Sekiranya anda seorang umat Islam, sudah tentulah anda pernah mendengar kisah-kisah bagaimana Nabi Muhammad SAW melayan isteri Baginda dengan penuh kasih sayang, kelembutan dan belas kasihan kerana sifat-sifat itulah akan melambangkan keperibadian seorang Muslim yang sejati. Baginda tidak pernah berkasar, apatah lagi mengherdik mana-mana isteri Baginda dengan panggilan yang tidak enak. 

Amat besar sebenarnya tanggungjawab dan peranan seorang lelaki yang telah memilih untuk menjadi suami, pemimpin dan ketua keluarga. Selain daripada mencari nafkah, seorang suami dituntut untuk memberi pendidikan, membimbing, melindungi dan melayani pasangan dengan baik. Jika salah satu keperluan ini diabaikan, institusi rumah tangga akan menjadi goyah dan akhirnya boleh menuju kepada perceraian yang sangat dibenci Allah SWT.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Walaupun terdapat ramai suami yang gagal mencontohi kebaikan dan akhlak Rasulullah SAW, ada juga suami yang sanggup melakukan pelbagai perkara ekstrem semata-mata untuk berbuat baik dengan isteri mereka:

1.  John Shepherd-Barron

Beberapa dekad yang lalu, John Shepherd-Barron telah terfikir untuk mencipta sebuah mesin yang boleh mengeluarkan wang. Akhirnya, beliau telah berjaya mencipta mesin juruwang automatik (ATM) yang pertama dalam dunia.

Pada mulanya, John yang merupakan seorang bekas tentera memilih PIN dengan 6 digit kerana mengikut nombor pengenalan tenteranya. Walau bagaimanapun, setelah berbincang dengan isterinya, beliau telah menggunakan PIN 4 digit sahaja yang kini menjadi kegunaan standard seluruh dunia. Menurut isterinya, dia hanya mampu mengingati nombor sebanyak empat digit sahaja, tidak lebih daripada itu.

Dan John terus menggunakan idea tersebut untuk diguna pakai pada hampir kesemua mesin ATM yang dicipta. 

2. Mike Watts

Apabila jalan berhampiran rumahnya terkambus akibat tanah runtuh di sebuah perkampungan di Kelston, Mike Watts mendapati perjalanan yang kebiasaannya mengambil masa kurang dari 10 minit menjadi panjang sehingga melebihi 1 jam lamanya.

mike watts membina jalan baru untuk isterinya

Isteri Mike berasa sangat jengkel dengan keadaan ini dan mengadu kepadanya hampir setiap hari. Dia tidak henti-henti membebel dengan menyuruh Mike membaiki jalan itu secepat mungkin. Mungkin para suami 'biasa' yang lain hanya akan mendengar keluhan, bersabar dan menyuruh isteri bersabar sementara menanti keadaan pulih, namun tidak bagi Mike.

Mike sanggup mengeluarkan wang poket sendiri sebanyak £150,000 dan menghabiskan beberapa minggu untuk membina sebuah jalan baru yang akan memendekkan masa perjalanan mereka. Disebabkan Mike seorang lelaki budiman, dia juga telah membuka jalan yang diberi nama "Kelston Toll Road" untuk kegunaan orang ramai dan mengenakan sedikit caj bagi menampung kos yang telah dikeluarkan.

3. Faizul Hassan Quadri

Kita mungkin sedia maklum tentang kisah Shah Jahan yang membina Taj Mahal sebagai tanda cinta kepada isterinya. Namun kisah lelaki yang membina replika Taj Mahal yang lebih kecil ini mungkin lebih menyentuh perasaan.

Faizul Hasan Quadri merupakan seorang pesara kerajaan di India yang telah lama berkahwin dengan isterinya, Tajammuli. Mereka hidup bahagia sepanjang tempoh tersebut namun tidak dikurniakan cahaya mata. Situasi ketiadaan zuriat itu menyedihkan Tajammuli kerana dia merasakan tidak akan ada sesiapa yang akan mengingatinya selepas dia meninggal dunia.

replika taj mahal makam buat isteri tercinta oleh faizul hasan quadri

Faizul yang mendengar rintihan hati isterinya kemudian berjanji akan membina sebuah makam teragung yang akan membuatkan semua orang mengingati Tajammuli.

Akhirnya, Tajammuli meninggal dunia pada tahun 2011. Faizul mula memenuhi janjinya dengan membina sebuah replika mini Taj Mahal di belakang rumahnya. Keseluruhan wang untuk projek ini dikeluarkan sendiri oleh Faizul dan tidak ingin menerima sebarang sumbangan daripada orang lain. Menurut Faizul, dia tidak kisah berapa lama masa yang akan diambil untuk menyiapkan makam itu namun dia akan tetap meneruskannya selagi hayat dikandung badan.

Faizul juga telah membuat ruang yang cukup supaya apabila masanya telah tiba, jasadnya juga dapat disemadikan di sebelah isteri tercinta.

4. Sir Alfred Bird

Para suri rumah mungkin mengenali jenama popular Bird's Custard yang sering digunakan di dapur. Pengasasnya, Sir Alfred Bird merupakan seorang ahli kimia dan suami penyayang pada kurun ke-19.

Walaupun jenama itu menempa nama dan berjaya dijual berjuta-juta unit di seluruh dunia, sebenarnya Bird hanya mencipta kastard tersebut untuk isterinya yang mengalami alahan terhadap telur.

alfred bird mencipta birds custard untuk isteri yang alergik terhadap telur

Sebelum kemunculan kastard ciptaan Bird, bancuhan kastard hanya boleh dibuat menggunakan telur. Isterinya amat teringin memakan cecair kuning itu namun tidak boleh disebabkan alergi yang dialami.

Maka, dengan kepakarannya sebagai seorang ahli kimia, Bird mula mencari resipi baru yang boleh membuat kastard tanpa telur supaya dapat dinikmati oleh isteri tercinta.

Tanpa disangka-sangka, produk ciptaan Bird menjadi popular dan mungkin itu adalah rezeki yang dikurniakan kepadanya kerana berbuat baik dengan isteri.

5. David Stolworthy

Salah satu perkara terbaik yang dirasai oleh para isteri adalah perasaan selamat dan dilindungi oleh suami. Jika ada lipas terbang yang datang, suamilah yang akan menjadi hero dengan membunuh lipas tersebut.

Lain ceritanya dengan David Stolworthy. Isterinya memberitahu yang dia berasa tidak selamat memandu sendirian pada waktu malam. David memahami keadaan itu dan memikirkan cara untuk membuatkan isterinya berasa lebih selamat.

kisah suami teragung david stolworthy membina model clif richard untuk isterinya

Jadi, dia membuat keputusan untuk membina sebuah model penyanyi Cliff Richard bersaiz sebenar menggunakan kusyen dan kayu.

Isterinya amat meminati penyanyi tersebut dan sudah pasti berasa sangat teruja dengan idea David. Selepas itu, isterinya berasa lebih selamat apabila perlu keluar memandu pada waktu malam kerana ada 'lelaki' yang menemaninya.

6. Jon Richards

Tempat beribadat seperti gereja, masjid dan tokong adalah satu tempat yang boleh menjadi agak sesak sambil dikunjungi orang yang mahu berdoa atau pelawat yang ingin melihat sendiri keindahan seni bina di situ.

Namun, pada tahun 2007, isteri Jon Richards mengadu yang gereja di kejiranan mereka sangat sesak dan dia tidak boleh bersendirian untuk bermuhasabah diri.

jon richards membina sebuah gereja untuk isteri tercinta di belakang rumah

Jon yang tidak mempunyai pilihan lain mengambil keputusan untuk membina sebuah gereja untuk kegunaan sendiri. Pasangan itu mula mengumpulkan bahan yang diperlukan dari seluruh United Kingdom dan membina sebuah gereja kecil yang boleh memuatkan 12 orang di laman belakang rumah mereka.

Penduduk tempatan mula mendapat tahu tentang kewujudan gereja mini ini dan mula menawarkan wang kepada pasangan itu untuk mengadakan majlis perkahwinan di gereja tersebut. Walau bagaimanapun, mereka terpaksa menolak idea tersebut kerana gereja itu tidak dibina atas tanah suci dan mungkin juga kerana isterinya tidak mahu bersesak-sesak lagi.

7. Stephen King

Penulis tersohor Stephen King mula dikenali dengan kemunculan novel pertamanya, Carrie. Namun, tidak ramai yang mengetahui kisah permulaan di sebalik penulis yang menjadi 'best-selling author' ini.

Selepas menulis tiga muka surat pertama novel tersebut, Stephen berasa kecewa dengan diri sendiri kerana tidak dapat mengekspresikan penulisannya dari perspektif seorang wanita. Dia telah membuang helaian kertas tersebut ke dalam tong sampah namun isterinya, Tabitha mengutip semula kertas-kertas itu, menghilangkan kesan ronyokan dan meminta Stephen meneruskan ceritanya.

Setiap kali Stephen mengalami kesulitan memahami minda seorang wanita, isterinyalah yang membantu Stephen mencari arah dan mengajarnya bagaimana cara seorang perempuan berfikir.

stephen king mula menulis novel atas dorongan isteri tersayang tabitha king

Semasa menulis, Stephen juga pernah menerima tawaran kerja dengan bayaran lumayan namun isterinya menasihati agar menolak tawaran itu kerana Tabitha tahu ia akan menyekat Stephen daripada membuat sesuatu yang dia sukai.

Setelah berjaya menghabiskan novel berjudul "Carrie" tersebut, Stephen mula menghantarnya ke syarikat-syarikat penerbitan. Stephen mula menerima surat demi surat yang menolak permohonan Stephen. Walau bagaimanapun, Tabitha masih percaya dengan kebolehan suaminya dan tidak henti-henti memberikan dorongan buat Stephen agar tidak berputus asa.

Akhirnya Stephen menemui kejayaan apabila Carrie diterbitkan dan sebanyak lebih 1 juta naskhah terjual dalam tahun pertama. Sudah pasti Stephen amat berterima kasih kepada isteri kesayangan atas semangat dan kepercayaan yang diberikan. Disebabkan itu, dalam setiap naskhah Carrie, Stephen telah membuat satu dedikasi khusus buat isterinya dengan menulis "This is for Tabby."

Awww.. Sweet kan? Sayangi dan hargailah isteri anda sementara mereka masih ada.




Hakcipta iluminasi.com (2017)