Sekiranya anda seorang pemain permainan video tegar, anda pastinya pernah bermain permainan video Super Mario. Dilancarkan pada tahun 1985, permainan ini sangat popular satu ketika dahulu.

Malah, pengaruh Super Mario masih belum lagi lenyap pada masa kini. Pada 11 Januari 2019 yang lalu, permainan video Super Mario Bros. U pula telah dijual dimana versi terbaru ini memfokuskan kepada platform Wii U dan Nintendo Switch.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sejak pertama kali dilancarkan, terdapat beberapa siri permainan ini antaranya Super Mario Bros, Super Mario Land, Super Mario World dan banyak lagi. Sehingga September 2015, jumlah keseluruhan bagi kesemua siri permainan video Super Mario yang sudah terjual adalah sebanyak 310 juta unit, menjadikannya permainan video terbaik sepanjang zaman.

Walau bagaimanapun, tahukah anda kisah disebalik penciptaan watak Super Mario itu sendiri?

Pengalaman melawan ketakutan

lukisan gua

Bagi yang tidak tahu, watak Super Mario telah dicipta oleh Shigeru Miyamoto. Beliau bukanlah berasal daripada keluarga yang kaya malah keluarganya juga tidak mampu membelikannya permainan  ketika beliau masih kanak-kanak. Jadi, kebanyakan masanya diluangkan bermain di luar rumah.

Pada suatu hari ketika meneroka kawasan tempat tinggalnya, beliau telah menemui satu gua yang dalam. Pada mulanya beliau sangat takut untuk memasukinya kerana keadaan gua tersebut yang sangat gelap.

Kerana keinginan untuk tahu keadaan di dalam gua tersebut yang membuak-buak, beliau akhirnya nekad untuk memasukinya bersama-sama sebuah lampu minyak tanah. Walaupun takut pada mulanya, beliau telah memberanikan diri dan mula menikmati keseronokan pengembaraan tersebut.

Sekiranya anda perasan, pengembaraan di gua inilah yang memberi inspirasi di dalam permainan video Super Mario dimana watak Super Mario akan masuk ke dalam lubang bawah tanah. Malah, pengembaraannya di dalam gua ini turut memberi inspirasi kepada penciptaan permainan video The Legend of Zelda. 

Kecintaan terhadap manga dan filem animasi Jepun

lukisan super mario

Ketika kecil, keluarganya juga tidak memiliki televisyen. Jadi, beliau terpaksa menaiki pengangkutan awam kereta api untuk menonton filem animasi di pawagam. Lama-kelamaan, beliau mula jatuh cinta dengan filem animasi dan mula membayangkan dirinya bakal menjadi seorang pelukis manga terkenal suatu hari ini.

Walau bagaimanapun, beliau tidak mahu menjadi pelukis manga biasanya. Sebaliknya beliau mahu mencipta watak hero manga yang sangat terkenal. Tidak lama kemudian, beliau berjaya mendapat pekerjaan di syarikat Nintendo. Peluang ini telah digunakan sebaiknya oleh beliau.

Kejatuhan Nintendo dan inspirasi watak Mario

donkey kong

Pada ketika itu, permainan video "Radar Scope" yang diterbitkan oleh pihak Nintendo untuk peminat di Amerika Utara tidak mendapat sambutan seperti yang diharapkan. Keadaan ini menyebabkan Nintendo mengalami masalah kewangan sehingga tidak mampu untuk membayar sewa bulanan pejabat mereka.

Pihak Nintendo telah mengarahkan Shigeru Miyamoto untuk melakukan penambahbaikan terhadap permainan "Radar Scope". Walau bagaimanapun, beliau enggan melakukannya kerana tidak mahu menyambung permainan video tersebut yang asalnya dicipta oleh orang lain.

Menurut Shigeru Miyamoto, beliau mahu mencipta permainan videonya yang tersendiri. Ketika mana pembangun permainan video pada ketika itu berlumba-lumba menghasilkan permainan video dengan teknologi terbaru, beliau sebaliknya mahu menghasilkan permainan video yang seronok untuk dimainkan.

Lalu terhasilkan permainan video "Donkey Kong". Mesin arked "Donkey Kong" telah diletakkan di sebuah bar. Mesin arked tersebut telah menjadi kegilaan pengunjung disitu. Ini membolehkan pihak Nintendo mendapat wang yang cukup untuk membayar duit sewa pejabat mereka kepada pemilik bangunan tersebut iaitu Mario Segale.

shigeru miyamoto

Kejayaan mesin arked Donkey Kong ini bukan sahaja membolehkah syarikat Nintendo terus hidup, malah memberi inspirasi kepada penciptaan watak baru bernama Super Mario. Benar, nama Mario ini diambil daripada nama pemilik bangunan yang disewa oleh pihak Nintendo.

Ketika bekerja di syarikat Nintendo juga, Shigeru Miyamoto telah bercinta dengan setiausaha Nintendo, Yasuko. Walaupun Yasuko sangat tidak menggemari permainan video, mereka berdua akhirnya berkahwin.

Setelah berkahwin, Shigeru Miyamoto mempunyai misi peribadinya mahu membangunkan permainan video yang digemari oleh isterinya. Baginya, sekiranya permainan video yang diciptanya disukai oleh isterinya (yang tidak menggemari permainan video), sudah tentu ramai orang lain yang yang turut berminat dengan permainan video ciptaanya.

Dalam erti kata lain, penciptaan permainan video Super Mario adalah dedikasi cintanya pada isterinya. Ternyata penat lelahnya sebelum itu berhasil apabila permainan video Super Mario terus diminati ramai sejak dahulu hingga kini.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. Make Use Of
  3. IGN
  4. Kotaku



Hakcipta iluminasi.com (2017)