perkomputeran awan

Pengkomputeran awan (atau Cloud computer) telah menjadi frasa yang popular sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Ia merujuk kepada pengkomputeran dan pemprosesan yang dilakukan secara dalam talian di pelayan jauh (remote server), dan bukannya pada peranti itu sendiri.

Walaupun namanya terdapat perkataan "awan", ia tidaklah bermakna pangkalan datanya terletak di angkasa. Sebaliknya, ia dilakukan di pusat data terestrial di dalam bangunan khusus. Namun, perkara ini boleh berubah dalam masa terdekat apabila pihak Microsoft mula mengkaji untuk meletakkan pusat data ini dalam laut.

Ya, syarikat teknologi gergasi Microsoft sedang menguji kemungkinan meletakkan pusat data di bawah air. Secara kasarnya, idea ini mungki kedengaran seperti idea yang tidak masuk akal. Berdasarkan kajian dalaman baru-baru ini yang dilakukan oleh Microsoft, tempat terbaik untuk pusat data adalah di bawah air!

Sekiranya anda pernah menggunakan telefon pintar model premium atau menaik taraf komputer anda baru-baru ini, anda mungkin tahu mengenai sistem penyejukan terbaru disebut penyejukan cecair (liquid cooling). Ia cukup berkesan untuk memastikan pemproses dan barangan elektronik sentiasa sejuk walaupun sentiasa bekerja keras untuk jangka masa panjang.

Microsoft merancang untuk memanfaatkan konsep penyejukan cecair ini secara ekstrim - dengan menenggelamkan kontena khas kedap air yang membawa pusat data di dalam air laut. Kenapa? Kerana mereka percaya ianya adalah cara yang lebih berkesan untuk melakukan pengkomputeran awan.

Projek Natick

Microsoft memulakan kajian untuk meneroka kemungkinan meletakkan pusat data di bawah air pada tahun 2014. Mereka memulakan sebuah eksperimen khas dikenali sebagai Projek Natick untuk tujuan ini.

Pada Fasa 1 projek ini, para jurutera di Microsoft cuba memahami bagaimana pusat data dapat dikemas dalam kontena kedap air untuk mengelakkan kemungkinan berlaku kebocoran. Daripada kajian ini, mereka menemui satu rahsia bagaimana untuk memastikan pusat data ini dapat diletakkan dengan selamat dalam air laut.

Pada Fasa 2, Microsoft mula membina kontena khas yang direkabentuk untuk kegunaan sebenar. Microsoft berjaya menghasilkan kontena yang dapat dipasang di kapal kargo, yang kemudian akan meletakkan kontena khas tersebut yang dimuatkan dengan pelayan ke dalam air laut.

pusat data dalam laut

Tapak yang dipilih untuk fasa projek ini adalah Laut Utara berhampiran Orkney di Scotland. Pusat data bawah laut Microsoft di Laut Utara ini mengandungi 864 pelayan dan 27.6 petabytes memori secara keseluruhan. Pusat data ini dikemas dengan ketat dalam bekas keluli, dipenuhi dengan nitrogen dan tenggelam di perairan ais yang berombak di Laut Utara pada 2018.

Sebagai rekod, misi eksperimen ini tidak menggunakan pelayan perniagaan langsung. Sebaliknya, kontena yang terendam ini membawa data eksperimen dalaman Microsoft untuk diuji. Kapasiti 864 pelayan untuk pusat data mungkin terlalu sedikit tetapi Microsoft menganggap skalanya dapat ditambah dengan mudah pada masa hadapan sekiranya diperlukan.

Kelebihan pusat data bawah laut

1. Kebolehtahanan yang lebih baik

server dalam laut

Prinsip asas meletakkan pusat data di bawah air adalah untuk mewujudkan persekitaran yang lebih stabil sehingga pelayan komputer dapat bekerja lebih baik dan tahan lebih lama. Sebagai sebahagian daripada Project Natick, jurutera membina kontena khas ini bebas dari oksigen dan kelembapan dan diisi dengan nitrogen.

Secara keseluruhan, langkah pencegahan ini telah meningkatkan kadar kebolehpercayaan pusat data ini. Microsoft mendakwa kadar kegagalan pusat data ini dikurangkan menjadi seperlapan apabila pusat data ini diletakkan tenggelam di bawah air.

2. Air merupakan bahan penyejuk semulajadi

projek natick

Pusat data tradisional menggunakan sejumlah besar tenaga untuk memastikan pelayan tetap sejuk. Pusat data lama menggunakan penyejukan mekanikal, menggunakan penghawa dingin (AC) untuk penyejukan yang memakan banyak tenaga.

Sekarang, pusat data bawah air hanya menggunakan air di sekitarnya untuk memindahkan haba yang dikeluarkan dari pelayan. Bayangkan berapa banyak air laut di lautan yang ada untuk menyerap haba, maka membesarkan pusat data ini mengikut skala yang dikehendaki tidaklah terlalu sukar.

3. Lebih ekonomikal

microsoft data center pengkalan data dalam laut

Proses membina pusat data bawah air adalah lebih murah dan cepat daripada pusat data konvensional dimana syarikat terlebih dahulu perlu memperoleh tanah dan membina pusat data dari bawah ke atas.

Semasa membina pusat data di darat, anda memerlukan tanah (yang sering kali mahal) dan kemudian syarikat perlu menilai kemungkinan keadaan lain, seperti topografi, ketersediaan tenaga kerja mahir, bekalan elektrik yang boleh dipercayai, pematuhan dengan peraturan tempatan dan undang-undang dan banyak lagi.

Kontena khas yang memuatkan pelayan yang diperlukan untuk operasi bawah air ini dapat dibina dengan cara pemasangan dan kemudian dihantar ke laut dengan mudah. Microsoft mendakwa bahawa ia dapat menyiapkan konten khas untuk pelayan ini hanya dalam 90 hari! Bandingkan ini dengan satu atau dua tahun yang diperlukan untuk membina sebuah pusat data di darat.

Kredit:

  1. Redmond Mag
  2. Wired
  3. Microsoft News


Hakcipta iluminasi.com (2017)