Kisah Pinocchio sememangnya merupakan sebuah cerita kanak-kanak yang terkenal di seluruh dunia, namun kisah awalnya ternyata lebih sadis dan menakutkan daripada apa yang ditampilkan dalam versi Disney yang kita kenali hari ini.

Le Avventure di Pinocchio atau The Adventures of Pinocchio telah dihasilkan oleh Carlo Collodi, seorang penulis Itali yang berpengalaman dalam menerjemahkan cerita dongeng Perancis ke dalam bahasa ibundanya. Dia telah dijemput untuk menghasilkan novel kanak-kanak itu dan menemui kejayaan dengan kisah Pinocchio.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Penerbitan pertama Pinocchio adalah pada tahun 1881 dalam majalah kanak-kanak Giornale per i bambini. Ketika itu, sastera kanak-kanak merupakan satu bidang baru dalam penerbitan media massa. Peningkatan kadar celik huruf ketika itu juga membantu membentuk seni baru yang pertama kali ditujukan kepada golongan muda.

carlo collodi

Carlo Collodi. Photo Credit : Man of la Book

Pada waktu itu, jalan cerita Pinocchio yang ditulis oleh Collodi dipercayai sedikit sebanyak telah dipengaruhi oleh gaya penulisan Grimm bersaudara. Grimm bersaudara terkenal dalam menghasilkan kisah dongeng moden dan telah menghasilkan lebih daripada 200 cerita dongeng ketika itu.

Ketika kisah Pinocchio mula diterbitkan, ia dihasilkan dalam bentuk bersiri dan dimuatkan dalam majalah Giornale selama tempoh empat bulan. Collodi mengakhiri pengembaraan mistikal budak lelaki bernama Pinocchio itu dengan dia digantung kerana kesalahan yang dilakukannya.

Meskipun begitu, pengakhiran yang mengerikan ini tidak lagi dibenarkan dalam kesusasteraan kanak-kanak pada hari ini. Jadi, ia telah diubah dalam versi berbeza yang dikeluarkan oleh Disney pada tahun 1940 supaya lebih bersesuaian dengan kehendak semasa namun tidak mengurangkan populariti cerita itu.

pinocchio digantung

Photo Credit : Play Ground

Pembaca ketika itu terlalu obses dengan kisah Pinocchio dan mahukan lebih lagi. Collodi kemudian menghidupkan semula watak Pinocchio dengan bantuan magik Blue Fairy. Pinocchio kemudian terus melanjutkan pengembaraannya dengan melakukan lebih banyak kesalahan dan kenakalannya.

Pinocchio dihasilkan daripada kayu ajaib yang boleh berbicara oleh seorang tukang kayu bernama Geppetto yang sememangnya menginginkan seorang anak lelaki. Tidak lama kemudian, Pinocchio mempunyai keinginan seperti kanak-kanak lain untuk mengembara dan melihat dunia dengan lebih jauh lagi.

Dia mula mengembara dalam beberapa siri pengembaraan yang berbeza. Dalam pengembaraannya, dia menghabiskan wangnya dengan berjudi. Dia juga sering ditipu oleh watak jahat dan gagal menjadi seorang anak seperti yang diharapkan Geppetto.

jiminy cricket

Dalam kisah Pinocchio, Jiminy Cricket adalah seekor cengkerik yang boleh bercakap dan tinggal di sebuah rumah pembuat boneka. Dia sering menasihatkan Pinocchio agar tidak menjadi seorang budak yang nakal. Dalam versi asal, Pinocchio berang dengan nasihat cengkerik itu dan telah membaling sebatang penukul sehingga menyebabkan Jiminy mati.

Satu lagi perincian yang diubah dalam kisah Pinocchio ialah penamaan semula Toyland kepada Pleasure Island. Dalam kisah asal, Pinocchio telah melarikan diri dengan seorang teman yang baru dikenalinya ketika ingin ponteng sekolah ke Toyland, sebuah tempat di mana semua orang tidak perlu bekerja.

Mereka menghabiskan masa selama lima bulan di Toyland dengan bermain setiap hari. Mereka melakukan pelbagai perkara yang tidak bermoral tetapi telah diubah dalam versi Disney menjadi pengajaran kepada kanak-kanak bahawa berjudi, merokok dan minum arak adalah satu kesalahan.

pleasure island

Antara versi asal tulisan Collodi ialah apabila Pinocchio dan rakannya mula berubah menjadi keldai kerana cuai dan sering melakukan kesalahan dalam pengembaraan mereka di Toyland atau Pleasure Island.

Dia dan rakannya yang sepenuhnya bertukar menjadi keldai itu kemudian dijual kepada seorang lelaki. Lelaki itu kemudian cuba membunuh keldai yang dibelinya itu dengan melemaskan mereka dalam laut supaya dia boleh mengambil kulit haiwan itu untuk digunakannya.

le avventure di pinocchio 564

Ketika dilemaskan, ikan-ikan yang berada dalam laut telah memakan daging rakannya tetapi Pinocchio berjaya melepaskan diri daripada dimakan sekaligus meloloskan diri daripada cengkaman lelaki jahat itu. Versi asal ini dilihat tidak sesuai untuk pembaca daripada golongan kanak-kanak.

Walaupun kisah asalnya mempunyai banyak sisi gelap, Le Avventure di Pinocchio atau The Adventures of Pinocchio telah diterjemahkan dalam lebih 300 bahasa sehingga tahun 2018. Ia merupakan buku sekular paling banyak diterjemahkan di seluruh dunia.

Rujukan:

1. Today I Found Out

2. Slate

3. Bloody Disgusting




Hakcipta iluminasi.com (2017)