Dilahirkan sebagai Giovanni Maria Versace pada 2 December 1946, dia adalah seorang pereka fesyen Itali dan merupakan pengasas kepada jenama terkenal dunia iaitu Versace. Syarikatnya merupakan pengeluar fesyen antarabangsa yang menghasilkan aksesori, minyak wangi, alat solek, perabot rumah dan pakaian.
Pada tahun 1997, Gianni Versace yang berumur 50 tahun ketika itu sememangnya diketahui sebagai seorang yang mesra serta mempunyai rakan ternama seperti mendiang Puteri Diana, Madonna, Elton John, Naomi Campbell dan ramai lagi.
BESARKAN TEKS A- A+
Dia dan pasangan yang bersama dengannya selama 15 tahun iaitu Antonio D'Amico sering menghadiri pesta dan keraian antarabangsa. Beberapa hari selepas menghadiri pertunjukan koleksi fesyennya di Paris, Gianni dan pasangannya telah pulang ke rumah agam mereka di Pantai Miami.
Biasanya, Gianni akan menyuruh pembantunya untuk keluar membeli kopi dan akhbar. Akan tetapi, pada tanggal 15 Julai 1997 dia telah mengubah sedikit rutin hariannya itu. Mungkin kerana ingin menikmati udara segar dan cahaya matahari Florida, dia memutuskan untuk keluar berjalan kaki ke kafe berdekatan.
Setelah selesai membeli segala keperluannya, Gianni pulang berjalan kaki ke rumahnya semula. Ketika sedang membuka pagar rumahnya, seorang lelaki muda yang memakai baju kelabu, berseluar pendek hitam dan bertopi putih telah menghampiri pereka fesyen itu dan menembaknya sebanyak dua kali di kepala.
Pasangannya D'Amico yang berada di dalam rumah ketika itu terdengar bunyi tembakan. Dia kemudian berlari keluar dan mendapati Gianni terbaring berlumuran darah di tangga pintu pagarnya. Jantungnya seakan berhenti berdegup ketika itu.
Spekulasi awal yang berlegar mengenai pembunuhan Gianni Versace itu adalah ia dilakukan seperti gaya pembunuhan mafia. Ketua Polis Pantai Miami, Richard Barreto memberitahu The Guardian bahawa dia percaya Gianni telah menjadi sasaran pembunuh tetapi enggan mengesahkan tentang khabar angin bahawa ada orang yang telah mengupah pembunuh upahan untuk menembak Gianni.
Rakan-rakan dan pereka fesyen antarabangsa lain sangat terkejut mendengar berita itu. Salah seorang pereka fesyen terkenal iaitu Giorgio Armani berkata, dia mengutuk sekeras-kerasnya keganasan dan kekejaman pembunuhan yang dilakukan terhadap Gianni itu.
Penyanyi terkenal Elton John pula memberitahu bahawa dia telah berhubung dengan Gianni sebelum kejadian itu untuk merancang percutian mereka bersama-sama. Elton John juga mendakwa dia begitu rapat dengan Gianni sehingga sebahagian hidupnya "mati" apabila menerima berita kematian pereka fesyen itu.
Elton John dan Gianni Versace
Abang kepada Gianni iaitu Santo Versace dan adiknya Donatella Versace terbang dari Itali sebaik sahaja menerima berita menyedihkan itu. Donatella akhirnya mengambil alih jenama fesyen Versace yang terkenal itu.
Donatella berkata, ketika dia mengambil alih perniagaan abangnya itu, seluruh dunia memandangnya dan menganggap bahawa dia tidak akan berjaya seperti abangnya. Dia juga berfikiran sebegitu kerana terlalu sedih dengan kematian yang menimpa abang kesayangannya itu.
Salah sebuah kamera litar tertutup telah berjaya merakam kejadian tembakan itu dan salah seorang saksi di tempat kejadian telah mengekori suspek sehingga ke sebuah garaj berhampiran. Di garaj itu, pihak polis telah menemui pakaian yang telah digunakan suspek semasa kejadian tembakan itu.
Trak yang digunakan Andrew Cunanan
Polis juga telah menjumpai sebuah trak pikap berwarna merah yang dilaporkan dicuri dari New Jersey. Di dalam trak itu, polis menemui pengenalan diri yang mempunyai nama suspek, Andrew Cunanan. Seperti kebanyakan sociopath, Cunanan sengaja meninggalkan identitinya kerana mahu menjadi terkenal dan gilakan perhatian.
Rupa-rupanya, Cunanan yang berusia 27 tahun ketika itu adalah salah seorang yang berada dalam senarai 10 Penjenayah Paling Dikehendaki oleh FBI. Gianni Versace adalah mangsa bunuhnya yang kelima di seluruh negara. Kini pihak polis sedang giat memburunya.
Cunanan yang dibesarkan di California itu sebenarnya adalah seorang budak lelaki Katolik yang berpewatakan menarik, cerdas dan cergas. Semasa berada di sekolah menengah, dia mengaku bahawa dirinya adalah seorang homoseksual. Dia mempunyai citarasa yang tinggi dan mengimpikan kehidupan yang kaya dan terkenal.
Andrew Cunanan
Setelah tercicir dari kolej, dia mula mencari sugar daddy dan dikatakan telah menjual dadah pada masa yang sama. Dua mangsa terawal Cunanan adalah lelaki muda yang mempunyai hubungan intim dengannya. Cunanan menyatakan salah seorang daripadanya adalah "teman baiknya" manakala seorang lagi merupakan bekas kekasihnya.
Mangsa ketiganya pula adalah seorang ejen hartanah yang agak tua tetapi kaya. Cunanan telah menyeksa lelaki itu sebelum membunuhnya. Manakala mangsa keempatnya pula adalah seorang penjaga tanah perkuburan Kristian di New Jersey. Lelaki itu dibunuh kerana Cunanan ingin mencuri trak merah Ford keluaran 1995 miliknya, untuk dipandunya ke Florida bagi membunuh Gianni Versace.
Cunanan begitu taksub dengan Gianni malah mendakwa mengenali pereka fesyen itu. Dia telah menetap di sebuah motel yang terletak 6 km dari rumah agam Gianni selama dua bulan sebelum pembunuhan itu.
Andrew Cunanan ditemui mati akibat bunuh diri
Pihak polis mengambil masa selama 8 hari untuk menemui Cunanan. Akan tetapi, suspek kejadian bunuh Gianni Versace itu telahpun mati ketika ditemui. Selepas menembak Gianni, Cunanan telah bersembunyi di sebuah rumah bot milik seorang ahli perniagaan di pelabuhan kapal.
Seorang penjaga yang memeriksa pelabuhan itu telah terdengar bunyi tembakan di salah sebuah bot dan menghubungi pihak polis sejurus selepas itu. Pasukan SWAT tiba di tempat kejadian dan melemparkan gas pemedih mata ke atas bot yang disyaki menjadi tempat persembunyian Cunanan.
Apabila mereka menyerbu bot itu, Cunanan telahpun ditemui mati dengan kesan tembakan pada mukanya. Pihak berkuasa percaya Cunanan telah membunuh dirinya sendiri.
American Crime Story Musim 2
Dalam satu siri televisyen American Crime Story musim kedua arahan Ryan Murphy, Edgar Ramirez telah melakonkan watak Gianni Versace, Darren Criss sebagai Andrew Cunanan, Penelope Cruz sebagai Donatella Versace dan Ricky Martin sebagai Antonio D'Amico.
Walau bagaimanapun, keluarga Versace tidak pernah memberi kebenaran atau terlibat dalam rancangan televisyen yang menceritakan tentang pembunuhan Gianni Versace itu. Oleh itu, rancangan TV itu hanya boleh dianggap sebagai karya fiksyen.
Ini bukanlah kali pertama keluarga Versace membantah adaptasi kisah Gianni ke dalam filem atau dokumentari. Sebelum ini, mereka pernah membantah filem House of Versace yang diterbitkan pada 2013, begitu juga dengan buku yang menjadi inspirasi filem itu yang ditulis dan diterbitkan pada tahun 2010 oleh Deborah Ball.
Donatella Versace
Donatella Versace telah bercakap dengan Penelope Cruz yang memainkan wataknya di dalam siri American Crime Story musim kedua. Mereka berdua adalah sahabat dan Penelope berjanji akan melakonkan watak itu sebaik-baiknya tetapi Donatella tetap tidak akan menonton rancangan itu kerana ia dihasilkan berdasarkan sebuah buku yang penuh kepalsuan.
Manakala bagi Penelope pula, dia berharap Donatella akan menimbang semula keputusannya itu. Dia berharap Donatella akan gembira setelah menonton siri TV yang dilakonkannya itu. Namun, Penelope tetap menghormati apa jua keputusan Donatella.
Rujukan:
1. Independent
2. The Sun
3. Express