Starbucks Coffee, nama yang tidak asing lagi bagi masyarakat dunia, termasuklah yang ada di Malaysia. Kopinya yang segar dengan aroma yang enak sememangnya menjadi kegemaran ramai. Namun, adakah anda tahu bagaimana syarikat kedai kopi ini bermula? Siapakah yang bertanggungjawab menaikkan nama Starbucks sehingga dikenali ramai? Teruskan membaca untuk mengetahui dengan lebih lanjut. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Statistik Penting Tentang Starbucks

statistik penting tentang starbucks

Umum tahu bahawa Starbucks Corporation adalah syarikat kedai kopi terbesar di dunia. Sehingga tahun 2016, Starbucks memiliki lebih daripada 28,000 rangkaian kedai merentasi 76 buah negara di seluruh dunia, di mana 13,000 daripadanya adalah di Amerika Syarikat. Dari segi statistik, Starbucks berjaya menjana pendapatan sekitar $USD21.1 bilion untuk tahun 2015 sahaja, yakni 10 kali ganda lebih banyak berbanding pencabar terdekatnya, Costa yang hanya menjana $USD1.8 bilion. 

74 peratus daripada pendapatan Starbucks diperolehi daripada jualan minuman, manakala sejumlah 19 peratus lagi adalah daripada penjualan barangan makanan termasuklah muffin, sandwich dan lain-lain. Sehingga September 2018, Starbucks mempunyai seramai 300,000 pekerja, di mana sekitar 157,000 daripadanya bekerja di Amerika Syarikat. 

Sejarah Di Sebalik Syarikat Kedai Kopi Bernama Starbucks

jerry baldwin zev siegl dan gordon bowker pengasas starbucks

Starbucks sebenarnya diasaskan oleh 3 orang bekas pelajar University of San Francisco iaitu Jerry Baldwin, Zev Siegl dan Gordon Bowker. Pelan awal mereka adalah untuk menjual biji kopi berkualiti tinggi bersama dengan peralatan pemanggang kopi, namun sama sekali tidak menyangka syarikat mereka itu bakal mencapai sebuah kejayaan yang luar biasa.

Kedai kopi Starbucks yang pertama telah dibuka pada 30 Mac 1971 di Seattle, Washington. Kedai tersebut terletak di 2000 Western Avenue, dan hanya menjual biji kopi dan peralatan berkaitan sehingga tahun 1976. Mereka kemudiannya berpindah ke 1912 Pike Place Market di mana mereka mula menjual kopi espresso pada tahun 1986. 

Penglibatan Howard Schultz Dalam Syarikat Starbucks

howard schultz membangunkan starbucks

Pada tahun 1981, Howard Schultz buat pertama kalinya memasuki kedai Starbucks. Pengalaman pertamanya merasai kopi Starbucks yang enak membuatkan beliau ingin mengetahui lebih lanjut tentang syarikat tersebut. Tahun berikutnya, beliau menyertai Starbucks sebagai seorang pekerja biasa. 

Pada tahun 1983, Howard telah mengembara ke Itali dan berasa tertarik dengan kedai kopi di sana, yang mempunyai suasana yang indah, membuatkan pengalaman menghirup segelas kopi menjadi lebih romantis. Pengalaman tersebut memberi idea yang bakal mengubah hidupnya, iaitu untuk membawa budaya kedai kopi Itali pulang ke Amerika Syarikat. 

howard schultz ke itali kisah starbucks

Sekembalinya ke Amerika Syarikat, beliau memulakan perniagaan kedai kopinya sendiri, iaitu Il Giornale. Pada Ogos 1987, beliau telah membeli Starbucks daripada pemilik asal, melalui bantuan kewangan daripada para pelabur tempatan. Howard secara agresifnya telah mengembangkan perniagaan tersebut dengan membuka lebih banyak outlet di luar Seattle. 

Sehingga tahun 1989, Starbucks mempunyai sebanyak 46 kedai, dan perlu memanggang sehingga 2 juta pound (sekitar 907000 kilogram) kopi setahun demi memenuhi permintaan pelanggan. Disebabkan populariti Starbucks yang semakin meningkat dengan pantas, Howard merasai tekanan untuk membuka lebih banyak outlet secepat mungkin bagi memenuhi permintaan yang ada.

Strategi Howard Schultz Untuk Mengembangkan Empayar Starbucks 

strategi perniagaan howard schultz starbucks

Sehingga tahun 1992, Starbucks memiliki lebih daripada 135 outlet dan menjana pendapatan tahunan sehingga $USD72 juta. Tahun yang sama, Howard membuka Initial Public Offering (IPO) bagi Starbucks di dalam NASDAQ Stock Exchange demi untuk meningkatkan lebih banyak pelaburan awam sebagai salah satu strateginya untuk berkembang dengan lebih pantas. 

Nilai pasaran syarikat tersebut telah dianggarkan sekitar $USD271 pada waktu itu, dan Howard telah menjual sebanyak 12 peratus saham syarikatnya pada nilai USD25 juta bagi mengumpul lebih banyak dana untuk menggandakan jumlah outletnya untuk 2 tahun berikutnya. 

Pada tahun 1996, Starbucks akhirnya berjaya menembusi pasaran antarabangsa (di luar Amerika Utara) dengan membuka outlet pertamanya di Tokyo, Jepun dan kemudiannya dalam tahun yang sama di Singapura. 

starbucks berkembang dengan pesat

2 tahun berikutnya, Starbucks telah membeli sebuah syarikat yang berpangkalan di United Kindom, iaitu Seattle Coffee Company dengan harga $USD83 juta. Mereka menukar nama kesemua 65 outlet syarikat tersebut kepada Starbucks dan memulakan kemasukan kedai kopi tersebut ke pasaran United Kingdom. 

Sekali lagi pada tahun 2003, Starbucks telah membeli Torrefazione Italia dan Seattle's Best Coffee dengan bayaran bernilai $USD72 juta. Pengambilalihan ini memberi outlet tambahan sebanyal 150 kedai kepada Starbucks. Pada tahun 2007, Starbucks telah membuka outlet pertamanya di Rusia.

Pada tahun 2012, Starbucks telah membeli sebuah syarikat kedai minuman teh, Teavana pada harga $USD620 juta. Sehingga tahun 2013, Starbucks mula mensasarkan pasaran seluruh dunia dengan fokus baharu untuk membuka lebih banyak outlet di negara-negara di Asia Selatan dan Amerika Selatan. 

Kesimpulan

howard schultz pengasas starbucks

Starbucks bukan sahaja terkenal dengan minuman kopi yang bervariasi, malah mereka turut dikenali dengan produk-produk lain seperti sandwic, pastri, bekas minuman dan sebagainya. 

Bermula dengan menjual biji kopi sejak tahun 1970an, kini Starbucks memperolehi keuntungan berbilion dolar setahun hasil kebijaksaan Howard Schultz dalam mengaplikasikan strategi perniagaan yang berkesan demi memenuhi permintaan pelanggan. 

Mungkin suatu hari nanti akan ada anak Malaysia yang bakal berjaya di peringkat antarabangsa melalui perniagaan berasaskan minuman dan makanan? Kita tunggu dan lihat.  

Rujukan & Bacaan Tambahan:

  1. Starbucks [1, 2]
  2. therichest.com
  3. expandedramblings.com
  4. successstory.com
  5. statista.com



Hakcipta iluminasi.com (2017)