Ikon-ikon usahawan selalunya dilihat serius kerana imej yang mereka bawa perlu mencerminkan perniagaan yang mereka pegang.

Namun ada ketikanya individu-individu berpengaruh ini membenarkan kita melihat sendiri siapa merekasebenarnya di sebalik imej serius, membuatkan kita tidak menyangka sifat sebenar mereka yang tak pernah kita ketahui sebelum ini.

BESARKAN TEKS     A-  A+

Berikut adalah 5 (atau 6) ahli perniagaan paling berpengaruh di dunia yang sebenarnya menyimpan hobi lain di luar jangkaan kita semua.

1. Warren Buffett adalah seorang pemain ukulele

warren buffet gemar main ukulele

Warren Buffett bukan sekadar gemar memberikan nasihat tentang perniagaan dan cara-cara membentuk kekayaan, beliau juga sebenarnya gemar memuat naik video beliau menyanyi dan bermain ukulele.

Tidak cukup dengan itu, dalam perjumpaan atau acara syarikat yang dimilikinya, Warren Buffett turut mengadakan persembahan khas.

Kejayaan paling besar beliau dalam bidang muzik adalah apabila dia berjaya berduet dengan legenda rock and roll dunia, Jon Bon Jovi dalam satu upacara kebajikan yang diadakan oleh agensi Forbes pada tahun 2012.

Selain dari bermain ukulele, Warren juga pernah melakukan video parodi untuk iklan di mana dia diminta memainkan watak parodi Axl Rose, penyanyi kumpulan Guns N Roses serta menyanyi sendiri lagu dalam video tersebut.

2. Elon Musk peminat barangan memorabilia James Bond

elon musk minat james bond

Elon Musk, pemilik syarikat inovasi Tesla adalah seorang peminat setia James Bond dengan filem pilihan Moonraker dan aktor Roger Moore sebagai James Bond menjadi pilihannya.

Beliau sangat berminat dengan salah satu peralatan canggih milik watak James Bond yang digunakan dalam filem 'The Spy Who Loved Me'; sebuah kereta/kapal selam putih yang dibina berasaskan kereta Lotus Esprit sehingga sanggup menghabiskan hampir RM4 juta untuk membeli kereta tersebut dalam acara lelongan.

Sebagai pemilik Tesla, sudah pastilah orang ramai menganggap beliau akan membuat perubahan kepada kereta asal itu untuk membolehkan kereta itu benar-benar bersifat dua alam.

Namun Elon Musk mengumumkan pada tahun 2017 yang perkara itu mustahil untuk dilakukan. Walaupun begitu hasil inspirasi rekaan kereta itu, sebuah sistem kawalan olok-olok untuk menukarkan kereta menjadi kapal selam sebenarnya sudah dipasang pada semua kereta Tesla model S tanpa pengetahuan pemilik mereka.

3. Steve Wozniak cukup sayangkan Segway

steve wozniak suka sukan polo segway

Segway, kenderaan mobiliti yang direka bagi pergerakan pantas dalam jarak dekat bukan sebuah produk yang berjaya. Walaupun demikian bagi Steve Wozniak salah seorang pengasas Apple, Segway telah mengubah hidupnya.

Dia menggunakan Segway ketika bekerja dan bersukan. Steve cukup serius dalam sukan 'Polo Segway' sebuah sukan mirip polo berkuda tetapi menggunakan Segway sebagai tunggangan

Betapa serius Steve dalam sukan ini?

Cukup serius sehingga beliau menjadi pengasas kepada Woz Challenge Cup yang dinamakan sempena nama beliau sendiri, sebuah kejohanan bertaraf antarabangsa yang disertai pasukan-pasukan Segway Polo dari serata dunia.

Kali pertama kejohanan ini diadakan adalah pada tahun 2006 di New Zealand dengan 2 pasukan bertanding.

Kali terakhir kejohanan itu dilangsungkan setakat ini adalah pada tahun 2017 dengan penyertaan 18 pasukan daripada 7 buah negara. Steve Wozniak menyertai pertandingan itu adalah pada tahun 2015 sebagai penampilan terakhirnya.

4. Bill Gates dan Steve Ballmer adalah duo komedi parodi yang kelakar

ballmer dan gates parodi austin powers

KIta semua kenal Bill Gates rasanya sebagai pengasas Microsoft dan Steve Ballmer pula adalah CEO kepada Microsoft daripada tahun 2000 sehingga 2014.

Hubungan rapat Bill dan Steve sudah bermula sejak lama dulu dan dalam Microsoft mereka berdua terkenal sebagai pasangan duo komedi paling kelakar.

Kami tak mahu mengulas panjang tentang perkara ini kerana anda boleh menonton sendiri video-video lakonan Bill Gates dan Steve Ballmer yang agak awkward dan mampu membuatkan kita menyeringai sendirian.

Anda boleh jumpa banyak parodi mereka berdua seperti parodi filem The Matrix, Austin Powers, Night at the Roxbury serta banyak lagi video yang membuktikan kebolehan Bill dan Steve bukan sekadar depan komputer sahaja.

5. Jack Ma adalah seorang penghibur amatur

jack ma adakan persembahan

Jack Ma, CEO kepada Alibaba serta salah seorang individu yang pernah dilantik kerajaan Malaysia dalam membantu membangunkan ekonomi digital negara kita, sebenarnya mempunyai kebolehan lain yang jarang diceritakan.

Selain daripada berkebolehan besar berniaga, Jack Ma juga adalah seorang penghibur bertaraf amatur yang gemar menghiburkan pekerja-pekerja syarikatnya.

Setakat ini, Jack pernah terlibat membuat persembahan dalam acara sambutan ulang tahun penubuhan Alibaba, dengan penampilan ibarat Michael Jackson menyanyikan lagu tema filem 'Lion King' secara solo dan juga melakukan medley lagu.

Menurut pekerja Alibaba, sebenarnya ada banyak lagi video persembahan Alibaba kerana pada setiap kali upacara, Jack pasti akan muncul membuat persembahan dan cuba menyampaikan kelainan setiap masa.

Nasib baiklah majikan penulis dulu tidak mempunyai minat serupa.




Hakcipta iluminasi.com (2017)