Oleh pada 09 Sep 2019 kategori

Cap jari adalah kesan yang ditinggalkan oleh geseran jari manusia. Jari manusia mempunyai kelembapan dan gris, menyebabkan cap jari melekat pada permukaan seperti kaca dan logam yang disentuh.

Cap jari manusia adalah terperinci, unik, sukar diubah dan sangat tahan sepanjang hidup seorang manusia itu. Ini menjadikannya sesuai untuk dijadikan sebagai pengenalan kepada seseorang individu. Anda pasti pernah melihat pihak berkuasa membuat pengecaman cap jari dalam banyak rancangan TV.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Namun, tahukah anda bagaimana kaedah ini boleh tercipta? Bagi mereka yang berada dalam bidang keselamatan atau siasatan, mereka pasti tahu mengenai kisah dua orang banduan iaitu Will dan William West. Banduan di Penjara Leavenworth, Amerika Syarikat, ini memainkan peranan penting dalam sejarah penggunaan cap jari sebagai satu kaedah pengecaman.

Sistem Bertillion

alphonse bertillion

Alphonse Bertillion

Pada tahun 1880, seorang doktor Scotland yang menetap di Tokyo, Jepun, telah menerbitkan sebuah artikel dalam jurnal saintifik "Nature" di mana dia membincangkan cap jari merupakan pengenalan peribadi seseorang. Dia juga menerangkan bagaimana dakwat pencetak dapat digunakan untuk mendapatkan cap jari seseorang itu.

Walau bagaimanapun, seorang antropoligi Perancis iaitu Alphonse Bertillion telah memperkenalkan kaedah baru untuk mengenal pasti seseorang individu pada tahun 1882.

sistem bertillion

Sistem Bertillion

Formula Bertillion itu melibatkan pengambilan ukuran badan seseorang dan merekodkannya pada sekeping kad. Kaedah pengelasan ini kemudian dikenali ramai sebagai Sistem Bertillion.

Selama lebih dari 20 tahun, Sistem Bertillion menjadi popular dan digunakan secara meluas dalam pengenalan diri seseorang individu. Ketika itu, sistem pengenalan cap jari masih tidak begitu dikenali tetapi semakin mendapat perhatian para pengkaji dan penyelidik.

perincian galton aka galton details

Perincian Galton

Salah seorangnya ialah ahli antropologi Inggeris, Sir Francis Galton, yang merupakan sepupu kepada Charles Darwin. Pada tahun 1892, dia menerbitkan buku pertama mengenai cap jari dan kini ia dikenali sebagai 'Perincian Galton'.

Pada tahun 1901, Sir Edward Henry yang merupakan Inspektor Jeneral Polis di Bengal, India, telah membangunkan sistem pengelasan cap jari yang pertama di dunia. Sistem ini digunakan secara rasmi buat pertama kalinya di England.

Kes Will dan William West

will dan william west

Pada tahun 1903, terjadi satu kes di Penjara Persekutuan di Leavenworth, Kansas, yang menyebabkan orang ramai mengubah cara mereka mengelas pengenalan diri seseorang individu. Kes ini dikenali sebagai Kes Will dan William West.

Apabila seorang lelaki bernama Will West dihantar menjalani hukuman di Penjara Leavenworth pada tahun 1903, dia didaftarkan sama seperti semua penghuni lain menggunakan Sistem Bertillion.

cap jari will dan william west

Cap jari Will dan Willam West

Wajahnya difotokan dan ukuran badannya diambil. Setelah selesai semua proses ini, pihak penjara perasan bahawa ada seorang lagi banduan bernama William West yang dipenjarakan di situ. Dia mempunyai nama, ukuran Bertillion dan wajah yang sangat serupa dengan Will West tetapi tidak mempunyai sebarang pertalian darah.

Insiden yang berlaku ini menyebabkan keberkesanan Sistem Bertillion dipersoalkan. Banyak pihak yang merasakan agar suatu kaedah baru yang lebih berkesan dalam pengenalan diri perlu digunakan.

merekod cap jari

Ketika penggunaan Sistem Bertillion semakin merosot, penggunaan sistem cap jari dalam mengenal pasti dan pengelasan individu semakin meningkat. Selepas tahun 1903, kebanyakan penjara mula menggunakan sistem cap jari sebagai sistem utama untuk mengenal pasti banduan yang didaftar masuk.

Sistem cap jari menjadi kegunaan rasmi

Beberapa tahun kemudian, pihak tentera dan polis juga mula menggunakan sistem cap jari sebagai sistem pengenalan rasmi. Sebenarnya, sistem cap jari ini sudah digunakan lebih awal untuk membuktikan kes jenayah sebelum ia menjadi popular.

cap jari francisca rojas

Cap jari Francisca Rojas

Pada tahun 1891, Pegawai Polis Argentina iaitu Juan Vucetich telah memulakan penggunaan cap jari ke atas kes jenayah. Kes pertama yang berjaya diselesaikannya menggunakan cap jari ialah pada tahun 1892.

Seorang wanita bernama Francisca Rojas telah membunuh dua orang anaknya sebelum mencederakan dirinya sendiri agar kelihatan seperti ia dilakukan oleh orang lain. Berdasarkan bukti cap jari, Rojas akhirnya mengaku bahawa dia yang melakukan pembunuhan itu.

sistem afis

Pada tahun 1980, pangkalan data komputer cap jari pertama telah dibangunkan. Ia dikenali sebagai Automated Fingerprint Identification System (AFIS). Pada hari ini, lebih daripada 700 juta cap jari individu yang telah didaftarkan dalam AFIS.

Seiring dengan kemodenan, kaedah pengenalan diri juga menjadi semakin maju. Kini terdapat pelbagai kaedah pengenalan diri seperti pengimbas anak mata, suara dan mengimbas muka. Akan tetapi, sistem cap jari masih lagi digunakan secara meluas di seluruh dunia.

Rujukan:

1. Sejarah sistem pengenalan cap jari

2. Kes Will dan William West

3. Bagaimana cap jari menjadi pengenalan diri paling popular




Hakcipta iluminasi.com (2017)