Dalam sejarah negara Ireland - mereka telah melalui satu era kebuluran yang berlangsung selama lebih 5 tahun bermula dalam tahun 1845 sehinggalah sekitar tahun 1849, dikenali masyarakat mereka sebagai 'Gorta Mor' atau 'The Great Famine.'
Juga dikenali dengan nama 'drochshaol' dalam bahasa tempatan atau 'zaman kesusahan' menyaksikan lebih 1 juta nyawa terkorban kerana ketiadaan bekalan makanan.
BESARKAN TEKS A- A+
Kepayahan yang berat ditanggung turut menyebabkan jutaan individu memilih untuk meninggalkan tanah mereka merantau ke Amerika Syarikat, mengakibatkan populasi masyarakat Ireland turun mendadak.
Bagi meringankan beban ke atas kesengsaraan,Britain sebagai pihak kolonial malangnya mengambil langkah mudah menyalurkan bantuan kewangan sehingga mencetuskan kontroversi dan rasa tidak puas hati.
Antara kisah perbalahan yang menunjukkan perbezaan jelas keprihatinan Britain sebagai pentadbir, tercetus di antara Permaisuri Victoria dengan Sultan Abdul Majid I, Sultan ke 31 dalam salasilah Empayar Uthmaniyah; akibat jumlah derma yang tidak dipersetujui.
Zaman kebuluran Ireland
Untuk beberapa tahun sebelum krisis melanda, usaha penanaman kentang di Ireland sudah mula menampakkan wujud beberapa masalah ketara.
Hasil kentang nyata tidak menjadi akibat serangan sejenis kulat bernama Phytophthora infestans, mengakibatkan kerosakan pada tanaman ubi kentang yang telah tumbuh serta menghalang pertumbuhan baru pokok ubi baru.
Pada era tersebut, kentang merupakan makanan ruji masyarakat Ireland khususnya di kawasan-kawasan desa dan terpencil. Anggaran 4kg kentang diperlukan oleh seorang dewasa setiap hari, sebagai sumber makanan masyarakat mereka.
Situasi itu diburukkan lagi ekoran ketiadaan usaha untuk mempelbagaikan jenis tanaman atau kategori kentang yang ditanam pekebun. Majoriti pekebun di Ireland yang bertanggungjawab membekalkan kentang biasanya datang dari satu atau dua jenis kentang sahaja.
Ini mengakibatkan rantaian bekalan kentang di sana mudah berhadapan risiko, sekiranya berlaku serangan penyakit ke atas sekumpulan kecil pokok yang telah ditanam. Ketiadaan variasi tanaman berbeza juga menyebabkan serangan mudah merebak kerana kesesuaian kulat yang hinggap, mudah menyerang majoriti pokok.
Itulah yang berlaku kepada pekebun di Ireland ketika itu. Selepas jangkitan bermula secara terpencil, serangan kulat mula digiatkan oleh suhu lembap dan hujan kerap yang membantu percambahan kulat.
Pokok ubi yang ditanam mengalami kerosakan akar yang bukan saja merosakkan pokok, malahan serangan kulat itu turut mengakibatkan perubahan besar pada kualiti tanah, menyukarkan tanaman baru dimulakan.
Ireland di bawah pentadbiran British
Pada ketika berlangsungnya semua masalah ini, Ireland masih di bawah British semasa pemerintahan Permaisuri Victoria dengan Sir Robert Peel bertindak sebagai Perdana Menteri.
Semua bantuan yang dapat dihulurkan Britain ketika zaman tersebut, perlulah dilakukan berdasarkan kepada sebuah undang-undang khas yang dinamakan 'Peraturan Orang Miskin' atau Poor Law, digunakan British sebagai garis panduan tindak-tanduk mereka dalam menolong orang susah.
Walaupun ketika itu Britain sedar masyarakat di Ireland sedang berdepan krisis besar, British memilih untuk hanya bertindak secara minima dengan meningkatkan jumlah import gandum dan jagung ke Ireland bagi menggantikan kentang, selain membuka kantin awam yang menyediakan makanan asas kepada penduduk yang kelaparan.
Jika dibandingkan dengan situasi yang dihadapi di Ireland, bolehlah kita katakan apa yang Britain lakukan hanyalah 'kerja sambil lewa.'
Apa yang lebih membuatkan orang Ireland menyirap, mereka sudahlah dalam keadaan lapar dan tidak bertenaga, Britain pula datang memaksa mereka bekerja.
Ini disebabkan peraturan orang miskin British mendefinisikan secara am 'mana-mana orang yang berkemampuan tetapi menjalani hidup susah adalah orang malas'. Jadi British bertindak membantu berdasarkan definisi tersebut.
Mereka hadir ke Ireland, mengarahkan mana-mana lelaki yang ada kudrat untuk bekerja dalam pembinaan awam seperti membangunkan jalan raya bagi menjana pendapatan agar tidak dikategorikan sebagai malas.
Konflik akibat kewujudan protokol khas
Usaha orang Ireland untuk mendapatkan bantuan melalui pemimpin setempat gagal mendapat balasan lebih baik daripada kerajaan Britain, mengakibatkan ramai melihat tindak tanduk British seperti sengaja membiarkan mereka mati kebuluran.
Pada tahun 1847 Permaisuri Victoria yang sebelum itu perlu berhadapan kritikan segelintir pemimpin Britain sendiri kerana didakwa langsung tidak mempedulikan apa yang berlaku di Ireland sebuah jajahan mereka, bertindak mendermakan £2,000 kepada masyarakat Ireland.
Seiring dengan protokol British, jumlah sumbangan £2,000 yang dikeluarkan Victoria mesti kekal sebagai jumlah sumbangan terbesar melibatkan mana-mana pihak, tak kiralah dari ketua kerajaan mana sekalipun.
Protokol ini mula tercabar selepas Sultan Abdul Majid I menyatakan hasrat untuk sama membantu; menawarkan £10,000 kepada orang Ireland melalui wakil Baginda.
Hasrat itu bagaimanapun perlu dihalang British.
Bergaduh akibat enggan dimalukan
Apabila wakil British di Turki menerima makluman kerajaan Uthmaniyah mahu mendermakan sejumlah sumbangan yang 5 kali ganda lebih banyak berbanding Permaisuri Britain sendiri, wakil Britain melalui wakil mereka melakukan rundingan menggesa agar Sultan Abdul Majid menghormati protokol yang diguna pakai.
Sultan Abdul Majid dipinta untuk menurunkan jumlah sumbangan beliau hanya kepada £1,000 bagi menjaga air muka Permaisuri Victoria.
Tindakan ini nyata kurang disenangi Sultan Abdul Majid.
Baginda perlu mencari jalan lain untuk membantu dalam masa sama tetap perlu menghormati hubungan diplomasi yang di antara dua buah kerajaan. Jadi Baginda bersetuju untuk menurunkan jumlah sumbangan seperti yang diminta Britain.
Walau bagaimanapun Sultan Abdul Majid bertindak kreatif menggunakan kaedah berbeza.
Tiga buah kapal yang diisi dengan bekalan makanan, ubat-ubatan dan peralatan harian diarahkan Sultan Abdul Mejid untuk belayar dari Turki ke Ireland secara sulit. Selepas tidak dibenarkan berlabuh di pelabuhan Dublin yang duduk di bawah kawalan pihak Britain, kapal-kapal Turki itu beralih hala ke sebuah bandar pelabuhan bernama Drogheda.
Di situlah ketiga-tiga kapal itu dapat berlabuh tanpa diganggu tentera Britain dan semua bantuan yang dibawa berjaya diturunkan, untuk diagih-agihkan.
Masih ingat tentang wang £1,000 yang didermakan Sultan Abdul Majid?
Wang itu digunakan masyarakat Ireland untuk menanggung kos penghantaran lebih 250 warga mereka yang mahu behijrah ke Amerika.
Legasi Khalifah Uthmaniyah di Ireland
Sikap British mengambil jalan sambil lewa terhadap kesengsaraan orang Ireland terus meninggalkan kesan kepada reputasi British sehingga ke hari ini.
Mendiang Permaisuri Victoria terus dikenali dengan nama jolokan 'The Famine Queen' atau 'Permaisuri Kebuluran' kerana mengabaikan Ireland, walaupun Ireland berada di bawah jajahan British.
Sementara itu usaha Khalifah Uthmaniyah membantu dari segi wang ringgit dan bekalan, menjadi antara kisah yang sering diceritakan orang Ireland apabila sejarah mereka dibincangkan.
Pada 2 Mei 1995, sempena memperingati jasa kerajaan Uthmaniyah/Turki, sebuah plak penghargaan dirasmikan oleh Duta Turki di Ireland dan Datuk Bandar Drogheda bagi memperingati peristiwa bersejarah itu.
Walaupun wujud bukti yang mensahihkan kisah di atas benar-benar berlaku, malangnya ada juga pendapat yang menyebut peranan Sultan Abdul Majid I membantu Ireland sebagai dongeng semata-mata.
Pendapat ini disokong oleh ketiadaan dokumentasi lengkap berkenaan kehadiran kapal dari Turki di pelabuhan Drogheda.
Namun satu pendedahan terkemudian berjaya menemui rekod 3 buah kapal asing hadir ke Drogheda membawa muatan makanan dan bekalan, sekitar tahun yang didakwa berlaku.
Hanya pada tahun 1849, Permaisuri Victoria mencemar duli hadir ke Ireland melawat. Baginda bagaimanapun enggan hadir ke kawasan yang terjejas teruk, sebaliknya hanya dibawa melawat kawasan yang sudah pulih daripada kesengsaraan.
Kerajaan Britain melakukan permohonan maaf secara rasmi kepada orang Ireland pada tahun 1997, hampir 150 tahun selepas kejadian itu - di atas kurangnya keprihatinan mereka terhadap masyarakat di sana ketika zaman kebuluran.
Rujukan