sejarah sistem cap jari

Cap jari merupakan salah satu keunikan yang ada pada manusia. Ianya begitu unik sehinggakan tiada 2 orang manusia pun memmpunyai cap jari yang sama, termasuklah pasangan kembar.

Sistem pengenalan berdasarkan cap jari ini mula diperkenalkan pada tahn 1903 selepas peritiwa 2 orang banduan yang mempunyai rupa dan fizikal yang sama telah disumbat ke dalam penjara kerana pihak berkuasa tidak dapat membezakan antara keduanya.

Sekiranya anda ingin membaca dengan lebih mendalam mengenai sejarah pengenalan sistem cap jari, kami pernah menulisnya dahulu dalam artikel Sejarah Bagaimana Sistem Pengenalan Cap Jari Tercipta, serius menarik untuk dibaca.

Namun, timbul persoalan. Adakah benar semua manusia mempunyai cap jari?

Keunikan keluarga Sarker

tiada cap jari

Di dunia di mana cap jari adalah data biometrik yang paling banyak dikumpulkan dan digunakan, sekiranya ada hidup tanpa mempunyai cap jari ia adalah satu rahmat dan pada masa sama boleh menjadi satu permasalahan. Itulah yang dihadapi oleh kaum lelaki dalam keluarga Sarker dari Bangladesh sejak sekian lamanya.

Selama beberapa generasi, kaum lelaki Sarker dilahirkan dengan hujung jari yang benar-benar halus dan tidak mempunnyai cap jari. Walaupun itu mungkin bukan masalah besar satu atau dua generasi yang lalu, pada masa kini, cap jari menjadi cara mengenalpasti identiti seseorang individu maka ianya merupakan masalah besar.

Contohnya, beberapa lelaki dalam keluarga Bangladesh ini tidak dapat memperoleh lesen memandu kerana ketiadaan cap jari, sementara yang lain enggan melakukan perjalanan jauh kerana takut mendapat masalah di lapangan terbang dengan alasan yang sama.

Masalah dalam kehidupan seharian

sistem cap jari

"Saya membayar yuran, lulus ujian, tetapi mereka tidak mengeluarkan lesen kerana saya tidak dapat memberikan cap jari," kata Amal Sarker ini kepada pihak BBC dalam sebuah wawancara. "Ini adalah pengalaman yang memalukan bagi saya", tambahnya.

Amal menyatakan bahawa dia selalu membawa resit lesen memandu ketika memandu motosikalnya tetapi itu tidak membantunya sekiranya ditahan polis. Dia sering memberitahu hujung jari yang halus menyebabkannya tidak mempunyai cap jari, tetapi dia tidak pernah terlepas daripada disaman pegawai polis yang menyangkanya cuba menipu.

Membeli kad SIM juga merupakan masalah bagi kaum lelaki keluarga Sarker kerana kerajaan Bangladesh memperkenalkan undang-undang untuk menetapkan pembelian kad SIM dengan memadankan cap jari mereka dengan pangkalan data nasional. Tanpa cap jari, Apu dan Amal Sarker tidak dapat membeli kad SIM mereka sendiri dan kini kedua-duanya menggunakan kad yang dibeli atas nama ibu mereka.

Lelaki-lelaki dalam keluarga Sarker dari daerah Rajshahi di utara Bangladesh ini menderita keadaan genetik yang sangat jarang ditemui dikenali sebagai Adermatoglyphia.

Masalah genetik ini baru diketahui pada tahun 2007, ketika Peter Itin, seorang dermatologi Swiss, melakukan ujian terhadapan seorang wanita muda Switzerland yang menghadapi masalah masuk ke Amerika Syarikat kerana dia tidak mempunyai cap jari. Wajahnya sepadan dengan pasportnya, tetapi hujung jarinya begitu licin dan tidak mempunyai cap jari.

Masalah genetik Adermatoglyphia

masalah genetik adermatoglyphia 403

Pemeriksaan terhadap jari pesakit Adermatoglyphia pertama ini dan beberapa anggota keluarganya menunjukkan penyebab keadaan tersebut berpunca daripada mutasi satu gen yang dikenali sebagai SMARCAD1.

Keadaan itu, yang kemudian dikenal sebagai "penyakit kelewatan imigrasi" nampaknya tidak mempunyai kesan kesihatan lain selain daripada ketiadaan cap jari. Adermatoglyphia sangat jarang berlaku sehingga kini hanya dapat dilihat di segelintir keluarga sahaja di seluruh dunia.

Ahli dermatologi Eli Sprecher yang membantu Profesor Peter Itin mendiagnosis keadaan itu, telah menawarkan untuk menguji secara genetik kaum lelaki dalam keluarga Sarker dan menentukan apakah mereka menderita Adermatoglyphia.

Kulit jari individu dengan adermatoglyphia adalah rata dan sangat licin - mereka tidak mempunyai lekukan melengkung atau gelung yang mencirikan cap jari hampir semua manusia. Individu dengan masalah ini sihat sepenuhnya namun mereka mempunyai jumlah kelenjar peluh yang sedikit kurang.

Masa depan cerah dengan kemajuan teknologi

pengimbas mata

Walaupun penemuan ini dapat memberikan penjelasan terhadap apa yang sebenarnya berlaku kepada mereka, penemuan ini tidaklah menghentikan penderitaan kepada mereka di mana cap jari menjadi sangat penting di seluruh dunia sebagai identiti diri.

Walau bagaimanapun, nasib mereka mungkin akan bertambah baik pada masa hadapan dengan bantuan teknologi. Contohnya, Apu, abang dan ayahnya telah diberikan kad pintar yang mengandungi imbasan retina mata mereka.

Menurut Jabatan Kad Pengenalan Nasional, lelaki daripada keluarga ini mungkin boleh mendapatkan dokumen yang mereka perlukan seperti lesen memandu kelak dengan mengenal pasti diri mereka melalui teknologi imbasan retina atau pengecaman wajah.

Kredit:

  1. Wikipedia
  2. National Geographic
  3. Smithsonian Magazine


Hakcipta iluminasi.com (2017)