Anda mungkin menyangka pekerja-pekerja 'biasa' seperti setiausaha, guru dan tukang cuci tidak mungkin mampu menyimpan wang yang banyak dengan gaji yang diperolehi. Apatah lagi jika hidup di kota raya dengan kos sara hidup yang tinggi.

Berita mengenai jutawan yang menderma jutaan ringgit untuk kebajikan sudah selalu kita baca. Walau bagaimanapun, tahukah anda, wujud golongan marhaen yang kaya dalam diam dan mampu meninggalkan wasiat serta harta bernilai berjuta ringgit selepas mereka mati?

BESARKAN TEKS     A-  A+

Sepanjang hayat mereka, tiada siapa yang mengetahui jumlah sebenar wang di dalam akaun bank mereka. Dermawan sebegini kebiasaannya mempunyai beberapa ciri yang sama. Kebanyakan mereka tidak mempunyai anak dan tiada pewaris lain. Disebabkan itulah mereka mampu mempunyai simpanan wang yang besar dengan hanya gaji kecil yang diperolehi.

Menurut Stacy Palmer, editor "the Chronicle of Philantrophy," golongan bujang dermawan ini sering memikirkan cara terbaik untuk meninggalkan harta mereka dan warisan bagaimanakah yang ingin ditinggalkan.

1. Sylvia Bloom - Setiausaha

sylvia bloom setiausaha jutawan dalam diam menderma wasiat 310

Setiap kali Jane Lockshin keluar makan tengah hari bersama ibu saudaranya, Sylvia Bloom, dia pasti akan mendesak untuk membayar. Lagipun Jane berasa kasihan dengan ibu saudaranya yang merupakan seorang balu selama lebih 10 tahun dan bekerja sebagai seorang setiausaha di sebuah firma guaman untuk menyara hidup. Pendek kata, Jane tidak mahu menyusahkan Sylvia.

Sylvia yang tinggal di sebuah apartment satu bilik di Brooklyn akan menaiki kereta api bawah tanah ke mana-mana sahaja dia pergi. Dia bekerja sepenuh masa di firma guaman tersebut sehinggalah berusia 96 tahun.

Apabila Sylvia menghembuskan nafasnya yang terakhir pada tahun 2016 ketika berusia 97 tahun, semua orang terkejut apabila mendapat tahu yang dia telah meninggalkan hartanah bernilai jutaan dolar. 

Apa yang lebih mengejutkan, dia meninggalkan wasiat sebanyak 8.2 juta dolar untuk kebajikan. Sebanyak 6 juta dolar disalurkan kepada program pendidikan anjuran Henry Street Settlement, iaitu sebuah organisasi perkhidmatan sosial di New York manakala 2 juta dolar lagi dimasukkan ke tabung-tabung biasiswa pendidikan, termasuklah bekas kolej Sylvia sendiri, Hunter College.

Menurut Jane, mendiang ibu saudaranya memiliki banyak harta dan tiada sesiapapun yang dapat menghidu kekayaannya itu sepanjang hayatnya. Dana pemberian Sylvia kepada Henry Street Settlement itu juga merupakan sumbangan terbesar yang pernah diterima sepanjang 126 tahun penubuhan agensi itu.

2. Leonard Gigowski - Pekedai runcit/penjual daging

leonard gigowski jutawan dermawan dalam diam

Sebagai seorang remaja yang membesar di Milwaukee, Leonard Gigowski menaiki bas pada jam 6:30 pagi setiap hari untuk ke St. Francis Minor Seminary, iaitu sebuah sekolah menengah aliran Katolik (kini dikenali sebagai St. Thomas More High School).

Selepas bertugas sebagai anggota tentera laut, Leonard bekerja sebagai seorang penjual daging dan pekedai runcit. Dia tidak pernah berkahwin namun tidak pernah melupakan sekolah St. Thomas More. Leonard kerap melawat sekolah lamanya dan mempunyai hubungan akrab dengan pihak sekolah serta pelajar di situ. Adakalanya dia akan singgah makan tengah hari bersama pelajar di kafe sekolah.

Pernah suatu ketika, Leonard tiba-tiba bangkit ketika sedang menjamah hidangan sambil menyanyikan sorakan sekolah. Pelajar yang dianggap Leonard sebagai anak-anak sendiri di sekelilingnya terus tersenyum dan ikut serta bersorak bersama-sama.

Semasa ulang tahun kelahiran Leonard yang ke-90 pada tahun 2015, pihak pengurusan sekolah telah mengatur satu kejutan istimewa untuknya. Pelajar-pelajar di situ berkumpul dan menyanyikan lagu "Selamat Hari Jadi" beramai-ramai sebelum Leonard mengetuai bacaan doa. Namun, tiga bulan kemudian seluruh warga sekolah kesedihan apabila Leonard meninggal dunia.

Dalam pada mereka sedang diselubungi kesedihan, mereka juga menerima satu lagi berita yang menggemparkan. Presiden sekolah, Mary McIntosh, hampir terjatuh dari kerusi apabila mendapat tahu Leonard telah meninggalkan sumbangan biasiswa sebanyak $13 juta untuk sekolah itu.

Walaupun dia merupakan seorang jutawan, Leonard sentiasa hidup dengan penuh merendah diri. Rakannya, Larry Haskin, merangkap peguam yang membantu Leonard menubuhkan Yayasan Pendidikan Katolik Leonard Gigowski memberitahu yang Leonard menyimpan wang dengan niat untuk membantu pelajar di St. Thomas More. Dia berasa bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang pada dirinya menerima pendidikan Katolik di situ. Maka, sebagai tanda penghargaan kepada pihak sekolah, dia ingin membantu pula lapisan generasi yang baru.

3. Margaret Southern - Guru

margaret southern guru jutawan dalam diam

Margaret Southern ialah seorang guru pendidikan khas dari Greenville, South Carolina yang meninggal dunia pada tahun 2012 ketika berusia 94 tahun.

Margaret sangat sayangkan kanak-kanak selain merupakan seorang pencinta haiwan. Sebelum dia membenarkan Naib Presiden Pengurusan Kekayaan UBS, Mike Shain, menguruskan pelaburannya, Mike perlu berjanji yang dia akan menjaga Molly, iaitu anjing daschund peliharaan Margaret sekiranya sesuatu terjadi kepada dirinya. 

Namun demikian, Molly menemui ajal terlebih dahulu beberapa tahun sebelum Margaret. Selepas kehilangan Molly, Margaret tetap meneruskan perjuangannya untuk memelihara dan melindungi haiwan, terutama sekali haiwan-haiwan terbiar.

Apabila Margaret meninggal dunia, dia telah meninggalkan separuh daripada hartanya yang bernilai $8.4 juta kepada Persatuan Kemanusiaan Greenville. Apa yang menarik, Margaret tidak pernah berhubungan atau mengenali sesiapapun dari organisasi tersebut.

Separuh lagi hartanya disalurkan kepada Yayasan Komuniti Greenville yang kemudiannya telah membahagikan wang sumbangan itu kepada beberapa organisasi dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak serta pendidikan khas kanak-kanak. Selain itu, Margaret juga ada meninggalkan sebahagian hartanya kepada beberapa orang rakan baik serta ahli keluarga.

Menurut Susan Shi, pengasas dan bekas profesor di Institut Penyelidikan Kejayaan Kanak-kanak yang telah menerima sumbangan sebanyak $25,000, penerimaan dana itu merupakan sesuatu yang mengejutkan daripada seseorang yang tidak disangka-sangka. Walau bagaimanapun, ia amat menggembirakan kerana masih wujud manusia berhati mulia yang benar-benar mengambil berat tentang komuniti dan pendidikan kanak-kanak.

Berita kekayaan Margaret juga mengejutkan hampir semua orang yang mengenalinya. Ini disebabkan dia tinggal di sebuah rumah sederhana dan memandu kereta Cadillac kelabu yang sama sejak tahun 80-an. Harta terkumpul Margaret datang dari beberapa saham yang ditinggalkan mendiang suaminya yang meninggal dunia pada tahun 1983. Tidak pernah berbelanja banyak untuk diri sendiri, dia kemudian menambah sedikit demi sedikit nilai saham tersebut, semata-mata untuk didermakan kepada orang lain.

4. Ronald Read - Tukang Cuci & Atendan Pam Minyak

ronald read tukang cuci jutawan

Ronald Read merupakan seorang atendan pam minyak dan tukang cuci di JCPenney di Brattleboro, Vermont. Setiap hari, dia akan membaca akhbar Wall Street Journal untuk mengikuti perkembangan pelaburannya dalam saham syarikat Ford, IBM, Procter & Gamble dan CVS Health. Semasa meninggal dunia pada tahun 2014 ketika berusia 92 tahun, Ronald meninggalkan harta sebanyak $8 juta.

Walaupun dia sentiasa memantau wang miliknya namun dia sangat jarang berbelanja. Selepas satu mesyuarat bersama peguamnya, Laurie Rowell, Laurie mendesak untuk menemani anak guamnya yang lemah berjalan menuju ke kereta. Mereka berjalan menaiki bukit yang curam melepasi banyak tempat letak kereta yang kosong. Apabila tiba di tepi kereta Toyota Yaris milik Ronald di atas bukit, barulah Laurie sedar mengapa dia memilih untuk parkir di situ - kerana tiada meter tempat letak kereta.

Menurut Laurie, jika anda tidak mengenali Ronald, anda mungkin menyangka yang dia adalah seorang yang tidak berduit. Malah, pada awalnya, Ronald juga tidak mahu Laurie menemaninya ke kereta kerana takut Laurie akan mengenakan caj bagi masa yang digunakan.

Sifat terlalu berjimat Ronald sering disalah anggap sebagai seorang gelandangan yang miskin. Pada suatu pagi, seorang pelanggan yang berbaris di hadapan Ronald untuk membeli kopi terlihat pakaiannya yang lusuh dan koyak. Dia terus membayarkan kopi Ronald kerana menyangka dia tidak mempunyai wang.

Kopi 'percuma' Ronald pada hari itu dan hari-hari lain diperolehi dari Hospital Memorial Brattleboro yang menghidangkan kopi java terbaik di pekan itu. Menurut Laurie, kedai kopi hospital itu amat akrab dan menjaga Ronald dengan baik. Oleh itu, setelah kematian Ronald, pihak pengurusan hospital terkejut apabila mendapat tahu yang Ronald meninggalkan asetnya yang bernilai $5 juta untuk kegunaan hospital.

Anak tiri Ronald, Philip Brown, memberitahu Brattleboro Reformer sememangnya ada beberapa kenalan yang mengetahui tentang pelaburan saham Ronald. Walau bagaimanapun, tiada siapa yang menyangka nilainya adalah sebanyak itu.

5. Kathleen Magowan - Guru

kathleen magowan guru jutawan dalam diam

Bukan semua marhaen dermawan ini menjadi jutawan dengan berjimat dan menyimpan. Kathleen Magowan misalnya, seorang guru dari Simsbury, Connecticut, tidak mengetahui langsung yang dia sebenarnya adalah seorang jutawan sehinggalah sebelum dia meninggal dunia pada tahun 2011 semasa berusia 87 tahun.

Tidak lama sebelum menghembuskan nafas terakhir, dia telah mengunjungi sebuah firma guaman kecil untuk mendapatkan bantuan untuk menguruskan harta yang dimiliki. Apabila ditanya berapakah anggaran nilai aset yang dimiliki, Kathleen menjawab hanya sekitar $40,000. Namun, angka sebenar adalah sekitar $6 juta.

Semasa masih hidup, pasangan kembarnya, Robert Magowan, sentiasa menjaga hal ehwal kewangan mereka berdua sehingga dia meninggal dunia pada tahun 2010.

Mungkin bagi sesetengah orang lain, mereka akan terus berbelanja besar apabila tiba-tiba menjadi jutawan dalam sekelip mata. Namun, Kathleen lebih mementingkan amal kebajikan. Dia telah mewasiatkan sehingga 5 juta dolar kepada 15 organisasi, termasuklah pemberian hadiah-hadiah lain untuk ahli keluarga dan jiran tetangga. Selain itu, sebanyak setengah juta dolar dibahagikan dan disalurkan kepada bekas kolejnya, University of St. Joseph di West Hartford, rumah penjagaan McLean di mana Kathleen menghabiskan hari-hari terakhirnya dan juga sekolah awam Simsbury iaitu tempat dia mengajar selama 35 tahun.

Menurut Deene Morris, bekas pengarah penubuhan tabung McLean, Kathleen diingati sebagai seorang guru yang mempunyai sepasang mata yang bersinar-sinar. Dia gemar berbual-bual dengan pelbagai lapisan masyarakat dan semua orang sayangkan Kathleen.




Hakcipta iluminasi.com (2017)