Pada 9 November 1970, bangkai seekor ikan puas sperma sepanjang 45 kaki dan seberat lapan tan telah ditemui hanyut di Pantai Heceta berhampiran Florence, Oregon, Amerika Syarikat.

Selain risaukan bau busuk yang terhasil, pihak berkuasa tempatan juga bimbang para pengunjung pantai mungkin tercedera sekiranya  memanjat bangkai ikan gergasi itu.

Pihak yang bertanggungjawab menguruskan pantai-pantai di Oregon ketika itu ialah Bahagian Lebuhraya Negeri Oregon (kini Jabatan Pengangkutan Oregon). Mereka telah dipanggil untuk menguruskan mayat ikan paus sperma itu.

BESARKAN TEKS     A-  A+

bangkai paus di oregon 1970

Bangkai paus sperma yang terdampar di pantai Oregon, 1970

Pembantu Jurutera Lebuhraya Daerah, George Thornton, telah dilantik untuk memikirkan rancangan yang sesuai bagi menangani masalah itu. Pada mulanya mereka bercadang untuk memotong dan membakar bangkai ikan paus itu tetapi ia terlalu besar.

Selepas berunding dengan ahli-ahli Tentera Laut Amerika dan pakar letupan, Thornton akhirnya memutuskan untuk meletupkan sahaja bangkai haiwan itu menggunakan dinamit sehingga menjadi ketulan-ketulan kecil.

letupan dinamit yang digunakan

Dinamit yang digunakan untuk meletupkan bangkai ikan paus

Thorton menyangka bahawa kepingan-kepingan kecil bangkai paus itu akan tersebar ke seluruh laut dan pantai yang kemudiannya menjadi makanan semula jadi kepada burung, ikan dan ketam.

Pada 12 November, orang ramai dan pemberita tempatan telah berkumpul di Pantai Heceta sekitar beberapa ratus meter dari bangkai ikan paus itu. Salah seorang daripada penonton yang hadir ialah Kelly Umenhofer yang ketika itu berusia 14 tahun.

pemberita paul linnman membuat liputan untuk katu

Pemberita Paul Linnman membuat liputan untuk KATU

Umenhofer yang begitu teruja berlari ke arah bapanya dan memberitahu bahawa pasukan pengebom akan meletupkan bangkai itu dengan 20 kotak dinamit. Bapa Umenhofer menyangka anaknya mungkin tersalah dengar bahawa mereka sebenarnya mahu menggunakan 20 batang dinamit sahaja.

Namun, Umenhofer sebenarnya tidak tersalah dengar. Apabila Thornton memberikan isyarat, pekerja Bahagian Lebuhraya Negeri meletupkan hampir 500 kg bahan letupan dinamit itu pada bangkai paus.

ikan paus diletupkan di oregon 1970 544

Orang ramai yang menyaksikan kejadian itu terkejut dengan letupan kuat itu, termasuk Umenhofer dan bapanya. Kira-kira 30 saat selepas itu, ketulan bangkai ikan paus yang terpelanting 100 kaki di udara mula jatuh.

Ketulan bangkai itu terbang ke pelbagai arah dan penonton mula berteriak sambil berlari menyelamatkan diri mereka daripada ditimpa "hujan ikan paus" itu. 

bangkai paus terbang ke mereta tempat

Apa yang mengejutkan orang ramai ialah bangkai ikan paus yang diletupkan itu tidak menjadi ketulan kecil tetapi ketulan-ketulan besar yang boleh mendatangkan kecederaan.

Menurut seorang pemberita, Paul Linnman, dari stesen televisyen KATU, dia dan jurukameranya iaitu Doug Brazil terpaksa melarikan diri ketika sedang membuat liputan letupan bangkai paus itu untuk menyelamatkan diri.

Baju mereka dipenuhi dengan hujan seperti minyak yang berbau busuk. Walaupun kejadian itu berlaku hampir 50 tahun yang lalu, Doug masih lagi ingat bau busuk bangkai ikan paus itu.

sebuah kereta rosak teruk akibat hujan paus

Sebuah kereta rosak teruk akibat hujan paus

Walaupun tiada yang cedera akibat ditimpa hujan ikan paus itu tetapi ia mengakibatkan kerosakan yang agak teruk. Salah satu ketulan jatuh betul-betul di atas kereta yang baru dibeli bapa Umenhofer sehingga meranapkan bumbung kenderaan itu. Ketulan bangkai paus yang merosakkan kereta itu dikatakan sebesar sebuah meja kopi.

Umenhofer berkata, pihak penguasa tempatan Oregon telah menggantikan semula kereka bapanya yang rosak itu. Mereka juga belajar satu pelajaran penting daripada kesilapan pada hari itu untuk tidak lagi melupuskan bangkai ikan paus yang terdampar dengan meletupkannya.

ikan paus terdampar di oregon 1979

Sembilan tahun selepas itu pada 1979, Oregon sekali lagi gempar apabila 41 ekor ikan paus sperma berenang naik ke pantai Florence seolah-olah membunuh diri sendiri.

Kali ini, pihak berkuasa tempatan tidak lagi mengulangi kesilapan sama yang mereka lakukan pada 1970. Undang-undang baru di Oregon mengarahkan agar semua bangkai paus yang terdampar di sana dilupuskan dengan cara ditanam dalam pasir.

Walaupun meletupkan ikan paus patut dielakkan tetapi bangkai haiwan itu masih boleh meletup dengan sendirinya. Ini kerana dalam proses penguraian, gas metana dan gas lain-lain akan terkumpul dalam bangkai ikan paus. Ia menambah tekanan dan boleh menyebabkan bangkai itu meletup.

Sebagai contoh, bangkai seekor ikan paus sperma yang ditunda pada tahun 2004 melalui jalan di bandar Tainan, Taiwan, telah meletup dengan sendirinya. Isi perut bangkai paus itu telah menyembur mengenai orang, kereta dan kedai yang berada berhampiran.

Rujukan:

1. Bangkai paus meletup

2. Hujan ikan paus yang melanda Oregon 1970

3. Pengajaran dalam meletupkan bangkai ikan paus




Hakcipta iluminasi.com (2017)