Bayangkan anda sedang memandu di jalan raya, tiba-tiba anda boleh mendengar satu melodi atau lagu yang terhasil daripada gegaran dari tayar anda apabila melalui satu bahagian di jalan tersebut. Menariknya, bunyi ini bukanlah dihasilkan oleh radio, alat pembesar suara atau apa-apa alat bantuan suara yang lain, sebaliknya terhasil daripada gegaran kereta anda ketika melalui jalan tersebut. 

BESARKAN TEKS     A-  A+

Di jalan raya, kita biasa melihat "jalur rentas kuning" yang memberi amaran kepada pemandu untuk memperlahankan kenderaan kerana menghampiri persimpangan atau tanda amaran anda sedang memasuki kawasan kerap kemalangan. Gegaran yang dihasilkan ketika melalui garisan ini akan mengingatkan pemandu untuk memperlahankan kenderaan.

Namun, di beberapa buah negara seperti Jepun, mereka telah mencipta variasi pelbagai jalur dimana apabila kenderaan melaluinya, ia akan menghasilkan pelbagai jenis melodi yang bersambung-sambung menjadi sebuah lagi. 

Penambahan "fungsi" unik sebegini asalnya diwujudkan sekadar fungsi kosmetik yang menghiburkan pengguna jalan raya bagi mewujudkan mood keseronakan kepada pemandu supaya mereka lebih fokus. 

Penemuan secara tidak sengaja

    

Seorang jurutera Jepun bernama Shizuo Shinoda sedang menggali dengan jentolak ketika dia secara tidak sengaja mengikis beberapa tanda jalan dengan mesinnya itu. Kemudian ketika dia memandu di atas tanda jalan itu, dia menyedari bahawa getaran yang dihasilkan di dalam keretanya dapat didengar sebagai sebuah melodi.

Pada tahun 2007, sepasukan jurutera dari Institut Penyelidikan Perindustrian Hokkaido menyempurnakan reka bentuk Shinoda dan membina sejumlah "jalan muzikal" di Jepun. Jalan-jalan ini mempunyai garisan yang dipotong dengan pelbagai ketebalan dan panjang serta pada sela waktu yang sangat spesifik di sepanjang permukaan jalan.

Bergantung pada seberapa jauh jarak alur dan seberapa dalam ia, sebuah kereta yang bergerak di atasnya akan menghasilkan serangkaian nada tinggi atau rendah, membolehkan para jurutera ini menghasilan nada yang berbeza. Semakin dekat alur, semakin tinggi nada bunyi yang dihasilkan.

jalan paling unik di dunia 965

Namun, faktor terpenting dalam memastikan melodi yang dihasilkan seperti yang dirancang adalah kelajuan kereta itu sendiri. Secara tidak langsung, ianya menggalakkan kenderaan memperlahankan kenderaan mengikut papan tanda halaju yang diletakkan di tepi jalan tersebut.

Jalan muzikal pertama walaubagaimanapun bukanlah dihasilkan oleh orang Jepun. Ia pertama kali dihasilkan di Gylling, Denmark oleh dua pengkarya senia Denmark, Steen Krarup Jensen dan Jakob Freud-Magnus pada Oktober 1995.

Dikenali sebagai Asphaltophone, jalan ini diperdibuat dari beberapa siri garisan jalan dengan pelbagai ketebalan, dijarakkan pada sela waktu tertentu sehingga ketika kenderaan bergerak di atas garisan penanda tersebut, getaran yang disebabkan oleh roda dapat didengar di dalam kereta.

Jalan raya muzikal di Jepun

jalan muzikal jepun

Terdapat empat (mungkin lebih lagi) jalan muzikal di Jepun, masing-masing di Hokkaido, Wakayama, Shizuoka dan Gunma. Kesemuanya memainkan lagu yang berbeza. Jalan-jalan ini dibuat sepanjang antara 175 hingga 250 meter dan melodi ini terhasil daripada puluhan hingga ratusan garisan pada jalan-jalan ini.

Selain papan tanda jalan, jalan-jalan unik ini ditandai dengan nota muzik berwarna yang dilukis di permukaan jalan yang memberi amaran kepada pengguna kenderaan mengenai bunyi muzik yang bakal mereka dengar. Alur garisan melodi ini diletakkan berhampiran tepi jalan dan bukan di tengah, jadi pemandu mempunyai pilihan untuk melaluinya atau menghindarinya.

Untuk mendengar lagu, pemandu perlu memastikan tingkap kereta ditutup dan memandu dengan kelajuan 45km/j dengan satu roda di atas alur. Sekiranya terlalu laju, ia akan berbunyi seperti pita dimainkan dengan laju sementara memandu terlalu perlahan akan memberi kesan sebaliknya.

Bukan sekadar untuk hiburan

jalan muzikal

Idea jalan muzikal ini menarik minat para jurutera di beberapa negara lain. Terdapat satu "Singing Road" di Korea Selatan yang berdekatan dengan Anyang di Gyeonggi. Ia akan menghasilkan lagu "Mary Had a Little Lamb" apabila kereta melaluinya. 

Tidak seperti jalan muzikal lain, ia dirancang bukan untuk menarik pelancong tetapi untuk membantu pemandu tetap berwaspada dan fokus memandu. Laluan "Singing Road" terletak di bahagian lebuh raya yang sangat berbahaya di mana banyak kemalangan berlaku kerana pemandu tertidur atau memandu laju.

Mengikut statistik, 68% kemalangan jalan raya di Korea Selatan disebabkan oleh kecuaian pemandu yang tidak fokud, tidur atau memandu laju. Oleh itu, fungsi jalan muzikal di Korea ini adalah sebagai fungsi keselamatan tambahan untuk mengurangkan kemalangan di kawasan tersebut. 

Amerika Syarikat mendapat jalan raya muzikal pertamanya pada tahun 2008. Ia pada mulanya dibina di Avenue K di Lancaster, California untuk sebuah iklan komerisal Honda. Dinamakan "The Civic Musical Road" sempena model Honda Civic, ia dibina sepanjang suku batu jauh dan menghasilkan melodi dari bahagian akhir lagu 'William Tell Overture'.

Jalan muzik lain yang wujud terletak di perkampungan Tijeras di New Mexico. Memandu di garisan khas ini pada kelajuan 70km/j membolehkan pemandu mendengar melodi dari lagu  terkenal "America the Beautiful". Projek ini dibiayai oleh National Geographic Society, dan dikawal selia oleh Jabatan Pengangkutann New Mexico yang mengatakan bahawa motif sebenar di sebalik jalan muzikal ini adalah membuat pemandu memperlahankan kenderaan.

Kredit:

  1. Inside Hook
  2. Atlas Obscura
  3. Wikipedia



Hakcipta iluminasi.com (2017)