ibu vaksin anak

Gambar hiasan

Sistem ketahanan badan yang masih lemah dalam badan bayi membuatkan ia mudah dijangkiti penyakit. Penyuntikan vaksin bertujuan membantu meningkatkan antibodi badan bayi bagi melawan jangkitan. Namun terdapat sesetengah ibu bapa yang enggan memvaksin anak-anak mereka disebabkan beberapa faktor.

iluminasi.com ingin berkongi 10 sebab tipikal ibu bapa tidak mahu memberikan suntikan vaksin kepada anak, dan mengapa mereka harus memvaksin anak-anak.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. "Anak saya sihat, mengapa perlu vaksin?"

Ramai ibu bapa yang salah anggap bahawa vaksin adalah satu rawatan. Ia bukannya merawat, tetapi mencegah! Disebabkan ramai yang mengambil vaksin, bayi di Malaysia kini tidak dijangkiti polio, campak dan batuk yang teruk. 

Pemvaksinan juga memberi perlindungan kepada mereka yang tidak divaksin, namun ia hanya akan terjadi apabila kadar vaksinasi melebihi satu tahap dalam sesebuah populasi.

Namun harus diingat, disebabkan negara kita mempunyai ramai warga asing termasuklah dari negara yang kurang kadar vaksinasi seperti Indonesia, Filipina, India dan Pakistan, ditambah pula dengan pergerakan anti-vaksin di Malaysia, ia menjadikan risiko penyebaran jangkitan meningkat. Ia seterusnya menyebabkan mereka yang tak divaksin berada dalam keadaan bahaya.

2. "Ini anak saya, biarlah saya buat keputusan..."

vaksin 726

Ya betul, memang anak anda dan ia keputusan anda. Namun, disebabkan anda tidak mahu anak anda divaksin, ia meletakkan orang lain di sekitar dalam bahaya. Sebagai contoh mudah, kita lihat vaksin MMR (Campak, Beguk dan Rubella).

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat menanggarkan keberkesanan vaksin MMR adalah 99%. Jika ianya benar, dan kita anggap 100% daripada rakyat Malaysia divaksin, kita akan melihat :

  • 1% daripada populasi masih terdedah kepada campak
  • 1-2% (anggaran kasar) populasi masih terdedah akibat sistem badan menolak vaksin (mereka yang mempunyai alahan atau sistem ketahanan badan yang teruk)
  • 7-8% daripada populasi terdedah kerana belum cukup umur untuk menerima dos penuh vaksin

Dari sini kita dapat melihat walaupun setiap rakyat Malaysia mengambil vaksin, masih terdapat 10% daripada kita terdedah kepada jangkitan. Dan jika ramai yang menolak vaksin, angka ini akan lebih bertambah.

Jadi ia bukan hanya membahayakan individu, tetapi membahayakan seluruh populasi.

3. "Vaksin boleh menyebabkan autisma..."

kanak kanak autisma

Ia adalah satu salah faham. Vaksin tidak menyebabkan autisma. Mereka yang menyokong anti-vaksin memetik nama Andrew Wakefield dalam mengaitkan hubungan antara vaksin dan autisma.

Kaitan yang didakwa oleh Andrew dalam kertas kajiannya menyebabkan panik di kalangan manusia, walaupun ia tidak membuktikan sebab dan akibat. Komuniti saintifik mengenalpasti masalah etika dalam kajian beliau, dan data kajian itu juga tidak dapat diulang.

Antara kriteria penting dalam sesuatu kajian adalah kebolehulangan kajian itu sendiri. Ia membolehkan kajian tersebut dibuat dengan cara dan prosedur yang sama oleh penyelidik lain, dan membandingkan keputusan yang diperoleh.

Maka, penemuan yang dibuat oleh Andrew ditolak. Namun masih ada yang berkata walaupun tiada bukti hubungan vaksin dan autisma, ia tak bermakna vaksin tidak menyebabkan autisma. Jika anda berkata begitu, tak semestinya juga vaksin menyebabkan autisma.

4. "Banyak sangat vaksin dalam masa singkat, takut mengganggu sistem ketahanan badan anak saya..."

Kanak-kanak yang mengambil vaksin secara penuh, yang berusia dua tahun, sistem ketahanan badan mereka mampu melawan 14 jenis penyakit. Ia hampir dua kali ganda mereka yang lahir pada tahun 70an dan 80an yang mana hanya mampu melawan 8 penyakit.

Walaupun kanak-kanak zaman sekarang divaksin lebih kerap daripada terdahulu, namun ia dapat menghalang jangkitan sebanyak hampir dua kali ganda. Yang penting adalah bukan berapa kerap mereka divaksin, tetapi apa kandungan vaksin tersebut.

Antigen adalah komponen bakteria yang meningkatkan sistem ketahanan badan bagi membina antibodi, seterusnya melawan jangkitan pada masa hadapan. Kanak-kanak zaman kini divaksin yang hanya mengandungi sebahagian daripada antigen berbanding kanak-kanak terdahulu.

Menurut Dr. Mark Sawyer, seorang pakar penyakit berjangkit dan profesor di klinik perubatan kanak-kanak Universiti California San Diego, beliau tidak melihat mana-mana kanak-kanak yang dijangkiti penyakit selepas mengambil vaksin ketika berusia 2,4 dan 6 bulan.

"Jika vaksin dengan kerap mengganggu sistem ketahanan badan kanak-kanak, jangkitan pasti akan berlaku, namun ia tidak,"

- Professor Dr. Mark Sawyer, Sekolah Perubatan dan Hospital Kanak-kanak Rady, University California San Diego.

5. "Vaksin tak selamat..."

vaksin lebih selamat daripada kemalangan jalanraya

Tak ada apa yang betul-betul selamat. Memandu di jalan raya tidak 100% selamat, tetapi tak semua orang kemalangan. Jadi jika anda bertanya adakah vaksin agak selamat, jawapannya ya. Agak selamat.

Menggunakan statistik daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat dan vaksin MMR sebagai contoh, 1 daripada 1 juta akan mengalami reaksi alahan, 1 daripada 1 juta akan mengalami gangguan neurologi yang serius dan 1 daripada 1 juta lagi akan menjadi pekak akibat vaksin MMR.

Bagi memudahkan gambarannya, ia lebih selamat daripada memandu di Malaysia. Pada tahun 2016, sebanyak 521,466 kemalangan jalan raya berlaku dan 7,152 kematian dicatatkan, menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS). 

Dianggarkan populasi Malaysia pada tahun 2012 adalah 31.19 juta, kadar kemalangan di Malaysia adalah 16,719 kemalangan bagi 1 juta penduduk, dan 229 kematian bagi setiap 1 juta populasi. 

Menggunakan perbandingan ini, vaksinasi adalah 16,719 kali ganda lebih selamat daripada memandu di Malaysia. Jadi jika anda takut untuk vaksin, jangan keluar memandu, kerana ia lebih berbahaya.

6. "Saya nak tunda vaksinasi kerana sistem ketahanan anak saya masih belum matang..."

Antara salah faham yang paling besar di kalangan ibu bapa masa kini adalah beranggapan melambatkan vaksinasi anak-anak itu adalah lebih baik. Dengan melambatkan vaksin, anda hanya menyebabkan kecenderungan anak untuk dijangkiti penyakit seperti demam campak menjadi lebih panjang. 

Tiada sebarang bukti bahawa melambatkan vaksin adalah lebih selamat. Vaksin yang disyorkan dan dijadualkan, direka untuk memberikan perlindungan yang sehabis baik. Dan dalam kes MMR, dengan hanya melambatkan vaksinasi selama 3 bulan, ia akan meningkatkan risiko demam sawan.

7. "Vaksin mengandungi toksin berbahaya seperti merkuri, aluminium, formaldehid dan tak halal (mengandungi babi)..."

formaldehid

Bahan dalam vaksin kebanyakannya adalah air dengan antigens. Namun ia memerlukan bahan tambahan bagi meningkatkan keberkesanan vaksin itu sendiri. Kebimbangan ibu bapa terhadap merkuri adalah kerana sesetengah vaksin pernah mengandungi pengawet thimerosal yang mengandungi ethylmercury.

Namun thimerosal kini tidak lagi digunakan dalam vaksin bayi sejak tahun 2001 sebagai langkah berjaga-jaga. Terdapat penggunaan formaldehid yang berfungsi untuk menyahkan potensi pencemaran. Namun ia beratus-ratus kali rendah daripada kandugan formaldehid yang didapati dalam sumber lain seperti buah-buahan dan bahan penebat. Badan kita juga menghasilkan formaldehid, yang ada dalam vaksin.

Terdapat penggunaan garam aluminium dalam vaksin untuk meningkatkan respons sistem imun, merangsang penghasilan antibody yang lebih dan membuatkan vaksin lebih berkesan. Ia boleh menyebabkan kemerahan atau bengkak di tempat yang disuntik namun kandungannya yang rendah (lebih rendah daripada jumlah kanak-kanak terim dari susu ibu, susu formula dan sumber lain), tidak menyebabkan kesan jangka masa panjang. Ia telah digunakan dalam sesetengah vaksin sejak 1930.

"Ia terdapat dalam tanah, dalam air dan udara. Jika anda tak mahu terdedah kepada bahan ini, anda harus pindah ke planet lain," kata DR. Ari Brown, doktor pediatrik.

8. "Vaksin tak berkesan, masih dijangkiti penyakit..."

Sebahagian besar, antara 85% hingga 95% vaksin berkesan, bergantung kepada jenis vaksin yang diambil. Pakar penyakit berjangkit daripada seluruh dunia akan bertemu, berbincang dan meramalkan bakteria apa yang akan tersebar ketika musim selesema setiap tahun.

Walaupun tidak dapat mencegah 100%, namun vaksin membantu mengurangkan kematian yang tidak sepatutnya berlaku, mengurangkan kanak-kanak dimasukkan ke hospital, dan kecacatan.

9. "Vaksin dibuat hanya untuk syarikat ubat-ubatan dan doktor mengaut keuntungan..."

syarikat farmaseutikal

Memang syarikat farmaseutikal akan mendapat keuntungan daripada penghasilan vaksin, sama seperti syarikat pengeluar alat ganti telefon membuat keuntungan. Namun, ia bukanlah ubat yang memberi keuntungan yang melampau-lampau. Syarikat-syarikat farmaseutikal ini tidak mendapat bantuan daripada kerajaan, dan mengeluarkan moda sendiri untuk mengkaji dan menyelidik berkenaan penghasilan vaksin.

Menurut doktor pediatrik di Blank Children's Hospital, Dr. Nanthan Boonstra, kebanyakan pengamal perubatan tidak mendapat keuntungan daripada vaksin. Kadang-kadang, sesetengah daripada mereka mendapati bahawa ia terlalu mahal untuk dibeli, disimpan dan divaksinkan, membuatkan mereka mencadangkan pesakit untuk pergi ke hospital kerajaan.

10. "Kesan sampingan vaksin seolah-olah lebih teruk daripada penyakit itu sendiri..."

Vaksin bukan boleh sewenang-wenangnya dihasilkan. Di antara 10 hingga 15 tahun diperlukan dan pelbagai kajian dilakukan untuk vaksin baru melepasi 4 fasa ujian "keselamatan dan keberkesanan", sebelum ia diluluskan.

Vaksin yang akan digunakan terhadap kanak-kanak terlebih dahulu diuji pada orang dewasa, dan kemudian baru pada kanak-kanak. Formulasinya perlu melalui proses yang sama. 

Data-data tersebut kemudian diteliti untuk memastikan vaksin tersebut melakukan seperti apa yang didakwa pengeluarnya, dan memastikan ianya selamat. Dan daripada situlah agensi seperti Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) dan lain-lain akan membuat keputusan sama ada perlu disyorkan atau tidak.

Menurut Dr. Halsey, tiada syarikat atau agensi yang akan melaburkan wang kepada vaksin yang menyebabkan masalah kesihatan yang lebih buruk daripada apa yang patut dicegahnya.

Seperti demam campak, sebanyak 100 hingga 150 kematian berlaku dalam kalangan kanak-kanak setiap tahun di Amerika Syarikat sahaja, sebelum vaksin varicella diperkenalkan pada tahun 1995. Hampir kesemua kanak-kanak tersebut mempunyai masalah sistem ketahanan badan. Terdapat pendapat daripada ibu bapa mengatakan pemakanan yang baik membantu kanak-kanak melawan jangkitan ini, namun 80% daripada kematian yang berlaku disebabkan demam campak melibatkan kanak-kanak yang sihat.

Wallahualam.

Rujukan:

1. JKJR

2. World Health Organization

3. MMGazette

4. Parents

5. Centers for Disease Control and Prevention (CDC)




Hakcipta iluminasi.com (2017)