Bagi mereka yang mengikuti industri hiburan United Kingdom, nama kumpulan Lostprophet dari Wales mungkin pernah menjadi ikutan anda.

Lostprophets menjadi antara kumpulan rock paling berpengaruh di dunia ketika era kemuncak mereka memenangi pelbagai anugerah, daripada album terbaik sehinggalah bergelar kumpulan terbaik di Britain serta mempunyai kumpulan peminat setia di serata dunia.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada Disember 2012, vokalis kumpulan Lostprophets, Ian Watkins yang merupakan idola kepada ramai peminat muzik mula menghadapi beberapa tuduhan kesalahan seksual melibatkan individu bawah umur tetapi dakwaan ke atas dia, lebih buruk berbanding dakwaan-dakwaan yang biasa kita dengari.

Harus diingatkan, kisah ini sangat tragis dan sangat sukar untuk mempercayai apa yang telah dilakukan Ian.

Ikon Muzik Britain Generasi Baru

ian watkins ketika konsert

Lahir pada 1977, Ian Watkins berasal dari daerah Merthyr Tydfil di Wales.

Dia menyertai beberapa buah kumpulan lain sebelum bersama Lostprophets, mencapai populariti sebagai vokalis utama dan penulis lirik yang dijulang sebagai ikon. Dilabel antara suara generasi baru bagi peminat muzik rock dan metal, bakat Ian memang mengagumkan.

Sentuhannya benar-benar menjadi sehinggakan Lostprophets dinamakan kumpulan Briitsh terbaik dan juga memenangi album terbaik dalam anugerah Kerrang! Awards menerusi album 'Liberation Transmission' pada tahun 2006.

Impak Ian pada industri muzik Britain dari tahun 2002 hingga 2012 benar-benar memukau.

Memikul tanggungjawab untuk terus mengekalkan populariti irama metal, rock dan punk dalam industri muzik Britain, Ian mula hanyut dan berubah semasa Lostprophets berada di kemuncak, selepas kerja keras mereka selama 10 tahun mula menampakkan hasil.

Berdepan tuduhan pedofilia

ian watkins melawat kanak kanak

Pada awalnya desas-desus berkenaan pelbagai tuduhan Ian melakukan salah laku seksual ke atas individu bawah umur, dinafikan kesemuanya.

Namun semasa perbicaraan hampir dimulakan pada November 2013, Ian mengakui kesalahannya akibat tekanan yang dihadapi. Salah satu perkara yang menjijikkan dan diakui sendiri dia - melibatkan pengakuan merogol seorang bayi berusia satu tahun.

Bermula dari pengakuan itu, terbongkarlah pelbagai kisah yang tidak diketahui rakan-rakan kugirannya sendiri  tentang hidup sebenar Ian, yang berjaya disembunyikan selama ini.

Apa yang lebih menakutkan, kegiatan seksual gilanya menggunakan bayi sebagai pemuas nafsu turut melibatkan dua orang wanita lain (yang tidak dinamakan) yang bertindak sebagai peserta.

Hasil serbuan, pihak penguatkuasa berjaya menemui pelbagai bukti dalam bentuk video yang memaparkan aktiviti gila Ian. Hasil pelbagai bukti yang ada, Ian didapati mengalami masalah mental; suka mendera kanak-kanak ataupun bayi secara seksual tanpa ada rasa bersalah.

Banyak bukti juga menunjukkan Ian menggunakan kedudukannya, mensasarkan peminat Lostprophets dari golongan bawah umur sebagai mangsa kerana amat mudah untuk seorang yang diidolakan memujuk gadis belasan tahun menyerahkan tubuh mereka padanya.

Terkuburnya 'Lostprophets'

kumpulan lostprophets

Bagi rakan-rakannya dalam kumpulan Lostprophets, tidak ada seorang pun daripada mereka menyangka perkara itu berlaku apatah lagi tiga daripada mereka mengenali Ian kenal sejak zaman sekolah lagi.

Kesemua anggota Lostprophets terkejut kerana Ian tidak pernah mempunyai masalah mendapatkan wanita sebagai teman tidur. Memang diketahui mempunyai masalah ketagihan dadah jenis kokain dan meth, mereka tidak menyangka sama sekali tahap kerosakan Ian sehingga mencapai tahap pedofilia.

Perkara itu memang sukar hendak diterima mereka, apatah lagi memang ada di antara mereka sendiri yang sudah berkeluarga dan anak-anak mereka kerap bertemu dengan Ian. Menjadi antara watak penting dalam dunia muzik Britain, digilai ramai serta mempunyai wajah tampan, siapa sangka Ian sebenarnya menyimpan rahsia yang amat dahsyat.

Kegagalan bertindak sejak 2008

joanne dan ian watkins

Apa yang menyedihkan, kes Ian sebenarnya telah pun cuba dilaporkan lebih awal oleh bekas teman Ian, wanita bernama Joanne Mjadzelics pada tahun 2008 lagi.

Semasa berkenalan, Ian gemar menceritakan tentang fantasi mengadakan hubungan seks dengan kanak-kanak dan bayi yang dianggap Joanne sebagai cakap kosong Ian ketika khayal dadah.

Joanne mula menemui bukti-bukti seperti video yang menunjukkan perkara yang dikatakan Ian bukan hanya cakap kosong.

Mengugut mahu mendedahkan perkara tersebut, Ian menggunakan khidmat peguam bagi mengugut dan menutup mulut Joanne. Bimbang keselamatan diri serta tak mahu dibebani perbicaraan mahkamah, Joanne yang takut bersetuju untuk diam.

Atas kesedaran diri, Joanne akhirnya bertindak membuat laporan polis beserta dengan sekeping gambar milik Ian yang disimpannya sebagai bukti, memaparkan seorang kanak-kanak berumur 4 tahun dalam keadaan memalukan dirakam oleh Ian sendiri.

Elemen seks, dadah dan senjata tajam dipaparkan dalam gambar tersebut sepatutnya sudah cukup untuk pihak polis membuka siasatan.

Bagaimanapun hasil yang diharapkan tidak berlaku daripada laporan Joanne, tanpa sebarang penjelasan jelas diberikan.

4 bulan selepas Joanne membuat laporan, polis mengumumkan siasatan terhadap Ian dihentikan kerana tidak terdapat sebarang bukti Ian terlibat dalam aktiviti durjana tersebut.

Keinginan seksual yang sangat luar biasa

ian watkins dengan patung bayi

Awal tahun 2009, Ian terus bebas menjelajah dunia bersama kumpulannya, sebelum mereka kembali ke Wales membuat penampilan istimewa menyertai salah satu acara anjuran kerajaan Wales, dalam kempen memelihara alam sekitar.

Melihat Ian yang berubah matang, Joanne menghubungi Ian untuk memohon maaf serta mengakui dia telah membuat kesilapan dalam melakukan laporan polis terhadap Ian, diperkuatkan lagi dengan hasil siasatan polis yang tidak menjumpai sebarang bukti salah laku Ian.

Tidak dipastikan kenapa, Ian mengajak Joanne bertemu di sebuah hotel di Leeds selepas itu. Mungkin khayal barangkali?

Dalam pertemuan mereka, Joanne ditayangkan video seorang kanak-kanak sedang dirogol Ian sendiri menerusi komputer riba. Apa yang menakutkan, Ian pula dilihat tidak takut malah mampu tersenyum melihat reaksi Joanne yang terkejut menonton video tersebut.

Joanne melarikan diri dan berhenti menghubungi Ian selepas kejadian itu.

Ian pula seperti dirasuk, tidak henti-henti menghantar gambar kanak-kanak dalam keadaan memalukan kepada Joanne. Apabila diajukan kenapa bekas teman lelakinya sanggup bertindak demikian, Ian mengakui mempunyai fantasi mahu mempunyai anak bersama Joanne dan itu cara dia menggodanya.

Menjalankan penyiasatan sendiri, Joanne berjaya menghubungi bapa kepada salah seorang kanak-kanak dalam gambar yang dihantar Ian. Bapa tersebut bergegas segera ke pihak polis bagi membuat laporan.

Bagaimanapun pegawai sama yang ditugaskan menyiasat kes Ian Watkins sebelum itu, menasihatkan agar laporan ditarik balik agar tidak mengganggu kerjaya Ian yang memuncak pada ketika itu.

Bagaimana korupsi polis melindungi pedofil

police south wales

Hanya pada tahun 2012, barulah terdedah kenapa sukar benar kes Ian disiasat secara telus.

Pegawai polis yang ditugaskan menyiasat kes Ian bernama Simon Ashmond, juga didapati mempunyai masalah yang sama dengan Ian; berdepan tuduhan jenayah pedofilia.

Hanya selepas pegawai polis tersebut ditahan, barulah kes Ian dapat disiasat semula secara menyeluruh membolehkan Ian ditahan dan mula dibicarakan.

Daripada 25 tuduhan, Ian mengaku salah atas 13 pertuduhan dan salah satunya, adalah kesalahan merogol seorang bayi lelaki berumur 11 bulan, sambil ditemani ibu bayi tersebut sendiri yang sukarela menjadi peserta aktiviti gila itu.

Gila kan?

Bahan bukti yang dipaparkan secara sulit dalam perbicaraan adalah sebuah video berdurasi 17 minit, memaparkan Ian dan wanita tersebut melakukan perbuatan terkutuk terhadap bayi tersebut dalam sebuah hotel di Shepherds Bush, London.

Pihak mahkamah merasakan penerangan tentang apa yang berlaku dalam video tersebut tidak patut didedahkan pada orang awam, kerana kandungannya terlalu grafik.

Hasil perbicaraan serta semua bukti yang ada, mahkamah menjatuhkan hukuman 35 tahun ke atas semua kesalahan yang disabitkan ke atas Ian. Dua lagi wanita yang terlibat menemaninya melakukan jenayah dengan menjaja anak kandung sendiri sebagai mangsa dikenakan penjara 14 tahun dan 17 tahun.

Kedua-dua wanita itu dipercayai terlalu taksub serta mendewakan Ian,sehingga sanggup menyerahkan diri mereka dan anak mereka sendiri sebagai korban.

Hebat sekali kuasa dan pengaruh yang ada pada seorang pemuzik terhadap peminat setianya yang sudah obses.

Tabiat yang sukar untuk disembuhkan

ian watkins 2017

Kisah Ian Watkins belum berakhir walaupun beliau sudah di sebalik tirai besi. Ian menjalani hukuman penjara dan sudah pun berusia lebih 40-an.

Pada 8 Oktober 2017 media Britain melaporkan peminat setia Ian masih lagi datang setia datang melawat, khasnya mereka yang percaya Ian tidak bersalah mendakwa dia menjadi mangsa konspirasi.

Salah seorang wanita tersebut adalah seorang ibu tunggal berusia 21 tahun yang kerap datang melawat dan berutus surat dengan Ian sejak 2016, yang akhirnya diterima Ian. 

Dengan syarat agar wanita tersebut bersetuju menyerahkan anaknya.

Reaksi ibu muda tersebut pula tidak membantu. Dia yang sudah sedia cair dengan Ian, memaksa pihak berkuasa bertindak mengambil alih hak jagaan anak wanita tersebut bagi menyelamatkan kanak-kanak tersebut, daripada obsesi ibunya.

Kehilangan hak penjagaan anak kandung dilihat tidak mematahkan semangat ibu muda tersebut. Dia tetap setia melawat Ian setiap kali dibenarkan.

Atas permintaan Ian, wanita itu kini menyarungkan cincin pertunangan seperti yang diminta, menandakan hubungan cinta mereka berdua telah termaktub.

Sehingga kini, kumpulan peminat setia vokalis kumpulan gergasi ini terus aktif, menulis surat serta menubuhkan kumpulan-kumpulan komuniti dalam media sosial hanya dengan satu tujuan; untuk terus memuja lelaki yang lebih mirip sifatnya dengan syaitan.

Rujukan

Week In Week Out BBC




Hakcipta iluminasi.com (2017)