Dalam usaha memelihara alam sekitar, beberapa kerajaan luar negara telah memperkenalkan beberapa polisi baru bagi mengurang dan mengehadkan pelepasan bahan pencemaran ke alam sekitar. Sebagai contoh, China sudah mengharamkan kilang-kilang yang menggunakan bahan bakar daripada arang.

Sementara itu, bagi syarikat-syarikat persendirian, usaha-usaha untuk memelihara alam sekitar ini dilihat sebagai peluang emas untuk membuat banyak duit. Produk-produk yang didakwa lebih mesra alam sememangnya akan menjadi pilihan pembeli yang ingin memelihara alam sekitar.

Walau bagaimanapun, adakah semua produk yang didakwa dapat mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar ini sememangnya berkesan? Kali ini, kami ingin berkongsi 5 produk yang didakwa kurang mencemarkan alam sekitar walhal ianya mempunyai kesan lebih buruk kepada alam sekitar.

BESARKAN TEKS     A-  A+

1. Pengering tangan

Pengering tangan ini biasa kita lihat di tandas-tandas awam di seluruh negara tidak kiralah di pusat membeli belah mahupun kawasan rehat dan rawat di lebuh raya. Penggunaan pengering tangan ini adalah bagi mengurangkan penggunaaan tisu di tandas bagi mengeringkan tangan. Penggunaan tisu didakwa tidak mesra alam memandangkan banyak pokok perlu ditebang bagi menghasilkannya.

Adakah ianya dapat mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar? Sebenarnya fakta ini tidak berapa tepat. Pengering tangan menggunakan banyak tenaga elektrik. Untuk mengeringkan tangan, secara purata 40 saat diperlukan bagi memastikan tangan anda betul-betul kering dan tempoh yang lama ini sebenarnya menyumbang kepada kos yang tinggi jika dibandingkan dengan sehelai tisu untuk mengeringkan tangan.

2. Kereta elektrik

kereta elektrik 464

Terkejut melihat kereta elektrik berada dalam senarai ini? Banyak syarikat kenderaan antaranya Tesla sangat aktif membuat penyelidikan dan mempromosikan penggunaan kereta elektrik berbanding kerata konvensional yang menggunakan petrol atau diesel kerana dakwaan bahawa kereta elektrik tidak melepaskan gas karbon dioksida ke udara.

Walau bagaimanapun, mungkin ramai yang tidak tahu bahawa proses menghasilkan bateri kereta elektrik ini sebenarnya menghasilkan karbon dioksida yang jauh lebih tinggi. Mengikut kajian yang dilakukan oleh Swedish Environmental Research menunjukkan penghasilkan bateri kereta Nissan Leaf yang mempunyai kapasiti 30 kilowatt-jam menghasilkan 150 hingga 200 kilogram gas karbon dioksida per kilowatt-jam. Oleh itu, penghasilan bateri bagi kereta ini sahaja sudah menghasilkan 5 tan gas karbon dioksida ke udara.

Walaupun kereta elektrik mempunyai potensi besar dalam memelihara alam sekitar, lebih banyak kajian perlu dibuat untuk memastikan proses pembuatannya tidak mempunyai kesan lebih besar kepada alam sekitar.

3. Penggunaan buluh untuk hasilkan pakaian

buluh

Mungkin tidak di Malaysia tetapi di luar negara penggunaan buluh sebagai alternatif untuk menghasilkan pakaian didakwa lebih mesra alam sekitar memandangkan buluh lebih cepat tumbuh dan tidak memerlukan baja mahupun racun yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Walau bagaimanapun, ramai yang tidak tahu bahawa proses menukar buluh kepada bahan fabrik itu sendiri menggunakan banyak bahan kimia dan acid, antaranya sodium hidroksida. Walaupun sesetengah syarikat sudah mempunyai polisi bagi mengawal penggunaaan dan pencemaran bahan kimia ini, penghasilan pakaian yang diperbuah daripada buluh terutamanya yang dihasilkan di China sebenarnya masih belum dapat dikawal memandangkan tiada undang-undang khas bagi membendung perkara ini.

4. Minyak ethanol daripada tanaman

penghasilan minyak daripada jagung

Bagi mengatasi kekurangan sumber tenaga tidak boleh diperbaharui (non-renewable energy), penghasilkan minyak ethanol daripada jagung dilihat sebagai alternatif berbanding petrol.

Walau bagaimanapun, sebuah kajian menunjukkan penggunaan jagung untuk menghasilkan ethanol dan minyak lain sebenarnya membebaskan lebih banyak gas rumah hijau. Selain, proses penanaman jagung juga sebenarnya menggunakan lebih banyak baja dan racun kimia.

5. Panel tenaga solar

solar panel 671

Selain kereta elektrik, penggunaan tenaga solar juga dilihat mempunyai potensi yang besar kerana ianya adalah sejenis tenaga boleh diperbaharui (renewable energy). Sama seperti penghasilan bateri lithium pada kereta elektrik yang menghasilkan banyak gas karbon dioksida, kritikan terhadap tenaga solar adalah berkaitan proses untuk menghasilkan panel solar itu sendiri.

Penghasilan panel biasanya akan menggunakan pelbagai jenis bahan kimia seperti sodium hidroksida dan hydrofluorik asid, selain penggunaan tenaga elektrik yang banyak. Panel ini juga diperbuat daripada bahan besi yang sukar ditemui seperti tellurium dan indium. Apabila sudah tidak digunakan (rosak atau perlu diganti), bahan besi ini tidak dapat dikitar semula.

Sebenarnya, setiap produk di atas mempunyai potensi yang sangat besar untuk mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar. Walau bagaimanapun, undang-undang yang lebih ketat serta proses penghasilannya yang lebih efektif perlu dilakukan bagi memastikannya kesan pencemarannya terhadap alam sekitar lebih rendah daripada produk konvesional.

Kredit:

  1. MIT.edu
  2. IVL.se
  3. IEEE.org
  4. National Review
  5. Scientific American



Hakcipta iluminasi.com (2017)