecut dengan tiba-tiba. Si isteri menunggu lagi dan beberapa kereta melakukan perkara yang sama. Dia mula bimbang tentang bunyi aneh di atas bumbung dan di mana suaminya pada ketika itu.

Akhirnya, sebuah kereta polis menghampiri dan berhenti beberapa meter di belakang. Anggota polis tersebut keluar daripada kereta dan memanggil wanita tersebut menggunakan pembesar suara, meminta dia untuk meninggalkan kereta perlahan-lahan.

Apabila si isteri sampai di kereta polis, dia menoleh ke belakang kerana rasa ingin tahu. Apa yang mengejutkan adalah dia ternampak tubuh suaminya di atas kereta mereka.

Terdapat makhluk jahat yang sedang menjamah suaminya dan ia berlaku beberapa jam yang lalu ketika dia berada dalam kereta. Anggota polis tersebut membawa si isteri pergi dengan cepat dan cerita ini mula tersebar.



Hakcipta iluminasi.com (2017)