pengasas atari

Zaman permainan video bermula sekitar tahun 1950-an. Walau bagaimanapun, ianya mula berkembang pesat pada tahun 1970-an apabila wujudnya konsep permainan video arked dan penciptaan konsol permainan video yang boleh dimainkan dirumah.

Antara syarikat yang banyak menyumbang kepada perkembangan awal industri permainan video ini adalah Atari. Rata-rata peminat video pada masa kini tidak berpeluang untuk merasai pengalaman bermain menggunakan konsol keluaran Atari kerana syarikat ini telahpun gulung tikar sekitar tahun 1994 - 1996.

Kelahiran syarikat Atari

logo atari

Pada tahun 1971, Nolan Bushnell dan Ted Dabney telah bersama-sama menubuhkan syarikat Syzygy Engineering dan mencipta permainan video arked pertama di dunia yang dikenali sebagai Computer Space. Permainan ini dicipta berdasarkan permainan video Spacewar! yang dicipta oleh Steve Russell beberapa tahun sebelum itu.

Tidak lama kemudian, syarikat Syzygy Engineering ini telah dijenamakan semula menjadi Atari. Kira-kira setahun selepas kemunculan Computer Space, Atari telah menghasilkan pula permainan video Pong. Permainan ini merupakan idea salah seorang pekerja Atari, Allan Alcorn. 

Meminati konsep permainan yang dicetuskan oleh pekerjanya itu, Nolan Bushnell telah bersetuju untuk menghasilkan permainan Pong dan mengkomersilkan permainan ini dengan konsep permainan video arked. Ternyata ianya satu langkah yang bijak dan membuka lembaran baru dalam dunia permainan video apabila syarikat-syarikat lain turut mengeluarkan permainan video yang seakan-akan mirip dengannya.

Penjualan Atari kepada Warner Communications

produk atari 370

Pada tahun 1975, iaitu kira-kira 3 tahun permainan video Pong dikeluarkan, Atari telah mengeluarkan versi terbaru permainan ini dalam konsep konsol. Dalam erti kata lain, peminat Pong ini boleh memainkan permainan video ini di kaca televisyen di rumah masing-masing.

Sekitar 150,000 unit konsol ini telah terjual. Setahun kemudian iaitu pada tahun 1976, syarikat ini telah dijual kepada Warner Communications pada nilai harga $28 juta. Penjualan syarikat ini turut sama dibantu oleh kejayaan yang dicapai daripada penjualan permainan konsol Pong. 

Menjelang 1980, permainan konsol Pong telah mencatatkan jualan sebanyak $415 juta. Pada tahun ini jugalah, syarikat ini telah mengeluarkan komputer peribadi pertamanya. Nolan Bushnell  juga masih bersama dengan syarikat ini sebagai Presidennya.

Penjualan semula Atari

atari st

Walaupun telah mencatatkan kejayaan dengan penjualan konsol Pong dan penghasilan komputer riba Atari, syarikat Warner Communications masih lagi mencatatkan kerugian teruk. Menjelang 1983, syarikat ini telah mencatatkan kerugian berjumlah $533 juta.

Pada tahun 1984, Warner Communications telah menjual kembali Atari kepada Jack Tramiel. Jack Tramiel tidak menunggu lama sebelum mengeluarkan komputer  terbaru Atari, Atari St. Produk tersebut boleh dianggap sesuatu yang membanggakan dan telah mencatatkan jualan sekitar $25 juta pada tahun 1986.

Zaman kejatuhan Atari

video game atari

Pada tahun 1989, Atari telah mengeluarkan Atari Lynx, sebuah konsol mudah alih (hand held) yang dianggap lebih maju apabila menggunakan grafik berwarna. Malangnya, akibat beberapa masalah teknikal, Atari Lynx kurang mendapat sambutan. 

Sebaliknya, Game Boy yang dihasilkan oleh Nintendo lebih mendapat perhatian walaupun hanya menggunakan grafik dwi-warna kerana ianya lebih murah, mempunyai bateri tahan lebih lama dan lebih mudah didapati. Pada tahun 1989, Atari menyaman Nintendo sebanyak $250 juta atas alasan ianya telah memonopoli pasaran secara tidak sah.

atari lynx

Malangnya, pada tahun 1992 mahkamah menolak permohonan saman tersebut. Pada tahun yang sama juga, Atari mengeluarkan permainan video Jaguar bagi menyaingi produk Nintendo. Walaupun menggunakan teknologi yang lebih canggih, ianya kurang diminati kerana harganya dua kali ganda lebih mahal daripada produk Nintendo.

Kegagalan demi kegagalan dan kewujudan syarikat pengeluar permainan video baru terus mengurangkan pengaruh Atari dalam industri ini. Pada tahun 1994, syarikat Sega telah melaburkan $40 juta dalam Atari untuk memperoleh segala paten yang dimiliki syarikat ini.

atari jaguar

Pada Julai 1996, Atari telah bergabung dengan JTS Inc. dan membentuk JTS Corporation. JTS Inc. merupakan sebuah syarikat menghasilkan cakera keras. Dengan penggabungan ini, fungsi dan pengaruh Atari semakin berkurangan dan lama-kelamaan, jenama Atari terus hilang daripada industri pasaran permainan video.

Dua tahun kemudian, iaitu pada 1998, JTS telah bertindak menjual pula segala aset Atari seperti hak cipta, tanda dagang dan paten kepada Hasbro Interactive pada harga hanya $5 juta.

Kredit:

  1. WikiPedia
  2. Digital Spy
  3. IGN
  4. Variety

tags : , , , ,



Hakcipta iluminasi.com (2017)