Sama ada anda sedar atau tidak, rumah anda dipenuhi dengan zarah mikroskopik dan bahan pencemar lain yang boleh menjejaskan kesihatan anda pada tahap tertentu. Sama ada jelaga lilin, gentian mikro pakaian atau protein yang terhasil daripada haiwan peliharaan, semuanya boleh merengsakan paru-paru anda dan mencetuskan alahan.

Bahkan, pendedahan terhadap bahan pencemar kadangkala lebih teruk di dalam rumah berbanding di luar dan kita menghabiskan kebanyakan masa berada di dalam rumah. Kajian mendapati bahawa tahap pencemaran udara di rumah mungkin dua hingga lima dan kadangkala lebih daripada 100 kali ganda berbanding luar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Salah satu sumber pencemaran udara yang paling biasa di dalam rumah adalah dapur gas di mana kebanyakan rakyat Malaysia menggunakannya. Gas yang dibakar biasanya terdiri daripada metana (70-90%), bersama dengan etana, butana dan propana.

Apabila dibakar, gas tersebut akan menghasilkan bahan sampingan yang kebanyakannya boleh memudaratkan.

Kesan terhadap alam sekitar

Selain itu, penggunaan dapur gas turut memberikan kesan terhadap perubahan iklim. Kajian daripada Universiti Stanford yang diterbitkan dalam jurnal Sains Alam Sekitar & Teknologi mendapati bahawa metana masih bocor daripada dapur gas walaupun semasa dimatikan.

bahaya dapur gas

Mereka menganggarkan bahawa jumlah metana yang dihasilkan oleh dapur gas di Amerika setiap tahun mempunyai kesan iklim yang sama dengan pelepasan karbon dioksida daripada kira-kira 500,000 buah kereta.

Walaupun metana berada di udara untuk masa yang lebih singkat berbanding karbon dioksida tetapi ia mempunyai potensi pemanasan sebanyak 86 kali ganda berbanding karbon dioksida dalam tempoh 20 tahun.

Kini, bandar-bandar utama seperti New York, California dan Washington akan mula mengharamkan sebarang bentuk penggunaan perkakasan dapur berasaskan gas pada bangunan baru bermula seawal tahun 2023.

Walaupun kesan dapur gas terhadap iklim menjadi pendorong utama peraturan dan penyelidikan baru dilaksanakan, ia sebenarnya turut memberi kesan terhadap kesihatan anda juga.

Kesan terhadap kesihatan

Selain metana, dapur gas turut menghasilkan karbon monoksida, nitrogen oksida, bahan zarah, nitrogen dioksida dan formaldehid setiap kali anda menyalakan api.

pencemaran dapur gas

Menurut laporan yang dikeluarkan pada tahun 2008, rumah dengan dapur gas mempunyai purata kepekatan nitrogen dioksida 50% sehingga lebih 400% berbanding rumah yang menggunakan dapur elektrik.

Sama ada bahan toksik ini boleh merosakkan paru-paru anda bergantung pada tahap dan tempoh anda terdedah kepadanya. Namun, ia lebih berbahaya bagi sesetengah orang berbanding yang lain. Nitrogen dioksida khususnya sering dikaitkan dengan masalah pernafasan seperti asma.

Menurut Dr. Jamie Garfield dari Temple University di Philadelphia, secara amnya apabila terjadi pendedahan berterusan kepada sesuatu selain oksigen, paru-paru anda akan menerima kesannya.

Bagi mereka yang tidak mempunyai ventilator atau sistem pengudaraan yang lemah terutamanya di dapur yang lebih kecil, mereka lebih berisiko tinggi terdedah pada paras bahaya nitrogen dioksida.

Lebih bahaya bagi sesetengah orang

Menurut Dr. Garfield, jika seseorang itu sihat dan mempunyai dapur yang luas serta sistem pengudaraan yang baik, tidak perlulah terlalu risau akan kesan penggunaan dapur gas.

dapur hong kong

Sebaliknya, pencemaran yang dihasilkan mungkin akan memberi kesan yang lebih tinggi kepada mereka yang menghidap atau mengalami keadaan pernafasan seperti asma dan penyakit paru-paru kronik. 

Dalam kajian yang diterbitkan antara tahun 1977 hingga 2013 dari seluruh dunia mendapati bahawa kanak-kanak yang tinggal di rumah dengan dapur gas dan sistem pengudaraan yang teruk mempunyai risiko mengalami asma 32% lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang tinggal di rumah tanpa dapur gas.

Salah satu lagi golongan yang berisiko tinggi adalah tukang masak atau chef yang menghabiskan masa selama 6-10 jam berada di dapur yang menggunakan dapur gas. Walaupun mempunyai sistem pengudaraan yang baik, pendedahan dalam tempoh yang panjang tetap akan memberikan kesan.

Langkah kurangkan pencemaran dapur gas

Terdapat beberapa langkah untuk mengurangkan pendedahan dan risiko pencemaran dapur gas. Namun, langkah-langkah ini mungkin lebih sukar bagi mereka yang tinggal di rumah kos rendah atau pangsapuri yang kecil.

pencemaran dalam rumah

Selain ruang dapur yang kecil, rumah kos rendah biasanya terletak di kawasan yang mempunyai tahap pencemaran udara luar yang tinggi. Membuka pintu atau tingkap semasa memasak akan membantu tetapi pencemaran dari luar juga boleh memasuki ruangan dalam rumah.

Bagi mereka yang mampu, pemasangan ventilator adalah salah satu cara terbaik untuk menyedut keluar pencemaran dapur gas tanpa menyebabkan udara tercemar dari luar masuk. Penggunaan dapur elektrik juga merupakan langkah terbaik tetapi ia bukanlah mampu dimiliki semua.

Selain itu, anda juga boleh memasang alat pengesan karbon monoksida, cuci dapur dan ventilator dengan lebih kerap serta menjauhkan kanak-kanak dari dapur ketika memasak.

Pastikan hujung api dapur gas anda berwarna biru. Ini kerana nyalaan berwarna kuning di hujung menunjukkan pelarasan yang tidak betul dan boleh meningkatkan pencemaran.




Hakcipta iluminasi.com (2017)