Oleh pada 17 Jul 2018 kategori

Pada tahun 2015, kerajaan Ireland mengumumkan pelan perancangan mereka untuk menghenitikan kebergantungan negara mereka kepada sumber minyak jenis fossil bagi memenuhi hasrat Perjanjian Paris, yang membincangkan berkenaan perubahan iklim dunia.

Kertas kerja yang dilaporkan itu mensasarkan negara Ireland akan bebas daripada penggunaan minyak fossil sebelum habis abad ini. Tempoh panjang itu diambil berikutan tahap kebergantungan Ireland pada bentuk sumber ini masih tinggi, pada sekitar 92 peratus penggunaan di seluruh negara mereka.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Pada 12 Julai 2018, Parlimen Ireland mengumumkan langkah berani - kerajaan Ireland akan menghentikan semua kebergantungan negara mereka kepada pelaburan dalam industri minyak dan gas.

Ini menjadikan Ireland negara pertama di dunia yang berbuat demikian dan undang-undang ini dijangkakan berkuatkuasa pada penghujung tahun 2018.

Langkah berani demi masa depan

pelepasan asap oleh kilang

Menurut ahli parlimen yang mengusulkan cadangan itu di Parlimen Ireland, Thomas Pringle, sudah tiba masanya Ireland berhenti daripada terus menaja industri petrolium yang tidak mampu bertahan lama, serta memberi keburukan jangka panjang pada bumi dan manusia.

Gerakan untuk memansuhkan penggunaan minyak berasaskan fossil sudah lama kedengaran di Ireland, namun mula mendapat perhatian serius kerajaan Ireland pada tahun 2015 selepas gesaan dan cadangan orang ramai semakin kerap disuarakan, berikutan termeterainya Perjanjian Paris.

Atas keputusan Parlimen Ireland itu, pelaburan berjumlah anggaran RM38 billion melibatkan 140 syarikat Ireland perlu menjual saham-saham mereka dalam syarikat berasaskan minyak dan gas di seluruh dunia. Ini diharapkan akan mempercepatkan lagi pembangunan teknologi-teknologi tenaga baru, dalam menampung keperluan orang ramai yang semakin bertambah.

Langkah hampir serupa telah pun diambil oleh Norway pada tahun 2015 apabila kerajaan Norway mengumumkan penamatan kebergantungan pelaburan kerajaan mereka kepada industri tenaga berasaskan arang batu. Selain itu, kerajaan Norway juga bercadang menarik balik semua pelaburan mereka dalam industri minyak dan gas sebanyak RM130 billion, bagi mengelakkan krisis yang dialami semasa kejatuhan harga minyak berulang kembali.

Walaupun demikian, secara rasminya Ireland menjadi negara pertama di dunia menghentikan pelaburan kepada kesemua jenis bahan berasaskan fossil, tak kira mana satu pun jenisnya.

Niat ikhlas atau langkah menyelamatkan diri?

ireland jadi negara pertama tidak lagi melabur dalam industri minyak gas

Bagi pengkritik, mereka berpendapat langkah yang diambil kerajaan Ireland ini merupakan satu tindak balas tergesa-gesa, berikutan kelambatan Ireland merealisasikan tuntutan yang disenaraikan dalam Perjanjian Paris.

Di antara semua negara anggota yang menyertai perjanjian, Ireland berada pada kedudukan 49 daripada 59 berjaya memenuhi apa yang telah dipersetujui. Ireland juga adalah negara Eropah yang berada pada kedudukan terakhir dalam senarai.

Dengan menghentikan kesemua pelaburan negara sudah pastilah ini akan menjadi pemangkin Ireland untuk berubah, bagi mengelakkan negara mereka masuk ke dalam kancah krisis tenaga.

Bagi memudahkan hasrat mulia ini terlaksana, kerajaan Ireland menganggarkan penggunaan tenaga kitar semula dilaksanakan sepenuhnya bermula pada tahun 2040. Teknologi tenaga yang berasaskan angin, solar, marin dan bio-kimia dijadikan sandaran mereka pada masa depan.

Menjelang 2030, sasaran 70 peratus bekalan elektrik di Ireland akan datang daripada sumber tenaga guna semula diharapkan berlaku, jauh mendahului sasaran Kesatuan Eropah yang meletakkan 40 peratus penggunaan tenaga guna semula pada tahun 2020.

Kesatuan Eropah menetapkan mana-mana negara anggota yang gagal mencapai kadar penggunaan tenaga guna semula, dimestikan membayar denda yang agak besar jumlahnya. Sehingga 2014, hanya 8 peratus daripada jumlah keseluruhan tenaga yang diguna pakai di Ireland datang daripada sumber tersebut.

Hala tuju tenaga guna semula di negara kita

tenaga baru boleh guna semula

Berbeza dengan usaha di Eropah yang sudah dimulakan secara serius, kita dan negara-negara yang berada di kawasan Asia Tenggara lain nampak belum berjaya masuk selari dengan usaha yang telah dijalankan mereka.

Melihat langkah yang diambil Ireland ini, agak sukar untuk diimaginasikan bilakah negara kita mampu mengambil langkah serupa, berikutan kedudukan negara kita yang menjadi antara negara pengeksport minyak dunia. Pelaburan-pelaburan Petronas di seluruh dunia pula banyak membantu menjana ekonomi kita serta ramai sekali jumlah pekerja masih bergantung kepada industri yang memberikan pulangan lumayan pada warga kita.

Pengenalan kepada penggunaan tenaga guna semula di negara kita sememangnya sudah dimulakan (pautan PDF); bagaimanapun apa yang menarik untuk dilihat kemudian hari - adakah negara kita benar-benar serius mahu bebas daripada kebergantungan pelaburan serta sumber ekonomi berasaskan bahan api fossil yang didapati dari isi perut bumi ini seterusnya mula mengubah sistem pembekalan tenaga di negara kita melalui kaedah yang lebih baik, moden dan bersih.

Rujukan




Hakcipta iluminasi.com (2017)