Oleh pada 30 Jul 2021 kategori

Ara Abrahamian lahir pada tahun 1975, merupakan seorang anak kelahiran Armenia.

Dia menyertai acara gusti yang cukup digemari sejak berusia 8 tahun lagi dan menjadi johan peringkat kebangsaan pada usia muda sebanyak 3 kali.

Diterbangkan ke Stockholm pada tahun 1994 bagi menyertai pertandingan Stockholm Junior Open Wrestling, Abrahamian mempamerkan aksi cemerlang sehingga berjaya dinobatkan selaku johan.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Persembahan baik itu nyata memikat hati kontinjen Sweden. Mereka berusaha keras memujuk beliau untuk menukar kewarganegaraan. Abrahamian melihat di Sweden dia punya peluang lebih cerah dalam sukan, membuat keputusan besar menjadi atlit Sweden secara rasmi pada tahun 1998. 

Dua tahun kemudian, Abrahamian diberi peluang menyertai sukan Olimpik pertamanya di Sydney.

Cubaan pertama beliau gagal membawa pulang sebarang pingat. Dia diberi peluang kedua, dalam temasya Olimpik 2004 di Athens. Di sinilah kisah karier atlit gusti mula terpalit dengan kontroversi.

Kontroversi pertama Abrahamian

pertarungan gusti ara abrahamian olimpik

Pada 24 Ogos 2004 dalam perlawanan akhir yang berlarutan panjang sehingga memerlukan masa tambahan selepas seri 1-1, Abrahamian akhirnya diumumkan tumpas kepada penggusti Russia, Alexei Michine melalui keputusan hakim. 

Tewas dengan keputusan sedemikian rupa dalam acara gusti Greco-Roman kategori 84 kg membuatkan hati Abrahamian mula panas.

Syak wasangka Abrahamian semakin bertambah selepas presiden Persatuan Gusti Sweden, Pelle Svensson yang berada di tepi gelanggang mendapati wujud campur tangan jurulatih Russia, Mikhail Mamiashvili yang ditangkap memberikan isyarat-isyarat kepada pengadil.

Selepas diugut dengan ugutan bunuh oleh Mamiashvili, Svensson memilih untuk mendiamkan diri walaupun mendakwa dia ada bukti Mamiashvili terlibat merasuah pengadil dengan nilai RM504,800 (sekitar GBP85,500) untuk memberikan kemenangan kepada Michine.

Dakwaan Svensson bagaimanapun tidak dibawa ke hadapan untuk siasatan lanjut.

Bagi Abrahamian yang tertewas, dia mempertikaikan kenapa pada skor 1-1, dia perlu pulang hanya dengan pingat perak dan menyifatkan apa yang berlaku adalah disebabkan tekanan yang dirasai penganjur sekiranya tidak memenangkan atlit dari Russia itu.

Berikutan prestasi cemerlang skuad gusti Russia dalam kejohanan tersebut yang duduk di bawah kendalian beliau, Mamiashvili naik sebagai presiden persatuan gusti Russia walaupun didakwa korup terus memegang jawatan tersebut sehingga kini.

Kontroversi tidak lekang dari dirinya selepas Mamiashvili memukul seorang penggusti wanita yang gagal memenangi perlawanan pingat gangsa semasa temasya Olimpik 2016 di Rio da Janeiro, Brazil.

Perseteruan antara kedua-dua pihak dari Russia dan Sweden ini bakal berlanjutan ke temasya Olimpik seterusnya.

Sekali lagi, Abrahamian menjadi mangsa.

Peluang untuk menebus kekecewaan

ara abrahamian konfrontasi pengadil gusti

Abrahamian kembali bertanding dalam kategori sama dalam Olimpik 2008 di Beijing, China, layak ke perlawanan peringkat separuh akhir bertemu penggusti dari Itali iaitu Andrea Minguzzi. 

Perlawanan tersebut tercemar ekoran satu insiden di mana Abrahamian diberikan penalti yang tak sepatutnya diberikan, menyumbang kepada kemenangan untuk Minguzzi oleh pihak hakim mengulangi insiden mirip pengalamannya sebelum itu. 

Skuad Abrahamian memohon semakan video dilakukan terhadap insiden yang dikatakan penyebab penalti itu, namun permintaan mereka ditolak tanpa alasan.

Reaksi pengadil serta panel hakim mengakibatkan Abrahamian hilang pertimbangan, sehingga dia terpaksa ditenteramkan rakan sepasukannya kerana cuba menyerang hakim. 

Tewas perlawanan itu Abrahamian terpaksa berpuas hati bertanding dalam perlawanan pingat gangsa, walaupun secara terbuka menuduh Majlis Olimpik dan badan kejohanan merompak cubaan memenangi pingat emas darinya. 

atlit gusti sweden bantah pengadil

Dalam perlawanan pingat gangsa, Abrahamian menang mengalahkan Melonon Noumonvi dari Perancis tetapi hatinya belum cukup puas meluahkan kekecewaannya.

Semasa majlis penyampaian pingat yang sepatutnya menjadi detik gembira, Abrahamian yang baru saja dikalungkan pingat gangsa membuka pingat tersebut lalu meletakkannya di atas lantai lalu beredar.

Aksinya dirakamkan kamera dan disaksikan keseluruhan hadirin yang ada.

Tindakan Abrahamian 'membuang' pingatnya secara terbuka dianggap Majlis Olimpik Sedunia (IOC) sebagai satu penghinaan terhadap semangat kejohanan yang dipegang.

Abrahamian apabila diminta mengulas punca tindakannya menyifatkan pengadil pertandingan telah dirasuah dan dia mengumumkan akan bersara daripada sukan tersebut atas kekecewaan yang dirasainya dua kali.

IOC mengumumkan tindakan drastik pingat gangsa yang telah dimenangi Abrahamian ditarik balik dan tidak ada pemenang gangsa dalam acara tersebut menggantikannya.

Perbicaraan dijadualkan berlangsung melibatkan kesemua pihak yang terlibat; IOC, Persatuan Gusti Sedunia (FILA) dan Abrahamian bagi membincangkan apakah hukuman terbaik yang perlu dikenakan ke atas Abrahamian.

IOC melalui bidang kuasa mereka menghukum penyertaan Abrahamian seumur hidup dari mana-mana kejohanan Olimpik. 

Kemenangan kecil untuk Abrahamian

ara abrahamian semasa terima gangsa

Selain IOC, FILA sebagai badan pengurusan sukan gusti sedunia mengeluarkan kenyataan Abrahamian dan jurulatih beliau digantung daripada menyertai acara sukan anjuran FILA selama 2 tahun bermula bulan November tahun 2008.

Lebih berat lagi, persatuan gusti Sweden turut digantung daripada menganjurkan sebarang kejohanan bersifat antarabangsa sepanjang tempoh penggantungan sama.

Selain itu, FILA mendenda Abrahamian dengan amaun $2,600, jurulatihnya $8,600 dan persatuan gusti Sweden yang secara terbuka mengkritik FILA dan ICO sebanyak $43,000.

Abrahamian dan badan gusti Sweden tidak berdiam diri saja menerima hukuman tersebut. Dengan bantuan persatuan gusti Sweden, Abrahamian melakukan tuntutan perbicaraan mencabar hukuman yang dikenakan, melalui Mahkamah Arbitrasi Sukan Dunia atau Court of Arbitration for Sports (CAS).

Pihaknya mahu mahkamah sukan itu membicarakan dakwaan mereka bahawa FILA dan ICO gagal memastikan perjalanan acara yang dipertandingkan dan disertai Abrahamian diadili dengan adil dan saksama.

CAS melalui penghakiman bulan Mac tahun 2009 mendapati beberapa tuntutan Abrahamian seperti pengembalian semula pingat gangsa yang dimenangi serta keputusan IOC menggantung penyertaan beliau berada di luar bidang kuasa.

Ini kerana tindakan Abrahamian membuang pingatnya berlaku di luar waktu acara sukan itu berlangsung. 

Namun CAS berjaya membuktikan wujud unsur keraguan dalam urusan penghakiman serta terdapat bukti kegagalan FILA menyediakan ruangan bantahan yang betul, bagi membolehkan pengadilan semula dapat dilakukan skuad Abrahamian dengan lebih adil.

Dalam pengahakiman itu yang turut disertai seorang wakil panel hakim negara kita, FILA dibuktikan gagal bertindak sebagai badan yang adil untuk atlit di bawah naungannya.

FILA didakwa gagal menguruskan aduan yang dibangkitkan dengan teliti seterusnya melanggar piagam FILA yang memaktubkan kesamarataan sebagai salah satu tunjang utama.

Dibenarkan bergusti semula namun...

ara abrahamian pingat olimpik buang

Berdasarkan penghakiman CAS itu, semua penggantungan yang diumumkan FILA terhadap Abrahamian, jurulatih beliau dan persatuan gusti Sweden ditarik balik serta merta.

Maalangnya Abrahamian tetap kekal digantung daripada menyertai apa saja kejohanan Olimpik seumur hidup. FILA diberikan masa untuk melakukan rayuan terhadap keputusan CAS itu namun badan tersebut.

download

Wajah babyface Mikhail Mamiashvili

FILA ketika itu diketuai Raphaël Martinetti, seorang usahawan dari Switzerland dan Mikhail Mamiashvili sebagai Timbalan Presiden, memilih untuk tidak meneruskan kes tersebut.

Masih ingat Mamiashvili yang kami sebutkan terlebih dahulu pernah didakwa oleh skuad Sweden merasuah pengadil sehingga menidakkan peluang Abrahamian? Itu adalah orang yang sama. 

Abrahamian berpegang kepada kata-katanya untuk bersara selepas kecewa dengan pendirian FILA yang enggan bersikap adil dalam menilai kes membabitkan dirinya.

Perlawanan pingat gangsa Olimpik tahun 2008 itu menjadi perlawanan terakhir beliau dalam sukan gusti.

Dia menjadi antara atlit unik bergelar bekas pemenang pingat gangsa temasya sukan Olimpik, yang lebih selesa membuang pingat diterimanya selepas merasakan maruahnya dipermainkan.

Rujukan

Arbitration CAS ad hoc Division (OG Beijing) 08/007 Swedish National Olympic Committee (SNOC) and Ara Abrahamian v. Fédération Internationale des Luttes Associées (FILA) & others, award of 23 August 2008 (PDF)

Reuters 'Abrahamian stripped of bronze medal'




Hakcipta iluminasi.com (2017)