Dalam sejarah, burung dodo adalah antara burung yang ikonik kerana rupanya yang unik. Namun, agak malang sebenarnya tidak ada seorang pun pembaca Iluminasi yang berkesempatan melihat burung ini di dunia sebenar memandangkan burung dodo sudahpun pupus lama daripada muka bumi.
Setelah burung yang tidak berbahaya ini pupus beberapa abad yang lalu, kita sekarang hanya mempunyai gambaran sejarah, ilustrasi, dan beberapa spesimen kerangka yang disimpan di muzium. Dalam artikel ini, kami akan berkongsi beberapa fakta menarik mengenai burung ini dan paling penting, faktor kepupusannya!
BESARKAN TEKS A- A+
Asal nama "dodo" sering diperdebatkan. Ada yang percaya ia berasal dari perkataan Dutch "dodaars" yang bererti ekor yang keras sementara ada yang mendakwa ia berasal dari perkataan Portugis "doido" yang bermaksud "seperti orang bodoh".
Subfosil yang disimpan menunjukkan bahawa dodo mungkin mempunyai tinggi kira-kira 1 meter dan mungkin beratnya sekitar 10.6 – 17.5 kg bagi yang hidup liar. Gambaran bentuk dodo dalam kehidupan hanya dapat dibuktikan dengan lukisan dan catatan bertulis dari abad ke-17.
Penampakan terakhir burung dodo yang disahkan berlaku pada tahun 1660-an. Sejak itu, burung dodo itu hilang selama-lamanya dalam lipatan sejarah.
Endemik di Maurutius
Satu perkara yang menarik mengenai burung yang tidak boleh terbang ini adalah ia ada haiwan yang endemik. Ini bermakna, Dodo atau nama saintifiknya Raphus Cucullatus adalah burung yang hanya boleh ditemui di pulau Mauritius sahaja satu ketika dahulu.
Dodo sejak sekian lamanya dianggap haiwan yang berisi, sesuai dengan keadaan ekosistemnya. Burung ini digambarkan berwarna kelabu kecoklatan, mempunyai kaki kuning, ekor dengan segumpal bulu, kepala berwarna kelabu dengan paruh hitam, kuning dan hijau.
Makanan mereka dikaitkan dengan pohon tambalcoque atau dalam kalangan orang setempatan disebut pohon dodo. Ahli biologi percaya bahawa Dodo memakan pokok tambalacoque serta kacang, buah, akar dan serangga kecil.
Burung Dodo dianggap bernasib baik kerana tidak mempunyai pemangsa semula jadi. Beberapa ahli biologi berpendapat bahawa burung ini kehilangan keupayaan untuk terbang kerana ketiadaan pemangsa. Mengadaptasi kehidupan tanpa keperluan untuk terbang menyebabkan perubahan anatomi burung ini dimana sayap mereka menjadi lebih kecil dan ekornya menjadi keras.
Akibat ketiadaan pemangsa ini, burung dodo meletakkan telur mereka di tanah, yang kemudian menimbulkan ancaman bagi telur yang belum menetas ini apabila manusia dan binatang peliharaan mereka tiba di pulau ini.
Penemuan burung dodo
Seperti yang kami beritahu di awal artikel ini, burung Dodo merupakan haiwan endemik. Ini bermakna, ia hanya boleh ditemui di kawasan pulau Mauritius sahaja. Bilakah kali pertama manusia menemui spesis ini?
Banyak teks sejarah menunjukkan bahawa penjelajah Arab mengunjungi pulau Mauritius sebelum abad ke-16, tetapi mereka tidak melihat kelibat burung dodo atau mungkin tidak mengetahui akan kewujudannya di pulau itu.
Catatan mengenai burung dodo pertama kali dirakam oleh pelaut Belanda melalui Syarikat India Timur Belanda yang datang ke situ pada tahun 1598. Ilustrasi lukisan burung ini pula hadir beberapa tahun kemudian. Kali terakhir burung ini dilihat hidup liar adalah pada tahun 1660-an.
Kepupusan burung dodo
Amat malang buat burung ini kerana ianya pupus pada zaman yang "salah". Pelik bunyinya bukan? Pada abad ke 17, para saintis di barat tidak mengetahui spesimen burung dodo yang dimiliki mereka sangat bernilai pada masa hadapan. Kebanyakan daripada mereka tidak memelihara spesimen burung dodo, malah ada yang membuangnya kerana beranggapan tidak mungkin haiwan akan pupus.
Ya, kepupusan burung ini berlaku lama sebelum para saintis bersedia menerima konsep bahawa sejenis haiwan boleh pupus buat selama-lamanya dari muka bumi. Mereka berpendapat, mana mungkin Tuhan yang berkuasa akan melenyapkan sesuatu ciptaannya seeperti burung dodo?
Faktor kepupusan burung ini juga diperdebatkan. Namun, terdapat 3 teori paling dekat yang menjelaskan bagaimana haiwan ini boleh pupus.
1. Ketibaan Manusia - Sebelum kewujudan manusia, burung dodo hidup bebas kerana tiada pemangsa baginya dalam rantaian makanan. Pemburuan burung dodo oleh pelaut yang datang ke sini dipercayai antara penyebab kepupusan haiwan ini.
2. Kewujudan haiwan dari luar - Kebiasaannyn pelaut barat yang datang ke sini turut membawa bersama haiwan sama ada untuk ternakan atau peliharaan antaranya tikus, kucing, anjing dan khinzir. Keadaan ini akan menggaggu gugat ekosistem dan rantaian makanan sedia ada. Sejak sekian lamanya burung ini hanya meletakkan telur mereka di atas tanah. Kewujudan haiwan dari luar yang dianggap perosak ini mungkin menjadikan telur itu sebagai makanan, seterusnya mengurangkan populasi haiwan ini.
3. Kehilangan tempat tinggal - Semakin ramai manusia yang datang ke sini, semakin banyak kawasan hutan diterokai yang turut memusnahkan habitat semulajadi haiwan ini.
Pada masa kini, antar spesimen dari dodo yang masih wujud adalah kepala dan kakinya di Oxford, kaki di Muzium British, kepala di Copenhagen, dan kerangka (kurang lengkap) di pelbagai muzium Eropah, Amerika Syarikat, dan Mauritius.
Kredit: