iluminasi bliss windows xp jurufoto windows komputer

Bagi mereka yang pernah merasa zaman di mana Windows XP popular satu masa dulu, bermula sekitar tahun 2001 ke atas, pasti anda akan teruja melihat keindahan penghias skrin anda ketika pertama kali Windows XP dimulakan.

Gambar bukit menghijau dengan awan yang cantik, gambar tersebut kelihatan seperti gambar yang direka menggunakan perisian komputer untuk mencipta satu imej yang tidak seperti apa yang biasa kelihatan di sekeliling kita.

iluminasi bliss windows xp jurufoto windows komputer2

Walaupun begitu, ditegaskan di sini, gambar tersebut adalah gambar yang asli diambil tanpa sebarang pengubahsuaian dilakukan, kecuali pihak Microsoft menghijaukan sedikit bahagian bukit. Memang lokasi tersebut ketika gambar itu diambil rupanya seperti itu.

Pada tahun 1996, Charles O'Rear, bekas jurugambar kepada National Geographic sedang dalam perjalanan pulang ke rumahnya di California. Oleh kerana cuaca pada ketika itu baharu saja berlakunya hujan lebat, suasana pada ketika itu sangat segar kerana hujan yang turun membuatkan segala-galanya nampak lebih hijau. Sedang melalui State Route 12 iaitu nama lebuhraya bagi daedah Sonoma, O'Rear ternampak pemandangan yang sangat indah.

"Wow! Tuhanku! Rumputnya sempurna sekali. Hijau! Matahari pula baru hendak terbit. Ada awan!" fikir beliau.

Menggunakan peralatan kamera professional berformat sederhana Mamiya RZ67 yang dipegang dengan tripod dan masih lagi menggunakan filem berjenama Fujifilm Velvia yang digemari oleh jurufoto kerana kekuatan warnanya, O'Rear pun mengambil empat gambar pada ketika itu.

O'Rear pun memuatnaik gambar terbaik dari empat gambar yang ditangkap ke laman web Corbis untuk dijual lesen penggunaannya. 5 tahun kemudian, pada tahun 2000, pihak Microsoft menghubungi O'Rear dan menyatakan minat untuk membeli terus hakcipta gambar tersebut dari O'Rear dengan tujuan untuk menjadikannya sebagai penghias skrin utama Windows XP.

Bayaran yang diterima pula? O'Rear tidak dapat mendedahkan angka sebenar tetapi dia mengesahkan bayaran enam angka diterima, menjadikan gambar tersebut sebagai bayaran gambar kedua paling mahal diterima oleh seorang jurufoto untuk sebuah gambar.

Walaupun besar bayaran yang diterima O'Rear, beliau mengakui sedikit menyesal hanya meminta bayaran secara tunai untuk hakcipta sedangkan beliau boleh memilih untuk dibayar royalti yang sebenarnya mampu memberikan pulangan lebih baik untuk beliau, walaupun hanya beberapa sen untuk setiap pemasangan Windows XP. Dianggarkan jika beliau meminta bayaran secara royalti, dengan anggaran 10 billion kali penggunaan penghias skrin itu, beliau mampu memperoleh lebih 10 juta US Dollar.

iluminasi bliss windows xp jurufoto windows komputer4

Apabila menceritakan kisah bagaimana imej itu dihantar ke Microsoft pada ketika itu, O'Rear menceritakan yang Microsoft meminta beliau menghantar gambar tersebut melalui penghantaran kurier FedEx. Merasa risau jika apa-apa berlaku dalam proses penghantaran, O'Rear meminta amaun yang akan dilindungi oleh pihak FedEx. FedEx memberitahu satu amaun yang dirasakan oleh O'Rear terlalu rendah untuk sesuatu yang sangat bernilai.

Jadi Microsoft melalui akaun Corbis mereka memberikan tiket kapal terbang kepada O'Rear untuk menghantar sendiri gambar tersebut.

Begitulah kisah bagaimana gambar yang diberi judul "Bliss" akhirnya terpapar pada majoriti skrin pengguna komputer seluruh dunia, setiap kali mereka memulakan Windows XP buat kali pertama.

Hebat kan?

Apa yang amat dikagumi adalah betapa prihatinnya mereka yang berkaitan dalam urusan hakcipta. Walaupun O'Rear mengakui beliau ada tersilap dalam melakukan rundingan, tetapi untuk mendapat imbuhan enam angka hanya kerana sekeping gambar, ini adalah kisah yang mampu membuatkan kita pun kena rajin cari peluang. Mana tahu, nasib baik karya kita pula terpilih untuk membintangi kebanyakan skrin peranti elektronik pula.

Lokasi itu kini

iluminasi bliss windows xp jurufoto windows komputer3

Selepas berlaku beberapa projek penanaman pada bukit yang sama, kini lokasi gambar "Bliss" tidaklah seindah yang kita dapat lihat dalam gambar tersebut. Walaupun begitu, untuk mereka yang sempat menggunakan Windows XP, imej pertama yang kita lihat pada kali pertama kita mencuba Windows XP pasti akan terus tersemat disanubari.


tags : , , , , , , , , ,




Hakcipta iluminasi.com (2017)