Pernahkah anda berasa seronok menghidu bau petrol ketika mengisi minyak kenderaan anda? Pastinya pernah kan?

Mengapa kebanyakan daripada kita sukakan bau petrol, malah ada yang kelihatan seperti ketagihan?

Mengapa petrol bau sedap?

kenapa bau petrol sedap

Petrol merupakan cecair yang terbina daripada campuran kompleks lebih daripada 150 sebatian kimia yang mana kebanyakannya berbahaya kepada kesihatan kita.

Namun, sebatian yang memberikan petrol bau yang kuat dan "bergas" serta membuatkan kita tertarik adalah sejenis hidrokarbon yang dikenali sebagai Benzena.

struktur benzena

Benzena ditambah bukanlah untuk memberikan bau tetapi bahan ini dalam petrol meningkatkan kecekapan bahan api dan meningkatkan prestasi enjin.

Bau "sedap" yang kita suka itu mungkin kebetulan sahaja.

Benzena dalam minyak wangi

benzena dalam minyak wangi

Apa yang menariknya walaupun bau sedap Benzena dalam petrol adalah kebetulan, namun dari segi sejarah bau manis dan aromatik sebatian ini menjadikannya sebagai bahan biasa dalam minyak wangi pada awal abad ke-19.

Penggunaan Benzena seperti ini kemudiannya dihentikan apabila saintis mendapati Benzena bersifat karsinogenik dan toksik.

Menyedut hidrokarbon seperti Benzena boleh menjejaskan semua organ dalaman terutamanya paru-paru. Lebih teruk, boleh menyebabkan jenis keradangan teruk yang dipanggil Hydrocarbon pneumonitis.

Bahayakah bau petrol di stesen minyak?

bahayakah hidu benzena

Mungkin anda berasa bimbang Benzena dalam petrol boleh memberikan kesan buruk kepada kesihatan, namun jangan risau kerana semua bahan dalam petrol berada pada kepekatan yang kecil dan terkawal yang tidak berbahaya kepada kita.

Kandungan benzena dalam petrol hanya kira-kira 1% mengikut isipadu, mengikut peraturan Toksik Udara Sumber Mudah Alih (MSAT).

Walaupun pada kepekatan rendah, hidung kita masih dapat menangkap bau ini.

Ini kerana baunya tajam walaupun pada 1 bahagian per juta benzena di udara.

Ia juga merebak lebih cepat kerana ia menyejat di udara dengan cepat. 

Jadi, apakah sebenarnya yang ada pada Benzena yang buatkan kita ketagih dengan baunya? Terdapat dua teori tentang perkara ini.

Teori 1: Kenangan indah

perjalanan balik kampung

Pernahkah anda sedari bahawa dalam banyak-banyak deria, deria bau selalu mengingatkan anda tentang kenangan indah masa lalu? Bau roti John membuatkan anda teringatkan bulan Ramadhan, bau biskut raya membuatkan anda teringatkan Hari Raya Aidilfitri.

Terdapat sebab tertentu untuk perkara ini!

Walau bagaimanapun, penjelasan ringkasnya ialah tidak seperti deria lain, kawasan otak yang mengesan bau terletak berhampiran dengan kawasan yang memainkan peranan untuk emosi dan ingatan. Oleh itu, otak anda mengaitkan bau yang kuat dengan kenangan penting.

Jadi salah satu sebab untuk menjelaskan mengapa sesetengah daripada kita menyukai bau petrol ialah kita mengaitkannya dengan beberapa memori yang indah. Ia mungkin perjalanan pulang ke kampung atau percutian yang menyeronokkan.

Teori 2: Kesan khayal 

banner tips jimat minyak 396

Teori kedua yang menjelaskan mengapa kita suka bau petrol ialah benzena mempunyai kesan euforia pada otak.

Dalam erti kata lain, menghidu benzena boleh membuat anda khayal atau "high".

Ini kerana menghidu hidrokarbon seperti Benzena boleh menyebabkan reseptor saraf menjadi kebas dan menyebabkan tekanan pada sistem saraf pusat, seperti ubat bius.

Kajian menunjukkan bahawa ini mengaktifkan laluan mesolimbik yang biasanya dikenali sebagai laluan ganjaran pada otak. Ganjaran di sini ialah suntikan dopamin, hormon keseronokkan yang memberikan anda sensasi yang menyenangkan sementara.

Perlu diingatkan bahawa pengaktifan laluan mesolimbik untuk melepaskan dopamin adalah cara kebanyakan dadah yang disalahgunakan berfungsi.

Perasaan yang anda dapat apabila terdapat letupan dopamin dalam sistem anda adalah sebab yang menjadikan sesuatu ketagihan.

Jadi, menghidu Benzena secara santai semasa mengisi tangki petrol anda adalah tidak berbahaya, tetapi menghidunya secara sengaja boleh menyebabkan ketagihan dan masalah kesihatan.

Adakah petrol sahaja?

bola tenis ada benzena

Lebih menarik, petrol bukan satu-satunya bahan yang mengandungi Benzena.

Barangan biasa lain yang mungkin anda terhidu yang mengandungi benzena termasuk bola tenis, pengilat kuku dan cat. Jika anda mendapati diri anda menyukai bau barang-barang ini, kini anda tahu sebabnya!

Rujukan:

1. Centers for Disease Control and Prevention

2. ABC

3. Annals of the New York Academy of Sciences




Hakcipta iluminasi.com (2017)