Oleh pada 02 Aug 2021 kategori

Jika anda melihat carta pingat kejohanan Olimpik Tokyo 2020 yang sedang berlangsung, negara-negara yang mendominasi carta adalah seperti China, Amerika Syarikat dan Jepun.

Walau bagaimanapun, sebuah negara kecil kepulauan Atlantik telah berjaya menempatkan nama mereka di dalam senarai pemenang pada Khamis lalu. Negara yang dimaksudkan ialah Bermuda.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Emas pertama Bermuda

Bermuda memperolehi pingat emas buat kali pertama apabila atlet Flora Duffy memenangi tempat pertama dalam kejohanan Triathlon Wanita dengan catatan masa selama 1 jam, 55 minit dan 36 saat.

Duffy mendahului selama seminit di hadapan pemenang tempat kedua, Georgia Taylor-Brown dari Great Britain dan pemenang tempat ketiga dari Amerika Syarikat, Katie Zaferes.

Kemenangan Duffy membanggakan 62,000 penduduk Bermuda kerana selain mendapat emas pertama, mereka juga merupakan negara paling kecil memenangi pingat emas Olimpik.

duffy

Apa yang lebih menakjubkan, Duffy memenangi pingat emas di sukan Olimpik Tokyo 2020 tanpa mempunyai jurulatih atau pasukan teknikal.

Namun, ia bukanlah merupakan jalan yang mudah bagi atlet berusia 33 tahun itu.

Jalan yang penuh berliku

Kemenangan pingat emas Flora Duffy di Olimpik Tokyo 2020 merupakan cubaannya yang kali keempat. Sebelum ini, dia pernah menyertai sukan Olimpik di Beijing (2008), London (2012) dan Rio de Janeiro (2016).

Duffy telah menghabiskan lima tahun terakhir memikul beban apabila dinamakan sebagai atlet favourite dalam sukan triathlon. Malah, dia juga menjadi harapan kepada negaranya untuk memenangi pingat.

Duffy pernah ditawarkan untuk mewakili Great Britain semasa dia masih remaja kerana ibu dan bapanya berasal dari Britain. Namun, dia menolak tawaran itu dan memilih untuk mewakili Bermuda kerana dia dilahirkan dan dibesarkan di negara itu.

flora duffy bermuda

Duffy tidak menghabiskan perlumbaannya sukan Olimpik Beijing pada 2008. Selepas itu, kariernya dilihat menyimpang dari landasannya. Dia telah mengalami kecederaan, didiagnosis dengan kemurungan dan gangguan makan (eating disoder).

Dia merasakan seperti putus harapan untuk mendapat tempat dalam acara yang memerlukannya untuk berenang sejauh 1.5 km, mengayuh basikal sejauh 40 km dan berlari sejauh 10 km itu.

Duffy juga gagal mengekalkan kecergasan tubuh sepertimana yang diperlukan seorang atlet triathlon. Pada usia 20 tahun, impiannya sejak kecil untuk menjadi juara dunia dilihat semakin malap.

Jatuh dan bangun Flora Duffy

Duffy semakin jauh dari sukan itu dan mula bekerja di sebuah kedai cenderamata di Bermuda. Selepas beberapa ketika, dia memutuskan untuk menyambung pelajarannya dalam bidang sosiologi di University of Colorado.

Ketika itu, dia membuat keputusan untuk mengejar impiannya kembali. Dia menyertai sukan Olimpik London pada 2012 tetapi terlibat dengan kemalangan dan berakhir di tempat ke-45.

duffy komanwel

Flora Duffy memenangi emas di Sukan Komenwel 2018

Duffy mencuba lagi di Olimpik Rio dan berjaya menduduki tempat ke-8. Ia merupakan satu pencapaian setelah apa yang berlaku selepas Olimpik Beijing.

Selepas Olimpik Rio, Duffy meneruskan kecemerlangannya dengan memenangi tempat pertama dalam beberapa kejohanan utama seperti Kejohanan Dunia ITU Triathlon, Kejohanan Dunia XTERRA Triathlon dan Sukan Komanwel 2018.

Mimpi jadi kenyataan

Perlumbaan Triathlon Wanita telah ditangguhkan selama 15 minit kerana keadaan licin akibat taufan Nepartak yang melanda Tokyo pada malam sebelumnya. Keadaan litar menyukarkan para peserta.

Sebaik sahaja perlumbaan bermula, Duffy mula mendapat rentak dan meneruskan penguasaannya sebagai pendahulu. Duffy juga bernasib baik apabila pemenang tempat kedua, Georgia Taylor-Brown dari Britain mengalami tayar pancit 2 km sebelum mengakhiri bahagian berbasikal.

Duffy yang berada di hadapan terus menumpukan perhatian walaupun menyedari dia jauh meninggalkan pencabarnya. Dia sedikit tersenyum apabila melihat suaminya memberikan sokongan di tepi litar. Apabila menamatkan perlumbaan, Duffy melompat dan bersorak sebelum terbaring dan menangis.

flora duffy menangis

Pemenang tempat kedua dan ketiga merupakan rakan kepada Duffy yang sentiasa berlumba bersamanya. Pengalaman menaiki podium bersama rakannya merupakan mimpi menjadi kenyataan buat Duffy.

Duffy mengharapkan kejayaannya menjadi inspirasi kepada golongan remaja di Bermuda untuk mengikuti jejaknya dalam sukan sehingga ke peringkat dunia.

Tiga tahun lalu, Duffy telah memulakan Tabung Flora bagi membantu para atlet dari Bermuda untuk kos perbelanjaan yuran pendaftaran, peralatan dan perjalanan mereka.

Tabung Flora itu akan diteruskan untuk generasi atlet Bermuda di masa hadapan bagi memudahkan mereka mencapai kejayaan.

Sumber:




Hakcipta iluminasi.com (2017)