Oleh pada 12 Jun 2021 kategori

Randall Woodfield adalah seorang pembunuh bersiri yang berleluasa melakukan jenayah di lebuhraya Interstate 5 (I-5), Amerika Syarikat. Puluhan wanita dipercayai telah menjadi mangsanya.

Woodfield sebenarnya mempunyai masa hadapan yang cerah sebagai atlet profesional American football. Bagaimana seorang atlet profesional boleh bertukar menjadi pembunuh bersiri? Berikut adalah kisah Randall Woodfield.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Membesar dalam persekitaran yang ideal

Tidak seperti pembunuh bersiri lain yang membesar dalam masalah dan trauma, Woodfield pula dibesarkan dalam keluarga dan persekitaran yang baik. Sejak kecil, dia bukanlah budak yang bermasalah.

Dilahirkan pada 1950 dalam keluarga yang dihormati di Otter Rock, Oregon, dia yang bersekolah di Sekolah Tinggi Newport merupakan seorang pelajar yang cemerlang dalam sukan. Dia bermain bola sepak Amerika, bola keranjang dan lumba lari.

randall kecil

Randall dan dua kakaknya

Ketika remaja, Woodfield mula menunjukkan kecenderungan terhadap gangguan seksual. Dia pernah ditangkap kerana mendedahkan kemaluannya kepada beberapa gadis di sebuah jambatan di bandar itu.

Woodfield juga mempunyai tabiat buruk iaitu suka "mengintai". Namun, dia sentiasa terlepas kerana jurulatih pasukan bola sepak Amerika sekolahnya mahu mengekalkan Woodfield di dalam pasukan. Malah, rekod juvananya juga dihapuskan ketika dia berusia 18 tahun.

Berasa kebal kerana sering terlepas

Setelah menamatkan pengajian pada 1969, Woodfield melanjutkan pelajaran di Ontario, Oregon. Pada waktu ini, dia semakin berani bertindak ganas apabila memecah masuk pangsapuri bekas kekasihnya tetapi dibebaskan kerana kekurangan bukti.

Dia kemudian dipindahkan ke Portland University dan bermain untuk pasukan Vikings mewakili universiti itu. Namun, dia dikatakan tidak sekepala dengan rakan sepasukannya yang lain. 

Ketika bersama Vikings, dia ditangkap sebanyak dua kali kerana mendedahkan kemaluannya kepada wanita tidak dikenali di kawasan awam.

Walaupun bermasalah, Woodfield masih ditawarkan bermain dengan pasukan Green Bay Packers pada tahun 1974. Namun, dia seperti kelihatan tidak serius walaupun berbakat.

Berpeluang menjadi bintang

Woodfield tidak bertahan lama dalam National Football League (NFL). Green Bay Packers melepaskannya sebelum ditawarkan bermain oleh Manitowoc Chief. Pada penghujung musim, Manitowoc Chief pula melepaskannya.

atlet randall woodfield

Ketika beraksi untuk kedua-dua pasukan, dia terlibat dalam 10 kes mendedahkan alat sulit di negeri itu. Apabila karier sukannya terkubur, Woodfield pulang semula ke Portland.

Ketika ini, dia semakin ganas. Dia pernah menahan seorang wanita dan mengacukan pisau sambil mencabul sebelum merompak mangsa.

Bimbang dengan jumlah serangan seksual di kawasan itu, pihak berkuasa Portland melakukan operasi di mana pegawai polis wanita menyamar untuk menjadi umpan bagi menangkap suspek.

Woodfield terjatuh ke dalam jerat yang dipasang dan ditahan pihak polis. Semasa disoal siasat, dia mengaku bahawa mempunyai "masalah" seksual dan ketagihan steroid.

Dia mengaku bersalah dan dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun di Penjara Oregon pada 1975. Namun, dia dibebaskan hanya selepas 4 tahun dengan parol (dipantau dengan sekatan tertentu).

Tidak serik dengan hukuman

Baru sahaja dibebaskan, Woodfield menghadiri reunion sekolah menengahnya yang ke-10. Di sini dia berjumpa kembali dengan bekas rakan kelasnya, Cherie Ayers. Pada Oktober 1980, Cherie ditemui dirogol, diseksa dan ditikam sampai mati di pangsapurinya.

Dengan kematian Cherie, bermulalah siri pembunuhan Randall Woodfield. Sebulan kemudian, Darcey Fix dan Doug Altic ditembak mati di rumah mereka. Walaupun mangsa mengenali Woodfield, polis tidak mempunyai bukti kukuh untuk menahannya.

interstate 5

Woodfield tidak hanya merogol dan membunuh. Dia juga melakukan banyak rompakan bersenjata terutamanya terhadap peniaga kecil di sepanjang lebuhraya I-5. Kedai serbaneka, kedai ais krim dan stesen minyak adalah sasaran utamanya.

Para mangsa rompakan mula memberi gambaran Woodfield kepada pihak polis. Namun, dia cuba menghindari daripada ditangkap dengan pelbagai kaedah penyamaran seperti memakai jambang palsu.

Seperti kebanyakan pembunuh bersiri, Woodfield fikir dia bijak

Media mula menggelar suspek misteri sebagai "Perompak I-5". Pada Disember 1980, Woodfield merompak banyak premis kecil dan turut mencabul pekerja wanita apabila berpeluang.

Walaupun menggunakan pelbagai penyamaran, pihak polis mengesyaki Woodfield berikutan hubungannya dengan beberapa mangsa dan rekodnya sebagai banduan. Woodfield disoal siasat tetapi sekali lagi polis kekurangan bukti untuk menahannya.

Kejahatan Woodfield semakin tidak terkawal. Dia malah menyelinap ke sebuah pejabat untuk mencari mangsa di Keizer, Oregon. Shari Hull dan Beth Wilmot, dua pekerja wanita di bangunan itu menjadi mangsanya apabila diserang secara seksual sebelum ditembak.

randall ketika ditahan

Woodfield cuba menutup jejak dengan membunuh mangsanya. Hull meninggal dunia akibat ditembak di kepala tetapi Wilmot berjaya diselamatkan doktor.

Pada Februari 1981, Donna Eckard dan anak perempuannya berusia 14 tahun ditemui mati di rumah mereka di Mountain Gate, California. Mangsa juga dirogol. Beberapa hari kemudian, jenayah serupa dilaporkan di Yreka, California.

Woodfield terus melarikan diri sambil merompak, mencabul dan membunuh mangsa. Pada 15 Februari 1981, bekas teman wanita Woodfield, Julie Reitz, ditembak mati di kediamannya di Oregon.

Ini menyebabkan Woodfield sekali lagi menjadi suspek utama. Sebelum berjaya diberkas, Woodfield meneruskan beberapa lagi siri rompakan, serangan seksual dan bunuh.

Akhirnya jatuh ke tanah jua

Woodfield akhirnya ditangkap pada 3 March, 1981. Pangsapurinya digeledah dan beberapa mangsa yang hadir ke balai, termasuk Beth Wilmot mengecamnya sebagai suspek.

Banyak kes serangan seksual, rompakan bersenjata dan bunuh yang belum diselesaikan dilihat mempunyai kaitan dengan Woodfield. Polis kemudian mendapati satu corak yang menghubungkan kesemua kes-kes itu. Kesemua kes itu berlaku di kawasan yang dihubungkan oleh lebuhraya I-5.

randal woodfield 1

Satu perkara lagi yang boleh disabitkan adalah rekod telefon Woodfield. Dia mempunyai ramai "teman wanita" dan akan berhenti di mana sahaja untuk membuat panggilan di pondok telefon. Melalui rekod panggilan itu, polis mengetahui di mana dia berada ketika jenayah berlaku.

Tidak mengaku bersalah

Randall Woodfield didapati bersalah atas pembunuhan Shari Hull dan cubaan membunuh Beth Wilmot. Dia dijatuhkan hukuman penjara selama 35 tahun. Ketika dalam tahanan, dia masih lagi disabitkan dengan beberapa jenayah tetapi tidak mengaku bersalah. 

Kemajuan dalam teknologi forensik akhirnya mendedahkan jenayahnya. Pada 2012, DNA Woodfield membuktikan dia terlibat lagi dengan lima pembunuhan.

Namun, jumlah sebenar mangsa serangan seksual dan bunuh Woodfield tidak diketahui dengan tepat. Dia dipercayai membunuh sehingga 30 mangsa dan merogol sehingga 60 orang wanita.




Hakcipta iluminasi.com (2017)